KUALA LUMPUR, 28 Okt. – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada tujuh anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Istana Negara di sini.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohammed dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Shukri Abdull.
Mendahului senarai ialah Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang selaku Pengerusi jawatankuasa, diikuti Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Doris Sophia Brodi dan Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abd Rahman, Ahli Parlimen Kota Baharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Dewan Negara Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor turut menerima surat cara pelantikan itu.
Abu Zahar merupakan muka baharu yang dilantik mengetuai jawatankuasa itu selain empat yang lain iaitu Irmohizam, Fauzi, Takiyuddin dan Mohamad Ezam.
Doris Sophia dan Tan pula dilantik semula.
Kesemua anggota jawatankuasa itu dilantik mengikut Seksyen 14(2) Akta SPRM bagi tempoh 25 Mei 2013 hingga 24 Mei 2016.
Pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan peruntukan Seksyen 14 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Antara fungsi jawatankuasa itu ialah menasihati Perdana Menteri mengenai rasuah di Malaysia, memeriksa laporan tahunan SPRM serta mendapatkan penjelasan dan penerangan mengenai laporan tahunan SPRM dan ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah.