EASY to do business” atau dalam bahasa Melayunya “Mudah menjalankan perniagaan” – itulah pengenalan terbaharu yang dikaitkan dengan negara kita Malaysia apabila anda membuat carian di Internet sekarang.
Sebuah laman web khas untuk golongan ekspatriat pula memaparkan pada muka utamanya, artikel yang berbunyi: “Jika anda ingin membuka perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ia cukup mudah jika anda berpangkalan di Asia – khususnya di Singapura, Hong Kong dan Malaysia.”
Fenomena yang berlaku ini tidak lain tidak bukan ada kaitannya dengan Laporan Mudah Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2014 yang dikeluarkan baru-baru ini.
Kejayaan Malaysia menduduki tangga keenam dalam senarai negara yang paling mudah menjalankan perniagaan di dunia mengikut laporan siri ke-11 iaitu edisi terbaharu dikeluarkan Bank Dunia, sememangnya suatu pencapaian yang cukup membanggakan.
Pada kedudukan itu, Malaysia hanya berada di belakang Singapura, Hong Kong, New Zealand, Amerika Syarikat dan Denmark, dari segi menyediakan kemudahan dan persekitaran yang kondusif serta tidak banyak kerenah untuk masyarakat perniagaan menjalankan bisnes di dalam negara.
Lebih menarik lagi dalam kajian yang dijalankan ke atas 189 negara dan berasaskan 10 petunjuk dalam peraturan perniagaan itu, Malaysia mengatasi ekonomi negara yang jauh lebih maju seperti United Kingdom, Korea Selatan, Jepun dan Australia.
Kejayaan menempatkan negara dalam kelompok 10 teratas itu juga mendahului matlamat yang ditetapkan kerajaan untuk dicapai pada 2015.
Untuk rekod, Malaysia di kedudukan ke-25 ketika mula menyertai kajian oleh Bank Dunia itu pada 2007 dan berada di tangga ke-23 pada 2009 iaitu semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih teraju kepimpinan. Tahun lalu, negara berada di tangga ke-12.
Ini bermakna tahun ini merupakan lonjakan terbesar negara dalam ranking daya saing, memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan bagi perdagangan dan pelaburan dalam kalangan pelabur tempatan dan asing.
Namun apakah signifikannya kedudukan Malaysia dalam ranking Bank Dunia itu?
Penyakit skeptik segelintir rakyat Malaysia cepat menuduh ranking itu rekaan kerajaan. Segelintir lain pula mengangkat bahu sambil mengatakan “mereka tidak ada kena-mengena dan tidak dapat apa-apa pun” daripada kejayaan negara menduduki tangga keenam negara paling mudah menjalankan perniagaan di dunia itu.
Hakikatnya mereka memang ada kena-mengena dengan kejayaan Malaysia menempatkan negara antara kelompok yang terbaik di dunia. Ranking itu juga bukan rekaan!
Presiden Kumpulan Bank Dunia, Jim Yong Kim dalam komennya di laman web badan antarabangsa itu mengenai laporan terbaharu tersebut berkata; “Iklim perniagaan lebih baik yang membolehkan usahawan membina perniagaan dan melabur semula ke dalam komuniti adalah kunci pertumbuhan ekonomi tempatan dan global.”
Tambahnya, hanya negara yang mempunyai peraturan perniagaan lebih baik mampu memperkasa usahawan tempatan seterusnya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan – iaitu satu langkah yang betul ke arah mencapai sasaran membasmi kemiskinan menjelang 2030, yang menjadi matlamat penubuhan Bank Dunia.
Bagi Presiden Persatuan Automatif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad pula, beliau mempunyai jawapan mudah yang ringkas ketika mengulas signifikan kedudukan Malaysia dalam kelompok 10 teratas easy to do business itu. “Bank Dunia adalah badan antarabangsa yang dikenali dan berwibawa. Maknanya negara mendapat pengiktirafan dunia. Kalau sudah diiktiraf sebagai negara yang mudah untuk menjalankan perniagaan, pelabur tidak akan teragak-agak datang ke Malaysia.”
Sebagai negara perdagangan antara yang terbesar di dunia, status yang diberikan oleh Bank Dunia itu membawa makna yang besar dan amat signifikan dalam menarik pelaburan langsung asing ke dalam negara.
Pada masa sama, kedudukan terbaharu ini telah memperlihatkan kualiti dan keyakinan untuk Malaysia mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
Kejayaan Malaysia menduduki ranking ini, tidak semudah yang disangka bahkan tidak juga diperolehi secara tidak sengaja atau sewenang-wenangnya. Sebaliknya kedudukan itu dicapai hasil perancangan teratur di samping pelaksanaan pelbagai transformasi dan penambahbaikan.
Untuk menjadikan negara tempat yang selesa kepada ahli perniagaan tempatan dan destinasi yang menarik kepada pelabur, pelbagai transformasi dilakukan dalam pentadbiran kerajaan dan dasar-dasar ekonomi.
Kolaborasi unik di antara sektor awam dan swasta menerusi Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah) yang ditubuhkan kerajaan pula terbukti menjadi platform terbaik dalam mengesan sebarang kelemahan yang menjadi batu penghalang dalam mempermudahkan urusan perniagaan di dalam negara, memperbaikinya lalu membantu mewujudkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada peningkatan daya saing negara.
Pinjaman
Menurut Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2014 itu, Malaysia adalah satu daripada 20 ekonomi yang menunjukkan paling banyak kemajuan dari 2010 hingga 2013. Malaysia juga antara yang menunjukkan peningkatan amalan-amalan baik. Antaranya kos memulakan perniagaan di Malaysia kini lebih murah ekoran pengurangan bayaran pendaftaran ketika Berurusan dengan Permit-Permit Pembinaan manakala penubuhan pusat sehenti pula mempermudahkan urusan untuk mendaftar hartanah dan mendapatkan pinjaman.
Berdasarkan laporan tersebut yang dibuat menggunakan beberapa petunjuk utama berkaitan persekitaran perniagaan dalam sesebuah negara, Malaysia berkongsi tempat pertama dengan United Kingdom dalam kategori negara yang paling mudah mendapatkan pinjaman.
Dari segi melindungi pelabur, Malaysia berada di tangga keempat (hanya di belakang Singapura, Hong Kong dan New Zealand) selain di tangga kelima paling mudah untuk menjalankan perdagangan rentas sempadan manakala untuk kategori mudah memulakan perniagaan pula di tangga ke-16.
Pencapaian membanggakan ini sekali gus mencerminkan kualiti perkhidmatan awam negara yang bertaraf global yang berupaya melaksanakan segala pelan dan prosedur bagi memenuhi permintaan serba kompleks komuniti perniagaan termasuk yang berskala multinasional.
Ahli ekonomi terkenal Amerika, Milton Friedman pernah mengungkapkan bahawa “Tanggungjawab sosial dalam perniagaan ialah untuk meningkatkan keuntungan”. Sungguhpun pelbagai tafsiran dibuat terhadap ungkapannya itu, hakikat yang tidak boleh ditolak oleh orang yang berniaga ialah matlamat untuk mengaut keuntungan.
Bagi masyarakat perniagaan, seboleh mungkin sebarang peraturan atau kerenah birokrasi yang boleh meningkatkan kos dan mengurangkan keuntungan, perlu dielakkan. Mereka tidak betah dengan prosedur ‘bertingkat-tingkat’ yang melambatkan urusan kerana lebih masa bermakna lebih kos dan kurang untung.
Secara logiknya tiada ahli perniagaan yang mahu melabur jika berhadapan prosedur yang rumit, kos yang mahal atau keselamatan pelaburan yang tidak terjamin.
Masyarakat perniagaan mahukan kolaborasi proaktif antara sektor awam dan swasta, peraturan yang mudah dan bukannya menyukarkan sehingga membuka ruang untuk ‘orang tengah’ dan amalan rasuah.
Aspek-aspek inilah yang telah ditangani oleh Malaysia sehingga menjadikan negara destinasi menarik bagi pelabur tempatan dan luar negara untuk menjalankan perniagaan mereka.
Walaupun telah mencapai kedudukan baik dalam ranking negara yang paling mudah untuk menjalankan perniagaan, Malaysia belum boleh berpuas hati dan merasa selesa sebaliknya perlu terus meningkatkan usaha untuk memperbaiki kedudukan dalam bidang-bidang yang masih ketinggalan.
Bahagian yang agak bermasalah seperti urusan permit-permit pembinaan yang menyaksikan Malaysia berada di tangga ke-43, menyelesaikan insolvensi (42), membayar cukai (36) dan mendaftar hartanah di tangga ke-35, perlu ditangani.
Turut perlu diberi perhatian adalah penyediaan infrastruktur iaitu mendapatkan bekalan elektrik yang buat masa ini pada kedudukan ke-21. Utiliti seperti bekalan elektrik dan air adalah faktor penting yang diambil kira oleh komuniti perniagaan untuk menjalankan bisnes mereka. Kecekapan pembekal utiliti tempatan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam menyediakan infrastruktur itu dan menjamin bekalan tanpa gangguan akan menjadi faktor yang mampu melonjakkan kedudukan Malaysia ke ranking yang lebih baik pada tahun depan.
Menjadi cabaran kepada Malaysia juga untuk meneruskan kemajuan yang telah dicapai ke bahagian lain yang akan memberi kesan bukan sahaja kepada pembangunan negara dan persekitaran perniagaan tetapi terhadap rakyat keseluruhannya.
Dalam hal ini, Malaysia telah meletakkan landasan betul untuk negara terus memacu pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama meningkatkan tahap ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan sektor awam.
Lonjakan sebanyak enam tangga dari tempat ke-12 tahun lalu, mendahului 183 negara lain termasuk yang lebih dahulu maju menjadi prasasti kepada keupayaan negara.
Matlamat terbaharu kini adalah untuk menempatkan Malaysia dalam kelompok lima atau tiga teratas, insya-Allah sasaran ini juga tidak mustahil dicapai.