Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Menanti gayung Pemuda Pas bersambut

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Isnin, 18 November 2013

AHLI-ahli Pas wajar berasa kecewa. Kebenaran yang cuba dijunjung dan maruah yang mahu dipertahankan oleh Pemuda parti itu tidak bersambut. Kepemimpinan seperti mati rasa dengan lebih rela menutup mata, mengunci mulut dan terus membiarkan orang berlaku biadab ke atas mereka.

Semua kononnya kerana tahaluf siyasi, sedang parti sekutu PKR dan DAP memanfaatkan malah selalunya mengeksploitasi sepenuhnya apa sahaja peluang untuk kepentingan puak dan kelompok mereka sahaja. Yang akhirnya selalu tercicir ialah Pas, orang Melayu dan umat Islam keseluruhannya

Itulah mungkin yang dirasakan oleh Pemuda Pas terutama Naib Ketua, Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob. Kenyataan akhbar Pemuda Pas yang menyatakan mereka ada bukti Penasihat DAP, Karpal Singh berbohong seperti tidak ada nilai kepada portal berita propembangkang bahkan kepada portal rasmi Pas, Harakah.

Walhal, dulu mereka begitu sigap menyiarkan penafian Karpal dan juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mempertahankan Karpal. Apa sahaja ruang diberikan untuk pemimpin ini menceritakan versi mereka yang mungkin bagi menyejukkan kemarahan banyak pemimpin Pas terutama para ulama parti ini.

Tetapi kali ini, ketika Pemuda Pas membawa berita kebenaran mereka seperti tidak berminat untuk menyiarkannya.

Pakar-pakar ceramah Pas juga tak berkutik. Mereka kurang ghairah menyambutnya. Selalunya merekalah yang sensitif, kreatif dan serba tahu memberikan komentar, menyanggah itu dan ini, menghentam sana dan sini. Tetapi apabila hal berkaitan dengan DAP ini, mereka menyejukbekukan diri.

Isu kenyataan Karpal supaya pendaftaran parti politik dan badan profesional berdasarkan agama dan kaum termasuk Pas dibatalkan yang kemudian dinafikannya telah memerangkap kedua-dua parti ini dalam satu polemik yang lain daripada kebiasaan.

Tindakan daripada Pemuda Pas kali ini bakal menguji sejauh mana seriusnya kepimpinan kedua-dua parti dalam hal menjunjung kebenaran. Dari aspek lain, kontroversi ini boleh memudaratkan kerjasama penuh polemik yang terjalin antara Pas-DAP-PKR .

Karpal kata tak pernah sebut dan nyatakan kenyataannya diputar belit. Beliau salahkan Utusan Malaysia walaupun media lain laporkan perkara yang sama. Biasanya Pas akan telan bulat-bulat penjelasan mereka tetapi nampaknya tidak untuk kali ini.

Entah apa yang tersirat, kesungguhan Pemuda Pas mencari kebenaran yang sekaligus menempelak pemimpin veteran DAP itu, menimbulkan banyak tanda tanya. Biasanya hal-hal sebegini didiamkan begitu sahaja.

Baguslah jika ini menjadi budaya baharu Pemuda Pas yang bukan kaki angguk semata. Eloklah, nampaknya sudah ada perubahan. Takkan selamanya mereka mahu membiarkan diri dibuli dan diperlekehkan.

Desakan mereka pun bukan main-main.

* Karpal Singh menuntut maaf daripada Pas kerana menyeru supaya Pas dibatalkan pendaftarannya.

* Karpal Singh menuntut maaf daripada Pas kerana membohongi Pas dengan tidak mengakui ada menyeru supaya Pas dibatalkan pendaftarannya.

* Karpal Singh menuntut maaf daripada Pas kerana menyifatkan tindakan para pemimpin Pas mengkritik beliau sebagai perbuatan buruk dan tidak matang.

* Kepimpinan DAP mengambil tindakan tentang perkara ini kerana tindakan Karpal Singh ini jelas satu pencabulan ke atas semangat setiakawan pakatan pembangkang.

Tetapi mahukah Karpal mahupun DAP meminta maaf kepada Pas? Setakat ini tindakan di luar kebiasaan Pemuda Pas itu seperti menyiram air di daun keladi. Tiada kesan, tiada siapa peduli. Kalau ada pun reaksinya lambat dan seperti dipaksa-paksa.

Lagipun sebelum ini Karpal dengan tegas dalam kenyataan penafiannya telah menyatakan ‘tuntutan memohon maaf oleh pemimpin-pemimpin Pas tidak akan dipenuhi. Itu saya boleh jamin,’

Seperti isu-isu duluan, Pas yang akhirnya kena tunduk. Lihatlah perkara yang asas pun sanggup dikorbankan – daripada perjuangan negara Islam kepada negara kebajikan berikutan asakan daripada parti sekutu. Inikan pula desakan daripada seorang Naib Ketua Pemuda yang semalam disusuli pula oleh Dewan Muslimat.

Bola kini di tangan Karpal dan DAP. Kalau dulu semasa isu ini tercetus, Kit Siang pemimpin pertama tampil membela Karpal, kita lihat apa yang akan mereka lakukan kelak. Apa pula dalih mereka nanti?

Mungkinkah drama ini akan berakhir dengan ending pemimpin tertinggi pakatan pembangkang berpose akrab dalam satu sidang akhbar tanda isu telah selesai. Atau buat kenyataan bersama bahawa apa yang dinyatakan oleh Karpal telah disalaherti dan merupakan pendapat peribadi bukan parti. Itu sudah biasa kita saksikan.

Jangan UMNO atau media pula yang dijadikan kambing hitam. Usah pemilihan Pas pada akhir bulan ini pula dijadikan alasan. Uruslah isu ini dengan baik kerana kenyataan Karpal itu walaupun beliau nafikan telah mengguris hati banyak pihak.

Begitu juga pendedahan dan desakan Pemuda Pas, mempunyai banyak implikasi. Hal ini tak semudah menyapu kotoran di bawah permaidani.

Tindakan Pemuda Pas dianggap berani dan di luar kebiasaan, lantas penyelesaiannya juga mesti berani dan di luar kebiasaan. Jika tidak, Pas hanya akan jadi bahan gurauan.

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas