Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Dominan atau sekadar pak turut?

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Isnin, 18 November 2013

Benarkah mengekal atau memperkasakan kepimpinan ulama di dalam Pas akan menyebabkan ‘berkuburnya’ hubungan parti itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP?

Itulah persoalan yang timbul apabila sudah ada keresahan khususnya dalam kalangan sesetengah pemimpin daripada golongan profesional yang menggambarkan sebarang usaha meletakkan ulama menduduki jawatan kanan dalam pemilihan minggu depan akan menyebabkan hubungan Pas dengan sekutunya ibarat ‘telur di hujung tanduk’.

Sudah tentulah apabila persoalan ini dibincangkan, ramai ahli-ahli Pas melihat siapakah yang paling layak untuk menduduki jawatan Timbalan Presiden.

Jawatan kedua tertinggi dalam Pas itu akan dipertahankan oleh Mohamad Sabu atau Mat Sabu. Beliau akan berhadapan satu lawan satu dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Turut dikaitkan dalam soal kepimpinan ulama ialah kerusi Naib Presiden apabila tiga penyandang daripada golongan profesional akan mempertahankan kedudukan mereka.

Ketiga-tiga mereka ialah bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahudin Ayub, Ahli Dewan Undangan Negeri Salor, Datuk Husam Musa dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Mereka akan dicabar oleh bekas Ketua Pemuda Pas, Datuk Abu Bakar Chik dan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Tumpuan tidak begitu diberikan kepada siapa yang akan memimpin Dewan Pemuda Pas Pusat berikutan pengunduran ketuanya, Nasrudin Hassan kerana dewan itu dikatakan tidak mempunyai apa-apa suara, selain mengikut sahaja keputusan Pas induk.

Sememangnya, Pas tidak boleh menafikan bahawa pemilihan kali ini dilihat cukup penting sama ada kepada golongan ulama mahupun profesional untuk melebarkan pengaruh masing-masing.

Dalam pemilihan lalu, golongan ulama boleh dikatakan tewas apabila kesemua calon mereka bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden berjaya ditumbangkan.

Kekalahan itu dikatakan mengurangkan cengkaman golongan ulama untuk melakukan percaturan terhadap perjalanan politik Pas. Walaupun ada Dewan Ulama yang diketuai oleh Datuk Harun Taib, namun suara mereka bukan sahaja tidak begitu didengari malah ada ketika dilihat seolah-olah tidak dihormati. Akibatnya, biar pun disanjung sebagai rakan sekutu paling bernilai namun dalam kerjasama dengan pakatan pembangkang, Pas tidak dilayan pada kedudukan sepatutnya.

Percaturan politik pembangkang lebih banyak diatur oleh PKR dan DAP manakala Pas dilihat tidak lebih daripada ‘pak turut’ malah ada ketikanya bagai ‘melukut di tepi gantang’.

Lebih mengecewakan seolah-olah ada satu perasaan menghormati yang terlalu tinggi terhadap kepimpinan PKR dan DAP dalam kalangan sesetengah pemimpin Pas apabila apa sahaja yang dikatakan oleh pemimpin kedua-dua parti itu tidak ada bantahan, biarpun ada ketika ia dilihat memperlekehkan Pas sebagai sebuah parti yang sepatutnya dihormati.

Apa yang lebih aneh lagi, ada pula ketika di mana pemimpin Pas dilihat tidak berani menegur tingkah laku pemimpin PKR dan DAP yang seolah-olah mahu mempolitikkan semua perkara.

Biar pun ada dalam kalangan pemimpin Pas yang berani bersuara dan dilihat bertentangan dengan pemimpin kedua-dua parti itu tetapi suara mereka entah ke mana. Ia memandangkan pemimpin-pemimpin Pas yang lain takut untuk memberi pandangan atau menyokong pemimpin parti itu sendiri kerana bimbang ia akan menyinggung perasaan sekutu mereka.

Demikianlah nasib Pas sejak mereka melaksanakan apa yang dipanggil tahaluf siyasi bersama PKR dan DAP.

Atas dasar itulah, menjelang pemilihan kali ini, dalam kalangan ahli-ahli Pas mereka mengharapkan 1,300 perwakilan akan memahami sentimen di peringkat akar umbi iaitu memastikan Pas menerima layanan yang sepatutnya daripada PKR dan DAP. Mereka tidak kisah jika kepimpinan Pas mahu terus melakukan tahaluf siyasi dengan kedua-dua parti itu tetapi biarlah ia berbaloi.

”Keputusan pilihan raya umum lalu menjadi bukti apabila Pas yang bertungkus-lumus mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP melalui usaha mendapatkan undi orang Melayu akhirnya menduduki tempat ketiga dengan mendapat hanya 21 kerusi Parlimen.

”Jumlah ini menyebabkan ramai ahli Pas di peringkat umbi tertanya-tanya apa keuntungan politik yang parti itu diperolehi melalui kerjasama tersebut, apakah Pas hanya ‘alat’ sahaja,” kata satu sumber dalaman Pas kepada penulis ketika dihubungi.

Berikutan itu kata sumber tersebut, ada desakan supaya Pas mengkaji semula kerjasama dengan PKR dan DAP.

”Kaji semula bukan bermaksud membuat keputusan segera keluar daripada pakatan pembangkang tetapi bagaimana hendak memastikan kerjasama itu memberikan keuntungan politik kepada Pas.

”Pas mahu menggantikan UMNO tetapi hasrat itu tidak akan tercapai jika Pas hanya ‘pak turut’ sahaja bukan dominan dalam pakatan tersebut,” kata sumber itu lagi.

Persoalannya, beranikah ahli-ahli Pas menyokong usaha itu memandangkan mereka terus diracuni dengan propaganda jika kepimpinan ulama diperkasakan semula ia bermakna membuka laluan kepada kerjasama dengan UMNO melalui penubuhan kerajaan perpaduan atau dalam istilah popular puak Pas, ‘UG’.

Timbul

Sebenarnya, tidak timbul soal UG atau tidak, hendak keluar daripada pakatan pembangkang atau tidak, tetapi apa yang diinginkan oleh ahli-ahli Pas ialah satu barisan kepimpinan yang mampu mempertahankan kepentingan parti itu.

Penulis difahamkan, dalam kalangan ahli-ahli Pas, mereka sendiri berasa tidak puas hati apabila melihat kepimpinan parti itu terlalu kerap diperkotak-katikkan oleh PKR dan DAP.

Justeru mereka mengharapkan barisan kepimpinan yang akan dibentuk dalam pemilihan kali ini akan mampu menyingkirkan persepsi bahawa Pas hanya ‘pak turut’.

”Kalau ahli-ahli Pas merasakan barisan kepimpinan sedia ada mampu mempertahankan kepentingan parti, maka kekalkan mereka, cuma apa yang kita harapkan mereka benar-benar bertegas apabila berhadapan dengan PKR dan DAP,” kata sumber itu lagi.

Kenyataan ini ada benarnya kerana Pas dilihat terlalu tunduk kepada kedua-dua parti itu, kesudahannya yang rugi adalah Pas sebab orang Melayu kecewa sebuah parti yang dianggap begitu hebat dalam perjuangannya termasuk pencapaian agak cemerlang dalam pilihan raya seolah-olah tidak berani menentang kehendak PKR dan DAP.

”Lanjutan itu, orang Melayu terus kekal menyokong UMNO kerana mereka melihat dalam Barisan Nasional (BN) biar pun ada berbelas-belas parti tetapi mereka sentiasa menghormati UMNO.

”Ini tidak berlaku dalam pakatan pembangkang memandangkan ada barisan kepimpinan Pas yang sentiasa sahaja mahu membela apa juga tindakan PKR dan DAP,” kata sumber itu lagi.

Sebab itulah, ahli-ahli Pas melihat kehadiran golongan ulama amat penting untuk memastikan Pas tidak terus menjadi mangsa mainan politik kedua-dua parti itu. Tambahan pula, sudah wujud pelbagai dakwaan mengenai pemimpin-pemimpin tertentu yang dilihat mampu mengikis imej Pas sebagai sebuah parti memperjuangkan Islam. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana kebanggaan Pas kononnya mereka sebuah parti Islam yang bebas daripada kempen tidak sihat bagi merebut jawatan sebenarnya hanya omong kosong.

Mungkin dari satu sudut, pemimpin dan penyokong Pas boleh sahaja menuding jari membuat tohmahan mengatakan ia kerja orang UMNO. Tetapi mereka tidak akan mampu menutup pekung yang tersebar dalam laman-laman sosial dan blog, bagaimana pemimpin-pemimpin Pas bercakaran sesama sendiri ada ketika sampai ke tahap fitnah memfitnah antara satu sama lain. Inilah kesan akibat terlalu bersahabat baik dengan PKR dan DAP serta sering sahaja menolak kebenaran atas alasan politik.

Apa pun, 1,300 perwakilan yang akan membuat keputusan pada 22 November ini tidak harus memandang ringan tanggungjawab yang ada pada mereka. Keputusan yang akan dibuat pada tarikh tersebut bakal menentukan corak perjalanan politik Pas selepas ini sama ada ‘Berani Berubah’ untuk menjadi sebuah parti yang dominan atau ‘Kekal’ sebagai ‘pak turut’.

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas