Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Fenomena baharu dasar luar Riyadh?

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Ahad, 27 Oktober 2013

MEMBINGUNGKAN, mengejutkan dan tidak masuk akal adalah antara reaksi masyarakat diplomatik antarabangsa terhadap keputusan Riyadh menolak kerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dimenangi oleh Arab Saudi pada proses pemilihan yang dikatakan berlangsung agak sengit.

Mengejutkan kerana diplomat Arab Sausekian lama telah berusaha dengan begitu keras bagi mendapatkan sokongan negara PBB lain untuk mengundi pencalonan Riyadh kerana Majlis Keselamatan dianggap forum terpenting dalam arena politik antarabangsa. Malah sebagai salah satu langkah persediaan, Riyadh telah membentuk satu kumpulan khas yang terdiri daripada diplomat berpengalaman untuk melobi negara lain.

Terdapat lima kekosongan tempat sebagai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan berikutan akan tamatnya keahlian Azerbaijan, Guatemala, Maghribi, Pakistan dan Togo pada 31 Disember 2013. Pada pemilihan terbaru Chad, Chile, Lithuania, Nigeria dan Arab Saudi terpilih untuk penggal selama dua tahun.

Di antara kelima-lima negara yang baharu dilantik, Arab Saudi dijangkakan memainkan peranan paling efektif kerana Riyadh mempunyai pengaruh yang agak kuat terhadap ahli tetap Majlis Keselamatan iaitu Amerika Syarikat (AS), Britain, Peranchis, Rusia dan China.

Lebih membingungkan lagi adalah keputusan Riyadh menempelak kerusi Majlis Keselamatan hanya selepas beberapa jam diumumkan secara rasmi oleh PBB adalah kerana tidak puas hati terhadap kaedah PBB menangani krisis Syria, Palestin dan kegagalan badan tersebut menwujudkan Timur Tengah sebagai kawasan bebas senjata pemusnah besar-besaran.

Sebab itulah terdapat diplomat antarabangsa meluahkan perasaan dengan menyatakan keputusan Riyadh tersebut tidak masuk akal kerana dengan berada dalam Majlis Keselamatan, ketiga-tiga isu tersebut boleh dibawa ke dalam agenda perbincangan.

Memang benar Riyadh kurang berpuas hati dengan status ahli tidak tetap kerana tidak mempunyai kuasa pembatal seperti mana lima ahli tetap. Tetapi setiap ahli tidak tetap berpeluang menjadi pengerusi badan tersebut kerana jawatan itu dilaksanakan secara bergilir. Pengerusi mempunyai tanggung-jawab yang agak besar kerana mampu mewarnai agenda perbincangan Majlis Keselamatan.

Tindakan Riyadh juga dianggap satu fenomena baru bagi pengamalan dasar luar Arab Saudi yang selama ini lebih bersifat di sebalik tabir dan tidak begitu menonjol jika hendak dibandingkan dengan negara Arab lain.

Langkah Riyadh dengan secara langsung ditafsirkan telah mengkritik secara terbuka terhadap organisasi Majlis Keselamatan dan ini dinilaikan sebagai bertentangan dengan pengamalan dasar luar berprofil rendah Arab Saudi.

Begitu juga dengan mengkritik krisis Syria, Riyadh sebenarnya tidak berpuas hati dengan Washington yang telah menjalin persefahaman dengan Moscow mengenai isu penggunaan senjata kimia yang dikatakan didalangi oleh tentera kerajaan Bashar al Assad. Bukan menjadi rahsia lagi Riyadh banyak membantu tentera pemberontak Syria untuk menjatuhkan kerajaan Bashar dan keengganan Washington meneruskan operasi ketenteraan telah membantut usaha menggulingkan Bashar.

Begitu juga dengan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap proses perdamaian kemelut Palestin-Isreal sebenarnya juga mengkritik AS secara terbuka. Ini adalah kerana Washington mempunyai pengaruh terhadap Israel terutama sekali terhadap isu yang melibatkan pembangunan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Memang benar selama ini Riyadh sememangnya tidak berpuas hati dengan sikap Israel tetapi mengkritik secara terbuka sekutu kuatnya AS melalui tindakan drastik menempelak Majlis Keselamatan juga ditafsirkan sebagai fenomena baru pengamalan dasar luar Riyadh.

Kegagalan Majlis Keselamatan memperjuangkan isu kawasan bebas senjata pemusnah besar-besaran Timur Tengah yang menjadi salah satu sebab tindakan drastik Riyadh adalah berkaitan dengan pembangunan nuklear oleh Israel dan Iran.

Tanpa perlu berselindung Israel sememangnya mempunyai kemampuan senjata nuklear dan keadaan ini berlaku kerana perlindungan dan sokongan yang diberikan oleh AS kepada Tel Aviv. Sekali lagi walaupun isunya adalah Israel tetapi sebenarnya Riyadh menempelak Washington.

Tetapi paling menarik adalah mengapa isu senjata nuklear menjadi salah satu pencetus adalah bukan sangat kerana pemilikan senjata nuklear Israel tetapi disebabkan senario hubungan diplomatik Washington dan Teheran sudah mula menunjukkan tanda- tanda berbaik bermula dengan pelantikan Presiden Iran iaitu Hassan Rouhani. Riyadh mentafsirkan hubungan yang baik di antara Washington dan Teheran akan memulihkan ekonomi Iran yang dianggap seteru kepada Arab Saudi.

Tidak kira apa jua tuduhan masyarakat diplomatik antarabangsa terhadap tindakan Riyadh tersebut yang dikatakan merugikan negara Arab dan juga negara Islam lain, ia adalah satu fenomena baru dan tidak dijangka boleh berlaku kerana ia melibatkan secara langsung hubungan Riyadh-Washington.

Bibit-bibit rasa tidak puas hati Riyadh terhadap Washington mula kelihatan berlaku secara terbuka apabila Washington mengumumkan untuk mengenakan sekatan bantuan ketenteraan berjumlah AS$1.3 bilion yang diberikan kepada Mesir setiap tahun akibat peristiwa rampasan kuasa tentera terhadap kerajaan Mohammed Morsi beberapa bulan lepas.

Mungkin ada hikmahnya tindak-tanduk Riyadh menarik diri kerana tidak dinafikan struktur Majlis Keselamatan adalah begitu pincang sekali. Bayangkan dari 193 negara yang menganggotai PBB hanya lima negara ahli tetap Majlis Keselamatan yang mempunyai kuasa mutlak untuk mengadili dan menghukum negara lain sementara negara lain hanya memainkan peranan sisi sahaja. Semoga tindakan Riyadh dapat menyedarkan kuasa besar akan kepincangan tersebut.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas