Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Jangan sudah terhantuk baru nak tengadah!

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Khamis, 28 November 2013

SEOLAH-OLAH sudah menjadi satu trend di Malaysia apabila berlakunya sesuatu kejadian atau tragedi, barulah semua pihak mula kelam kabut mencari punca dan penyelesaian.

Banyak pihak saling menyalahkan antara satu sama lain, semakin banyak isu di bincangkan semakin banyak lompang yang ditemui.

Ada juga yang berlaku merupakan satu ‘ulangan’ kepada kes atau tragedi sebelumnya. Hakikatnya, ada kejadian yang berlaku adalah di luar kawalan tetapi seandainya tindakan proaktif secara konsisten diambil pastinya apa yang berlaku dapat dielakkan atau dikurangkan bukannya selepas berlaku barulah mengambil tindakan. Jangan sudah terhantuk baru nak tengadah.

Susulan isu pengawal asing, Kementerian Dalam Negeri mengambil langkah drastik meminta kesemua 751 syarikat kawalan keselamatan yang berdaftar tampil membuat pengesahan segera tentang status pekerja mereka.

Ops ID yang dilancarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan penggunaan kad pengenalan palsu amat bertepatan bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.

Berdasarkan laporan Utusan Malaysia baru-baru ini, kita seharusnya bimbang dengan penguasaan 53% pengawal keselamatan yang didominasi oleh warga asing iaitu kira-kira 150,000 orang yang berdaftar dan yang bekerja secara ‘haram’ dianggarkan seramai 30,000 orang.

Kita bukan bercakap soal rakyat tempatan tidak berminat, gaji yang murah tetapi yang lebih penting nyawa rakyat kita berada di tangan mereka. Apakah kita sanggup meletakkan nyawa rakyat sebagai taruhan? Kita tidak dapat merasai kesakitan yang ditanggung melainkan berlaku kepada diri kita sendiri.

Apa yang terjadi mungkin boleh dielakkan seandainya pihak yang berkenaan mengambil langkah pencegahan bukan setelah berlaku baru nak bertindak.

Pihak syarikat keselamatan misalnya perlu mengikut proses penyaringan yang ketat dalam pengambilan pengawal keselamatan. Mereka perlu membuat semakan kad pengenalan pengawal keselamatan yang diambil bekerja.

Pendedahan penyamaran seorang wartawan Utusan Malaysia baru-baru ini menjelaskan lagi masih terdapat kepincangan dalam proses pengambilan pengawal keselamatan oleh sesetengah syarikat keselamatan.

Di samping itu, pihak syarikat yang melanggani perkhidmatan kawalan keselamatan juga perlu mengambil sikap ambil berat dengan memeriksa kad pengenalan setiap pengawal keselamatan yang bertugas di organisasi mereka termasuk pengawal gantian.

Selain isu tersebut, isu melibatkan kanak-kanak terutamanya di taman asuhan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang baru. Sebelum ini terdapat beberapa taska terutamanya di Lembah Klang didakwa kerana kecuaian menjaga kanak-kanak sehingga mendatangkan kecederaan dan kematian.

Boleh dikatakan kesemua kes yang berlaku di taska adalah taska yang tidak berdaftar termasuklah kes baru-baru ini. Kebanyakan kes kecederaan kalangan kanak-kanak di taska dan tadika adalah berlaku di taska yang tidak berdaftar mengikut Akta yang telah ditetapkan iaitu Akta Taman Asuhan kanak-kanak (TASKA) 1984. Dalam menangani isu ini, semua pihak terutamanya pihak JKM perlu membuat pemantauan berkala secara berterusan untuk mengesan taska atau tadika yang beroperasi tanpa lesen.

Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting iaitu perlu memastikan terlebih dahulu taska yang akan menjaga anak mereka merupakan taska yang sah dan seandainya mendapati mereka beroperasi tanpa kebenaran, laporan kepada pihak yang berwajib perlu dibuat seberapa segera.

Kejadian tanah runtuh, bumbung runtuh dan sebagainya juga seolah-olah menjadi ‘ulangan’. Bila berlaku barulah semua pihak mula mencari punca berlakunya sesuatu kejadian. Tidak dinafikan mungkin ada sesetengah kejadian adalah disebabkan fenomena alam. Namun, banyak kes yang berlaku boleh dielakkan seandainya semua pihak yang terbabit memainkan peranan masing-masing.

Mereka yang terlibat dengan pembinaan misalnya perlu memperkemaskan dari segi pemantauan, pemeriksaan reka bentuk sesuatu struktur bangunan dan juga memastikan kontraktor yang dilantik benar-benar berpengalaman dan berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia.

Satu kajian awal juga perlu dilakukan sebelum membuat pembinaan terutamanya pembinaan di tanah lembut dan lereng-lereng bukit. Orang ramai juga perlu beperanan dalam melaporkan kepada pihak yang berkenaan sekiranya berlaku kejadian tanah runtuh walaupun dalam skala yang kecil. Jika kita semua mengambil sikap bertanggungjawab pastinya dapat mengelak kejadian yang sama berulang, jangan sudah terperlus maka baru hendak menutup lubang.

Banyak lagi isu atau kejadian yang berlaku di Malaysia seperti kes pembuangan bayi yang amat membimbangkan, peningkatan kes status anak luar nikah, banjir kilat dan banyak lagi kejadian yang semuanya berkisar isu yang sama serta menjadi kitaran setiap tahun.

Kita sering mencari jalan penyelesaian setelah berlaku bukannya berusaha mencari langkah pencegahan sebelum berlakunya sesuatu kejadian. Sikap inilah yang perlu diubah kerana ia bukan sahaja melibatkan kepentingan negara tetapi melibatkan kepentingan dan nyawa rakyat.

Sudah sampai masanya untuk kita amalkan pencegahan lebih baik dari mengubati. Jangan sudah kecurian baru nak mengunci pintu. Jangan sampai ada lagi nyawa rakyat yang tidak berdosa menjadi korban.

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas