KHAMIS lalu, kira-kira 500,000 pelajar tahun enam di seluruh negara menamatkan debaran di dada menunggu keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diduduki mereka pada 10 hingga 12 September lepas di 8,268 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Debaran yang dirasakan anak-anak kita itu sebenarnya lebih dirasakan oleh golongan ibu bapa, datuk dan nenek calon UPSR itu sendiri. Seakan satu kelegaan apabila keputusan UPSR yang diterima kaya dengan A dan langsung tiada huruf lain seperti D dan E.
Namun dalam kita berbangga dengan anak yang mempunyai kecerdasan intelektual (IQ) yang tinggi jika dinilai dari keputusan 5A UPSR tersebut kita seharusnya sedar tanpa kecemerlangan kecerdasan emosional (EQ) yang tinggi anak kita sudah pasti akan gagal menterjemah kegemilangan tersebut dalam hakikat kehidupan yang penuh dengan kenyataan yang menekan minda mereka.
Kecerdasan intelektual adalah ukuran kemampuan intelektual, analisis, logika, dan rasional seseorang. IQ merupakan kecerdasan otak untuk menerima, menyimpan, dan mengolah informasi menjadi fakta.
Sementara itu, kecerdasan emosional adalah kemampuan mengenali perasaan sendiri dan perasaan orang lain, kemampuan memotivasi diri sendiri, serta kemampuan mengolah emosi dengan baik pada diri sendiri dan orang lain.
Hari ini generasi muda selain menuntut di sekolah kebangsaan mereka turut belajar di sekolah agama rakyat dari darjah satu hingga darjah enam. Di sekolah kebangsaan mereka turut belajar Bahasa Arab dan Pengetahuan Islam. Namun di dalam era milenium ini adakah ilmu yang membentuk IQ dan EQ secara serentak itu memadai untuk anak kita mempersiapkan diri untuk masuk dalam masyarakat yang berorientasikan teknologi yang sudah pasti kurang nilai emosinya?
Perkembangan semasa hari ini agak membimbangkan akibat letusan teknologi yang semakin menggila hingga anak-anak muda kita yang baru berusia 12 tahun ini lebih mahir menggunakan gajet moden lebih daripada memahami budaya bercakap dan menghormati orang tua.
Kita seolah-olah membentuk sebuah masyarakat yang sakit dek kerana mengejar kecemerlangan pendidikan anak-anak, tetapi gagal melengkapkan jatidiri mereka untuk berasa cinta kepada bidang intelek senada dengan cinta mereka untuk mengenal akar budi dan daya (budaya) nenek moyang mereka.
Apa guna mempunyai anak yang bijak tetapi kurang bijak menjaga emosi orang lain terutama kedua ibu bapa apabila mereka menjadi lebih dewasa dan hidup bermasyarakat.
Kisah anak yang sanggup meninggalkan ibu bapa melarat di tanah air kerana sibuk bekerja di negeri atau negara orang setelah berjaya menjadi graduan cemerlang sudah menjadi kisah masyarakat. Adakah kita gagal membentuk generasi cintakan negara atau generasi yang mahu dirinya sahaja dicintai?
Semoga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang bakal menjadi fokus para pendidik dan perancang hala tuju negara dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja mahir dari segi pelajarannya tetapi hubungan antara manusia (inter-personal) dari pelbagai lapisan usia dari ibu bapa mereka hingga sikap menghormati seorang yang bergelar pengawal keselamatan.
Justeru, kepada semua pihak terutama ibu bapa dan pihak berkuasa harus menekankan kedua aspek untuk pembangunan akademik dan sahsiah seseorang pelajar sebelum mereka melangkah jauh dalam dunia pendidikan dan dalam masyarakat. Menjelang dinihari 2020 kita seharusnya sudah mempunyai generasi tua dan pelapis yang bukan sahaja hebat IQnya malahan EQnya.
Masa masih ada untuk kita memperbetulkan mana-mana kekurangan dalam sistem pendidikan sebelum kita terus mencetak generasi Y yang hanya cemerlang dalam aspek pelajaran tetapi kurang terdidik dalam aspek emosi.
Sepatutnya kita kukuhkan IQ dan EQ anak kita, untuk mereka berjaya dalam kehidupan sebagai profesional berjaya seperti doktor, peguam dan jurutera. Kurangkan penggantungan dengan mesin dan gajet moden untuk menghiburkan hati mereka. Sarankan mereka membaca al-Quran dan berzikir ketika menghadapi masalah.
Perlukah menghadiahkan gajet moden yang berharga ribuan ringgit sedangkan rasa empati mereka kepada kesusahan ibu bapa mencari wang langsung tidak pernah mereka fikirkan?
Zikir dalam hati dan fikirkan, adakah cukup anak kita hebat dalam UPSR namun gagal khatam al-Quran yang merupakan perlembagaan jiwa mereka dan memahami isi Perlembagaan Negara sebagai tatacara hidup bermasyarakat.
Seimbangkan IQ dan EQ sebagai bekalan anak kita yang secukupnya agar menjadi insan yang berguna bukan setakat untuk diri mereka sendiri malahan agama, bangsa dan negara mereka.