KUALA LUMPUR 21 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat memberi keyakinan terhadap komitmen kerajaan untuk menyelesaikan isu pelaburan spekulatif sektor hartanah di negara ini.
|
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang menghala ke arah Putra
Perdana di mana pejabatnya terletak di Putrajaya dengan menggunakan
Google Map, ketika beliau melawat pejabat Google di Mountain View di San
Francisco, 25 Sept, 2013 baru-baru ini. |
Perdana Menteri berkata, kegiatan spekulasi hartanah yang menular dalam kalangan golongan berpendapatan tinggi itu telah banyak mengekang hak rakyat berpendapatan sederhana atau rendah untuk memiliki rumah sendiri.
Menurut beliau, kerajaan sedia maklum tentang isu tersebut dan sedang mengkaji kaedah untuk mengawal pelaburan spekulatif sektor hartanah agar tidak membawa kesan kepada golongan yang mahu membeli rumah pertama mereka.
"Yakinlah bahawa kerajaan sentiasa peka dengan masalah rakyat yang selama ini bekerja keras untuk membeli rumah pertama mereka.
"Kita harus membina satu ekosistem perumahan yang mampu bertahan selama beberapa generasi, namun tidak pula membebankan pemilik sepanjang hayat mereka," katanya dalam entri bertajuk 'Bajet 2014: Langkah-langkah Merealisasikan Perumahan Mampu Milik' yang disiarkan menerusi blog
http://www.1malaysia.com.my hari ini.
Tambah Najib, perumahan mampu milik sebenarnya telah lama menjadi tonggak perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Beliau memberitahu, kerajaan sentiasa memberi fokus utama terhadap isu pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat melalui pelbagai usaha di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), Rancangan Malaysia Ke-10, Bajet 2013 dan akujanji BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
"Malah baru-baru ini, Bengkel Inisiatif Menurunkan Harga Rumah telah dilancarkan di bawah kelolaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan," jelasnya.
Perdana Menteri berkata, bengkel itu bertujuan mengkaji bagaimana sektor awam dan swasta boleh berganding bahu secara efektif dalam soal membina rumah mampu milik untuk rakyat.
"Hasilnya, pelbagai strategi telah dikenal pasti untuk menangani isu ini dan sebahagian daripada strategi ini akan dimaklumkan semasa pembentangan Bajet 2014 kelak.
"Impian setiap rakyat Malaysia adalah untuk memiliki rumah sendiri, impian kerajaan BN pula untuk menjadikannya satu realiti," ujarnya.
Najib menjelaskan, semasa kempen PRU-13 yang lalu, kerajaan BN telah berikrar untuk membina rumah mampu milik secukupnya dalam tempoh lima tahun.
Kata beliau, separuh daripada jumlah tersebut akan dibina di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
"Setakat ini, sebanyak 20,000 unit rumah PR1MA telah pun diluluskan dan akan dibina di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara manakala bakinya pula akan menyusul secara berperingkat seperti yang telah dirancangkan," jelasnya.