 |
Dato’ Sri Najib Tun Razak |
KUALA LUMPUR 11 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dunia khususnya negara-negara Islam perlu mencipta sistem ekonomi dan politik yang mampu mencapai aspirasi golongan muda.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu perlu memandangkan sikap pesimis melibatkan golongan itu yang gagal ditangani akan membawa kepada kemunduran seterusnya keganasan, pemberontakan serta ekstremisme.
Kata beliau, perkara demikian boleh dilihat dengan jelas semasa peristiwa Arab Springs yang ditambah dengan peratusan pengangguran dalam kalangan belia selepas mereka hanya diberi peranan kecil dalam menentukan kehidupan dan hala tuju negara.
“Ini ditambah dengan peranan media sosial yang digunakan untuk menyebarkan rasa tidak puas hati mereka. Namun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak boleh mengawal internet atau mengharamkan alat komunikasi baharu yang sememangnya berharga kepada ekonomi moden.
“Sebaliknya, kita perlu memastikan anak-anak muda diberi kepentingan dalam masyarakat kita. Kita mesti mewujudkan sistem politik dan ekonomi yang mana orang muda boleh mencapai aspirasi mereka. Secara ringkas, kita mesti menerima pemodenan,” katanya.
Beliau berucap dalam majlis makan malam Persatuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM) di sini malam ini.
Najib berkata, bagi Malaysia, pembaharuan ekonomi yang dilaksana telah membuka ekonomi negara kepada dunia yang turut membawa kematangan politik dengan golongan muda mempunyai kedudukan dalam masyarakat serta masa depan.
Menurut beliau, negara tidak mengalami kesan daripada apa yang didakwa sebagai ‘Malaysian Springs’ kerana ekonomi negara kukuh untuk memenuhi aspirasi anak muda dan sistem politik yang matang dalam menampung perubahan.
“Saya percaya Malaysia dengan cara sendiri boleh menjadi contoh kepada negara lain. Malaysia sebagai negara Islam boleh menunjukkan dunia kepada pemodenan, terbuka, demokratik dan berjaya. Dengan ini, kita bukan sahaja dapat mewujudkan sebuah negara yang makmur dan berjaya malah membantu ‘mengalahkan’ naratif antimoden serta regresif yang berada di tengah-tengah ekstremis,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Najib memberitahu, negara juga perlu berusaha dalam hal memperkasa golongan wanita.
“Menurut Bank Dunia, dalam 20 negara terbawah penyertaan tenaga buruh wanita, 19 daripadanya adalah negara-negara Islam. Laporan terkini Jurang Gender Global pula menunjukkan tiada kemajuan negara-negara Islam dalam hal itu berbanding negara-negara lain.
“Sesungguhnya al-Quran sendiri menyebut Islam menyediakan tempat untuk wanita mencari rezeki dan sepatutnya tidak berlaku konflik antara penyertaan wanita itu dan Islam,” katanya.