DAMSYIK 25 Okt. – Ibu negara Syria terpaksa bergelap kelmarin, selepas saluran paip gas terletak berhampiran lapangan terbang antarabangsa meletup dipercayai dibedil peluru berpandu Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Beberapa penduduk di Damsyik mendakwa, mereka mendengar bunyi tembakan bertalu-talu sebelum bekalan elektrik terputus di seluruh wilayah tersebut.
Sementara itu, kumpulan pemerhati hak asasi manusia (HRW) berpusat di Britain melaporkan insiden itu dipercayai berlaku selepas peluru berpandu terbabit disasarkan ke bandar Ghasula terletak beberapa kilometer dari lapangan terbang tersebut.
“Ia adalah operasi terancang dilakukan secara besar-besaran. FSA kini berusaha menguasai Damsyik yang menjadi kubu kuat Presiden Bashar al-Assad,” kata Pengarah HRW, Rami Abdel Rahman.
Menurut agensi berita Sana, bekalan kuasa dilaporkan kembali pulih di kebanyakan kawasan menjelang pagi semalam.
Difahamkan, insiden sama yang berpunca daripada perbuatan sabotaj juga pernah berlaku, bulan lalu, dipetik dari laporan Al-Jazeera.