PUTRAJAYA 28 Okt. – Rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas didapati mengambil lebihan 500 hingga 700 kalori (kcal) sehari, sekali gus menyumbang terhadap peningkatan masalah obesiti dan penyakit kronik.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, berdasarkan Kajian Pengambilan Makanan Orang Dewasa 2003, purata rakyat Malaysia dewasa mengambil 2,500 kcal sehari, berbanding 1,500 kcal disarankan bagi wanita dan 2,000 kcal bagi lelaki.
“Jumlah kalori berlebihan pastinya membawa pelbagai masalah dan penyakit kronik, lebih-lebih lagi rakyat Malaysia kurang mengamalkan aktiviti senaman rutin,” katanya dalam sidang akhbar memperkenalkan buku Panduan Makan Secara Sihat Sempena Perayaan Deepavali di sini hari ini.
Menurutnya, pengambilan lebihan 500 kcal sehari bagi seseorang individu akan menyebabkan peningkatan berat badan sebanyak setengah hingga satu kilogram dalam masa seminggu atau dua hingga empat kilogram dalam masa sebulan.
“Bagi membakar 500 kcal, seorang lelaki dewasa perlu berbasikal selama 50 minit atau 68 minit bagi wanita dewasa,” ujarnya.
Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Faridah Mohd. Ali.
Sementara itu, Subramaniam berkata, pengambilan makanan yang tinggi lemak dan gula menjadi penyumbang kepada pengambilan jumlah kalori secara berlebihan.
“Sebagai contoh pengambilan sekeping muruku sebanyak 20 gram, sebiji laddoo (40 gram) dan sekeping halwa (40 gram) boleh membekalkan 500 kcal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, adalah mudah untuk mengurangkan pengambilan makanan daripada membakar kalori makanan yang diambil.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai mengamalkan diet pemakanan secara sihat sempena perayaan Deepavali nanti dengan mengelakkan pengambilan kalori secara berlebihan.