 |
Datuk Ahmad Maslan |
GURUN 5 Okt. - Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan mahu anggota parti memberi keutamaan kepada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau kerana peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang di kawasan itu adalah cerah.
Beliau berkata, kemenangan dalam pilihan raya kecil itu 4 November ini penting kepada UMNO dan BN untuk membawa pembangunan di kawasan itu yang agak ketinggalan selama 25 tahun di bawah Pas.
"Saya rasa tidak mustahil BN diberi peluang untuk menang. Kita tidak mahu takabbur atau bongkak tetapi keyakinan saya kita menang tidak mustahil.
"Niat kita hanya nak bangunkan Sungai Limau. Pada (pilihan raya umum) 2008 kita (BN) kalah Parlimen Jerai tapi menang semula tahun ini (pilihan raya umum ke-13 Mei lepas). Kemenangan ini memberi kekuatan kepada jentera BN. Jadi, tidak mustahil untuk kita tawan Sungai Limau," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas memberi penerangan isu-isu semasa kepada kumpulan jalinan rakyat Wanita Jerai di sini, hari ini, Ahmad berkata dalam saat genting seperti ini, pemilihan Umno pada 12 dan 19 Oktber ini jatuh nombor dua.
"Pemilihan kita adalah sesama keluarga Umno sahaja. Yang menang atau kalah pasti pasrah dengan rezeki masing-masing. Pertandingan ini saya yakin tidak akan jejas persiapan BN menghadapi PRK Sungai Limau," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 23 Oktober dan pengundian 4 November. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September lepas.
Ahmad berkata, persepsi lebih 11,000 pengundi muda di Sungai Limau tidak menyokong BN sudah tidak kuat kerana rumusan kajian pilihan raya umum ke-13 menunjukkan sokongan golongan muda di peringkat nasional terhadap BN telah meningkat.
Katanya, pengundi DUN Sungai Limau wajar memberi peluang kepada BN mengambil alih kawasan itu kerana selepas 25 tahun dikuasai Pas tidak banyak pembangunan berlaku.
Sebelum itu, Ahmad bersarapan pagi dengan penduduk Simpang Tiga, Sungai Limau dan disusuli perjumpaan dengan anak-anak muda Sungai Daun.