PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini secara rasmi melancarkan penubuhan Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) yang akan berperanan membincangkan isu-isu sukar dalam kalangan rakyat Malaysia. MKPN akan menggantikan Panel Penasihat Perpaduan Negara (Panel).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup berkata, berasaskan kepada pemerhatian umum dan trend pengundian Pilihan Raya Umum Ke-13 pada Mei lalu, tanda-tanda polarisasi kaum mula wujud dan perlu ada sebuah mekanisme penyelesaian terbaik dalam menangani isu-isu polarisasi kaum dan perpaduan yang berbangkit.
“Berpegang kepada prinsip ‘bila ada perpaduan memang ada kemenangan’ semua pihak tanpa mengira kaum harus bersatu hati memperkasa keharmonian antara rakyat berbilang kaum ke arah penyatuan nasional,” katanya.
Beliau berkata, penubuhan MKPN ini sejajar dengan hasrat untuk menjadikan badan itu bebas dan benar-benar berkesan menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Katanya, senarai nama ahli MKPN yang mewakili pelbagai latar belakang meliputi ahli akademik, ahli politik termasuk pembangkang, pelbagai etnik, ahli korporat, peguam, wakil orang muda dah ahli yang mewakili Sabah dan Sarawak akan diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini.
“Ahli-ahli yang dilantik semestinya berkredibiliti, berfikiran terbuka dan dapat menerima dan menghormati pelbagai pandangan.
MKPN perlu menjalin kerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi dan pertubuhan dalam menjalankan program dan akses kepada rakyat,” katanya.
Kurup menjelaskan, terdapat dua peringkat jawatankuasa MKPN yang ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Majlis dan Jawatankuasa Kerja.
Jawatankuasa Majlis dianggotai tidak lebih daripada 30 orang ahli tidak termasuk seorang pengerusi dan timbalan pengerusi manakala jawatankuasa kerja bergantung kepada keperluan dan keahliannya tidak melebihi 12 orang.
Menurut beliau, kepelbagaian yang wujud dalam negara majmuk ini menjadikan MPKN menggalas tugas yang amat besar dan penting. Setiap perbincangan dan jalan penyelesaian yang dicadangkan perlu mengambil kira pelbagai sudut pandangan.
Merekanjuga perlu mempunyai perspektif seimbang, mampu memberi pandangan konstruktif dan boleh menyumbang kepada usaha memupuk, memelihara, meningkat dan mengukuhkan penyatuan dan perpaduan nasional.
Ironinya, MKPN bertindak sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam hal ehwal perpaduan dan integrasi nasional, menyediakan forum untuk ahli-ahlinya mengemukakan buah fikiran bagi menentukan hala tuju dan dasar perpaduan negara dan integrasi nasional.
MPKN turut mengesyorkan bidang kajian yang diperlukan berkaitan dengan perpaduan negara dan integrasi nasional, menggubal pelan tindakan perpaduan negara dan integrasi nasional serta mencadangkan syor- syor untuk mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional.
“Jika isu-isu sukar tidak ditangani, usaha memupuk perpaduan nasional juga akan sukar dijayakan. Skop dan peranan majlis ini tidak melibatkan perbincangan isu-isu antara agama dan ia telah mempunyai platform sendiri iaitu Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama.
“Isu-isu yang mempengaruhi perpaduan nasional serta persepsi rakyat wajar dikaji dan dibincangkan dalam konteks yang betul di mana tidak semestinya satu bentuk penyelesaian nasional yang boleh diguna pakai bagi semua peringkat,” katanya.
Ini kerana terdapat isu-isu Sabah dan Sarawak yang perlu ditangani dengan menggunakan pendekatan yang berbeza berbanding isu-isu di Semenanjung kerana masing-masing mempunyai budaya, adat istiadat dan resam yang berlainan.
Kurup menambah, Jawatankuasa Kerja MKPN akan menjalankan tugas mengikut bidang yang telah ditentukan iaitu perundangan dan dasar-dasar mempromosikan keharmonian negara, membina bangsa dan persefahaman silang budaya, pembangunan inklusif, belia dan perpaduan serta integrasi nasional.
Sehubungan itu, katanya, hasil perbincangan setiap Jawatankuasa Kerja akan dibentangkan untuk mendapat persetujuan dalam mesyuarat majlis sebelum diserahkan kepada beliau untuk dipertimbangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Platform yang ada ini, ujar beliau, perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya dalam membincangkan secara terbuka, tertib dan berhemah ke atas isu-isu yang menjadi penghalang kepada penyatuan dan perpaduan.
Justeru, kesediaan untuk berubah, keikhlasan dan kejujuran untuk menjalin kerjasama merupakan antara elemen penting bagi mencipta hasil yang boleh dinikmati bukan sahaja generasi masa kini tetapi juga akan datang.
“Fokus seterusnya ialah mengaturkan program turun padang menerusi penganjuran program Dialog Perpaduan untuk mendapat input masyarakat akar umbi berkaitan usaha-usaha penyatupaduan nasional untuk menyediakan pelan tindakan MPKB,” katanya.