KUALA LUMPUR 13 Okt. - Pemilihan semula Datuk Seri Shahrizat Abdul
Jalil dan Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Wanita dan Pemuda UMNO pada
pemilihan parti semalam, diyakini dapat mengukuhkan lagi perjuangan
parti dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, dengan Ketua
Puteri yang baharu, Mas Ermieyati Samsudin, gandingan kepimpinan tiga
sayap itu akan melalui ujian pertama mereka pada pilihan raya kecil
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau 4 November ini.
"Ujian pertama ketiga-tiga ketua sayap ini adalah pilihan raya kecil
Sungai Limau. Ayuhlah segera turun ke Sungai Limau wahai Ketua Pemuda,
Wanita dan Puteri," katanya ketika dihubungi
Bernama hari ini.
Ahmad berkata, kemenangan Shahrizat, Khairy dan Mas Ermieyati sudah
dijangka kerana masing-masing mempunyai rekod perjuangan yang lama dalam
UMNO.
Mereka mendapat sokongan besar daripada bahagian sayap masing-masing
apabila keputusan setakat 3.30 pagi tadi menunjukkan Shahrizat menerima
100 undi, Khairy 97 undi manakala Mas Ermieyati 96 undi.
Kemenangan mereka diumum Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan
Sri Tajol Rosli Ghazali di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Shahrizat mengetepikan cabaran Datuk Maznah Mazlan dan Raihan
Suleiman Palestin manakala Khairy mengungguli saingan lima penjuru.
Khairy dicabar Syed Rosli Syed Harman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Irwan Ambak Khalid Izhar dan Abd Karim Ali.
Mas Ermieyati pula menewaskan Jamilah Hanim Othman.