Bukan sekali Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan tanpa terlebih dahulu
mengkaji, tetapi telah beberapa kali. Antara kenyataan paling memalukan
yang dikeluarkan oleh Nurul Izzah ialah berkenaan isu Lahad Datu di
mana beliau menuduh Pasukan Cawangan Khas sebagai bertanggungjawab untuk
mencari orang hilang. Malah, dalam isu agama juga Nurul Izzah tidak
berfikir panjang, tetapi menyerbu sesuka hatinya dalam keghairahan untuk
meraih undi bukan Islam.
Kerana itu, beliau sanggup menyatakan bahawa orang Islam juga berhak
murtad iaitu satu kenyataan yang kurang tepat dari konteks Islam dan
salah dari segi politik. Seperti bapanya, Nurul Izzah suka mencari
publisiti murah atas perkara yang remeh. Namun, sesekali, Nurul Izzah
kelihatan teringin juga menyentuh soal yang lebih berat seperti
pertahanan negara. Bagaimanapun, ia berakhir dengan beliau telah dikecam
hebat kerana merisikokan rahsia negara terbongkar luas.
Hari ini, Nurul Izzah mencari publisiti murah lagi dengan terus
menghentam produk-produk 1Malaysia. Kita faham keterdesakan Nurul Izzah
yang namanya semakin pudar dalam politik negara. Kita juga faham Nurul
agak malu dan tertekan dengan ejekan orang ramai terhadap tindakan
bapanya membuat ‘make-over’ ke atas wajah yang ketandusan seri. Dan
Nurul perlu mengalih perhatian ramai.
Maka, Nurul pun menghentam Klinik 1Malaysia. Katanya, klinik ini
tidak berkualiti dan bertaraf dunia ke-3 kerana tidak menyediakan doktor
tetapi hanya Pembantu Perubatan untuk merawat pesakit. Benar, bahawa
klinik ini tidak menyediakan khidmat doktor kerana memang itupun yang
diumumkan kepada rakyat iaitu objektifnya ialah untuk menangani sakit
ringan dan biasa sahaja.
Objektif ini bertepatan dengan keperluan rakyat berpendapatan rendah
yang memerlukan khidmat perubatan yang murah, dekat dan mudah bagi sakit
biasa seperti luka, demam, batuk, selsema, cirit birit atau sakit
kepala, dan yang sepertinya. Sakit seperti ini adalah bermusim dan mudah
tersebar. Bagi sebuah keluarga yang ramai, kewujudan Klinik 1M ini
tentulah memudahkan, daripada mereka terpaksa bersilih ganti ke klinik
lain yang lebih mahal untuk mendapatkan ubat yang sama.
Selain itu, ia juga bagi memudahkan pesakit yang memerlukan ubat
berterusan bagi penyakit seperti darah tinggi atau insulin bagi pengidap
kencing manis dan sebagainya. Dengan adanya klinik 1M ini, pesakit
seperti ini tidak perlu lagi menapak ke hospital setiap kali kehabisan
bekalan ubat-ubatan. Kerajaan tidak pernah menjanjikan Klinik 1M sebagai bertaraf sebuah
klinik pakar tetapi hanya menjanjikan yang ia mampu memudahkan dan
mengurangkan beban kos rakyat bagi mendapatkan ubat-ubatan biasa.
Oleh itu, kritikan Nurul Izzah adalah tidak relevan sama sekali.
Untuk pengetahuan Nurul Izzah, Dato’ Seri Najib bukan berperangai
seperti Anwar Ibrahim yang gemar berjanji bulan dan bintang walaupun
tidak mampu menyediakannya. Dato’ Seri Najib menjanjikan perkara yang
logik dan praktikal berdasarkan kemampuan negara.
Nurul Izzah pastinya mempunyai mentaliti dunia ketiga yang sentiasa
mengharapkan perkhidmatan taraf pertama dengan kos yang paling rendah
atau percuma. Beliau juga tentu menyangka yang semua ahli politik adalah
penipu seperti bapanya.
Hakikatnya, BN tidak pernah menipu. Buktnya, Klinik 1M telah pun
wujud dan menepati objektif penubuhannya sepertimana yang dijanjikan. Ia
telah terbukti diterima baik oleh rakyat dan berjaya.
Justeru, daripada Nurul Izzah asyik tersalah kritik, mungkin lebih
baik jika Nurul Izzah cuba bentangkan apakah yang telah dilakukannya
atau partinya yang mampu membantu dan memudahkan hidup rakyat? Rasanya,
sudah sampai masanya Nurul berpolitik secara matang, bukan dengan cara
dunia ke-3.