 |
Datuk Seri Abdul Wahid Omar |
NEW YORK 6 Nov. – Perkembangan ketara Malaysia daripada hanya bergelar negara baharu membangun kepada kedudukan hari ini disifatkan oleh sesetengah pakar Amerika Syarikat (AS) sebagai sebuah ‘ekonomi yang sedang pesat membangun ke hadapan.’
Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, pengiktirafan itu sebagai tanda Malaysia telah bersedia menjadi negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 seperti disasarkan dalam Wawasan 2020.
Tahap pembangunan dan kecanggihan ekonomi Malaysia hari ini turut diketengahkan beliau yang kini berada di New York bersama-sama delegasi 14 syarikat Malaysia untuk siri penerangan bergerak Invest Malaysia USA (IMUS) 2013 dalam usaha menarik para pelabur dari Amerika Syarikat ke pasaran modal Malaysia.
Abdul Wahid turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias.
Maybank menjadi penganjur IMUS 2013 dengan kerjasama Bursa Malaysia.
“Seiring dengan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020, kita telah menggariskan objektif untuk meningkatkan pendapatan per kapita negara daripada AS$6,750 kepada AS$15,000 pada tahun 2020.
“Pada masa ini, kita berada di sekitar AS$10,000 dan telah bersedia untuk mencapai sasaran pendapatan AS$15,000 menjelang tahun 2020. Ini ialah pertumbuhan pendapatan merangkumi semua ,” kata Abdul Wahid kepada Bernama di sini.
Abdul Wahid, antara pakar perbankan terkemuka negara dan juga bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Maybank Group sebelum dilantik sebagai Menteri, menyokong ‘komitmen besar’ kerajaan Malaysia untuk meningkatkan pendapatan kesemua warga negara, termasuk mereka berpendapatan rendah.
“Matlamat kita ialah untuk mencapai kemampanan. Ini bermakna, kita bukan hanya merujuk kepada persekitaran mesra dan penggunaan bijak sumber asli negara seperti minyak dan gas, tetapi juga keseluruhan pengurusan ekonomi negara.
“Prinsip pedoman kita ialah memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia, dan pada masa yang sama tidak terlepas pandang akan tanggungjawab ekonomi kita untuk mengurangkan defisit dan mencapai belanjawan seimbang menjelang 2020,” jelas beliau.
Abdul Wahid juga bercakap mengenai ‘transformasi dramatik’ ekonomi Malaysia yang telah beralih daripada berasaskan pertanian, menerusi pembuatan kepada ekonomi perkhidmatan.
“Sektor perkhidmatan menyumbang 55 peratus kepada ekonomi dan telah melepasi sektor pembuatan,” kata beliau.
Menjelaskan lagi sumbangan positif sektor korporat Malaysia, Abdul Wahid berkata, syarikat-syarikat Malaysia hari ini lebih baik dari segi permodalan.
“Paras hutang lebih rendah berbanding pada tahun 1997/98, tatkala krisis kewangan melanda beberapa negara di Asia Tenggara dan pinjamannya pula adalah dalam ringgit daripada dolar AS, sekali gus berjaya menampan daripada kemeruapan mata wang.
“Sebelum ini, saiz rizab antarabangsa ialah di antara AS$19 bilion dan AS$30 bilion. Hari ini, rizabnya ialah sekitar AS$106 bilion,” kata beliau.
“Sementara itu, dengan pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN pada 2015, saya percaya para pemimpin ASEAN komited terhadap wawasan ASEAN. Syarikat-syarikat Malaysia berjaya beroperasi di rantau ini dan ini secara tidak langsung akan memberikan syarikat Amerika banyak kelebihan,” katanya.