Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Percutian mewah Ombak Villa

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Selasa, 22 Oktober 2013

KEBIRUAN Laut Andaman sangat mengasyikkan, namun tatkala melihat keindahan resort mewah Ombak Villa, sesiapa sahaja pasti tidak mahu melepaskan kedua-dua saat indah itu.

Dibangunkan oleh pemaju hartanah terkenal, MK Land Holding Berhad, Ombak Villa merupakan tarikan terbaharu Langkawi Lagoon Resort yang terletak di Jalan Kuala Muda, Langkawi.

Sebelum ini, Langkawi Lagoon Resort sudah memiliki hotel mewah atas air, Seavilla; hotel keluarga, Beach Front Hotel dan hotel bajet, Kuala Melaka Inn.

Keterujaan terhadap Ombak Villa bermula apabila tiba di ruang legar yang menempatkan kaunter daftar masuk. Menariknya, dengan kedudukan yang paling tinggi, anda boleh melihat hampir keseluruhan resort berkenaan.

Jika di kiri memperlihatkan kemewahan Ombak Villa yang dibina bercirikan moden kontemporari dan reka bentuk tradisional Melayu, di kanan pula tersergam indah, Seavilla.

Di hadapan pula terbentang luas Laut Andaman dan di kanan Seavilla, terletak keputihan pantai yang menempatkan Beach Front Hotel.

Apa yang lebih mendamaikan adalah di sebalik dikelilingi kemewahan penginapan itu, sebuah surau bersaiz sederhana yang selesa untuk menunaikan tanggungjawab kepada Allah SWT, dibina di tengah-tengah tiga hotel berkenaan.

Pemandangan yang amat jarang dilihat di hotel mewah lain yang kebiasaannya memilih kawasan tersorok untuk dibina ruang ibadat umat Islam.

Ombak Villa yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 30 September lalu terdiri daripada 79 unit suite, masing-masing 76 Ombak Suite, satu vila eksklusif yang dinamakan Villa Seri Kasturi dan dua vila bulan madu, Seroja Suite.

Jika Seroja Suite sesuai bagi pengantin baharu dan pasangan yang sukakan suasana romantik eksklusif, Villa Seri Kasturi pula untuk mereka yang mahukan percutian mewah lengkap segala-galanya.

Tidak menghairankan, tetamu di vila itu akan disediakan pembantu peribadi atau personal butler. Villa Seri Kasturi mempunyai tiga bilik dilengkapi bilik air individu, jakuzi di bilik utama, dapur moden, ruang menunggu, ruang makan dan ruang tamu serta balkoni dan kemudahan barbeku.

Ombak Suite pula datang dengan kelengkapan penuh bilik termasuk sama ada dua atau tiga katil, bilik air dilengkapi tab mandi dan balkoni. Dua suite dalam kategori ini dibina mesra orang kurang upaya (OKU).

Seroja Suite yang dibina di tepi laut dilengkapi kelengkapan penuh bilik termasuk bilik tidur utama, bilik air berserta jakuzi, pantri, ruang makan dan balkoni peribadi.

Selain pesisir pantai yang mendamaikan, tetamu Ombak Villa boleh memilih menyusuri laluan pelantar bagi menikmati keindahan resort yang dipenuhi tumbuhan asli seperti pokok kelapa, rhu dan denai herba yang ditanam dengan serai, misai kucing dan sebagainya.

Puas dengan sajian mata, tetamu Ombak Villa boleh menghilangkan lapar dan dahaga di dua pilihan restoran iaitu Restoran Bayu dan Amai Bistro.

Restoran Bayu yang terletak bersebelahan bangunan menempatkan kaunter daftar masuk menyediakan makanan tempatan dan Barat yang menyelerakan.

Kolam renang bersaiz separa Olimpik yang membiru, di samping kolam renang untuk kanak-kanak di sebelahnya pasti memberikan pengalaman berbeza ketika menikmati hidangan masing-masing.

Apatah lagi pada ketika itu, anda akan melihat kolam tersebut seolah-olah berada di sebelah Laut Andaman kerana kedudukannya yang dibina selari dengan paras laut.

Jika inginkan suasana lebih santai, Amai Bistro ada jawapannya. Bistro tepi pantai ini juga tempat paling menarik menyaksikan matahari terbenam di ufuk Laut Andaman.

Kehadiran bot-bot nelayan yang berlabuh berhampiran memberikan satu pemandangan dan impak terhadap budaya Malaysia yang serba unik.

Perkara lain yang boleh dibanggakan dengan Ombak Villa yang dibangunkan membabitkan pelaburan RM48 juta adalah ia mengutamakan ciri-ciri bangunan hijau.

Antaranya, sistem pengumpulan air hujan bertujuan bagi penggunaan semula air itu untuk penyiraman taman dan landskap sekitar Ombak Villa.

Teknologi dual flush cistern turut menyumbang kepada penjimatan penggunaan air, manakala penggunaan Iampu jalan dengan kawalan silau dan penggunaan double loop lighting menjimatkan elektrik.

Bumbung luas di setiap blok Ombak Suite membolehkan sistem pengudaraan semula jadi dilakukan dengan lebih berkesan.

Pendek kata, selain mewah, Ombak Villa juga mesra alam dan susah tentu mesra kepada tetamunya. Justeru, apa kata rancang percutian anda seterusnya di sini.

Lagi pun di sekeliling resort ini, terdapat banyak destinasi pelancongan popular Langkawi, sesuai untuk percutian seisi keluarga.

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas