SEBENARNYA, kita tidak perlu mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap Pas. Kalau diulangi pun ia tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada perjalanan politik Pas.
Ia memandangkan apa pun berlaku, biarlah maruah ‘dipijak’ sekali pun, Pas ingin terus kekal atas nama tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR.
Bagi Pas, tidak apa kalau martabat dan maruah mereka dilihat diperlekeh atau perlekehkan oleh kedua-dua parti itu, tetapi jangan Barisan Nasional (BN) atau UMNO melakukannya.
Jika UMNO mengkritik atau menegur Pas berhubung sesuatu isu termasuklah berkaitan dengan kepentingan Islam dan orang Melayu, sudah pasti parti itu akan ‘diserang’ habis-habisan oleh pemimpin-pemimpin Pas termasuklah Dewan Pemuda Pas Pusat dan Dewan Muslimat.
Bagi pemimpin-pemimpin Pas, apa pun PKR dan DAP hendak kata tentang mereka tidak apa kerana itu sekutu politik mereka, sahabat satu selimut biarpun mimpi lain-lain dan teman sekapal biarpun haluan berbeza.
Namun mereka tidak boleh menerima sama sekali sebarang teguran UMNO, bagi sesetengah pemimpin Pas, pemimpin-pemimpin UMNO tidak layak menegur Pas kerana UMNO dianggap tidak Islamik, mengamalkan rasuah dan penyelewengan.
Walaupun apa yang mereka katakan itu tidak benar, namun Pas tidak akan menerima sebarang kritikan UMNO tetapi mereka akan bersikap terbuka menerima kritikan PKR dan DAP.
Tidak kisahlah apa pun pemimpin kedua-dua parti itu hendak cakap soal Pas, malah kalau mereka hendak membuat tindakan yang dilihat ‘memijak’ maruah Pas tidak apa, Pas akan merelakannya kerana yang penting tahaluf siyasi jangan menjadi korban.
Tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR ini dilihat cukup penting dan ‘mulia’ oleh Pas sehingga apa yang boleh dikorbankan akan dikorbankan, apa sahaja yang dipersetujui harus disokong dan apa yang diarahkan mesti dipatuhi.
Pas tidak mahu sebarang tindakan mereka membantah kehendak kedua-dua parti itu akan menyebabkan Pas tidak berpeluang untuk mengikuti misi ke-2 menawan Putrajaya selepas mereka gagal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Kesudahannya, mereka akan menyalahkan media termasuklah kononnya media sengaja hendak memecah belahkan perpaduan dalam pakatan pembangkang.
Kononnya, apa yang berlaku adalah perancangan kerana UMNO dan BN semakin bimbang dengan kekuatan pakatan pembangkang sehingga memungkinkan mereka mendapat undi popular terbanyak dalam pilihan raya umum lalu.
Dalam soal ini, Pas boleh berkata apa sahaja, tetapi sejarah politik negara telah membuktikan dalam apa juga keadaan UMNO tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangannya apatah lagi membiarkan mana-mana parti memijak maruahnya.
Keberanian dan ketegasan UMNO jauh lebih hebat berbanding Pas kerana dalam komponen BN tidak ada parti yang bersikap seperti PKR dan DAP.
Kesemua parti menghormati antara satu sama lain, tetapi dalam pakatan, ada parti yang mahu menjadi dominan dan ada pula parti dilayan bagaikan ‘pak turut’.
Pas harus sedar daripada lamunan yang menganggap mereka terlalu penting dan dihormati dalam pakatan pembangkang.
Hakikat sebenarnya tidak begitu sebab itulah pemimpin-pemimpin DAP dan PKR tidak pernah peduli perasaan pemimpin-pemimpin Pas apabila hendak membuat kenyataan atau tindakan.
Kita tidak tahu sampai bilakah pemimpin-pemimpin Pas akan terus rela dilayan sebegitu rupa oleh kedua-dua pemimpin parti tersebut.
Pas terlalu menjaga tahaluf siyasi kononnya ia bertepatan dengan Islam dan jauh lebih baik daripada hubungan UMNO dengan parti-parti komponen BN lain.
Tetapi apa yang kita saksikan, Pas semakin lemah, keterujaan untuk terus bersama-sama dengan PKR dan DAP telah menyebabkan parti itu seolah-olah sanggup mempertaruhkan maruahnya.
Mungkin bagi sesetengah pemimpin dan ahli Pas, mereka tidak akan berasa apa-apa terhadap apa juga tindakan kedua-dua parti itu kerana mereka melihat dari sudut kepentingan politik.
Namun orang Melayu khususnya atas pagar atau mungkin dalam kalangan ahli-ahli UMNO sendiri, mereka juga berasa marah dengan layanan yang diterima oleh Pas dalam hubungannya dengan DAP dan PKR.
Ia memandangkan apabila ia dilihat dari persaudaraan Islam, mahu tidak mahu sedikit sebanyak mereka akan terasa jika sebuah parti yang dianggotai majoriti orang Islam, begitu mudah diperkotak-katikkan atau rela diperkotak-katikkan.
Bagaimanapun kita tidak boleh berbuat apa-apa selagi Pas tidak berani berubah.
Apatah lagi apabila akan muncul ‘fatwa’ dan ‘hujah’ songsang daripada kalangan pemimpin parti itu yang terlalu menyayangi hubungan dengan DAP dan PKR.
Keadaan inilah yang akan memungkinkan DAP dan PKR akan tersenyum kerana mereka sudah tahu buatlah apa pun Pas tidak akan membantah atau berasa marah.
Justeru tidak perlu mengharapkan apa-apa yang drastik berlaku kerana Pas tidak akan berupaya bersuara lantang dalam pakatan pembangkang bagi menegur PKR dan DAP.
Sebaliknya, pemimpin-pemimpin mereka hanya mempunyai kebijaksanaan luar biasa untuk memaki hamun pemimpin-pemimpin BN khususnya UMNO atas pentas ceramah.
Tidak kisahlah ‘ayam sabung’ atau ‘ayam tambatan’, semuanya tidak akan berani berkata apa-apa kepada PKR dan DAP.
Tahniahlah kepada Pas kerana mempunyai satu semangat setiakawan atas nama tahaluf siyasi yang cukup mengagumkan.
UMNO sendiri tidak akan berupaya berbuat demikian kerana apa pun berlaku UMNO sama sekali tidak akan membiarkan maruahnya dipijak oleh sesiapa jua.
Bagaimanapun kita tetap menaruh sedikit a harapan supaya ada dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas yang akan berani membantah tindakan pemimpin-pemimpin dalam pakatan itu terhadap parti tersebut.
Kita percaya ada antara mereka benar-benar ingin menegakkan perjuangan Islam dan mahu menjadikan Pas sebagai platform, kelompok inilah yang diharapkan akan menyedarkan Pas supaya tidak terlalu teruja dan ghairah hendak memburu kuasa sehingga segala-galanya mahu digadaikan!