KUALA LUMPUR 22 Sept. - Gandingan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden serta Timbalan Presiden parti berjaya memulihkan semula kekuatan UMNO yang sebelum ini merudum akibat sokongan orang Melayu kepada parti itu terhakis sedikit demi sedikit.
Melalui gandingan kedua-dua pemimpin tersebut, orang Melayu mula kembali kepada UMNO dan hasilnya jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu meningkat iaitu daripada 79 kerusi kepada 88 kerusi.
Ahli Majlis Tertinggi (MT), Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, gandingan kedua-dua pemimpin itu juga berjaya menggerakkan proses transformasi negara yang terbukti telah memberi impak positif kepada kesejahteraan hidup rakyat dan pembangunan negara.
''Kemenangan mereka tanpa bertanding untuk jawatan tertinggi parti membuktikan gandingan Najib dan Muhyiddin selama ini cukup ikhlas dan ini diperakui ahli di peringkat akar umbi.
"Ini yang boleh saya rumuskan tentang gandingan antara Najib dan Muhyiddin. Hubungan mereka tidak pernah bermasalah, sebaliknya sentiasa subur demi kesejahteraan rakyat dan negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kemenangan Najib dan Muhyiddin sebagai Presiden serta Timbalan Presiden UMNO tanpa bertanding selepas tiada pihak yang tampil untuk mencabar kedudukan itu sebaik sahaja tempoh penyerahan borang pencalonan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tamat pada pukul 5 petang, semalam.
Najib memegang jawatan itu sejak 2009 setelah menang tanpa bertanding manakala Muhyiddin juga memegang jawatan tersebut sejak 2009 setelah menewaskan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.
Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Idris Haron berkata, kemenangan Najib dan Muhyiddin membuktikan pengiktirafan ahli-ahli akar umbi terhadap gandingan kedua-dua pemimpin tersebut.
Hakikatnya beliau berkata, melalui gandingan Najib dan Muhyiddin, Barisan Nasional (BN) bukan sahaja berjaya mengekalkan kemenangan pada PRU-13, malah UMNO meningkatkan jumlah kerusinya.
"Pencapaian ini bukannya dibuat-buat tetapi datang daripada keikhlasan dan kejujuran para pemimpin utama kita. Peringkat akar umbi sebenarnya mahu melihat UMNO terus maju dalam membela agama, bangsa dan negara," katanya lagi.
Sementara itu Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, kemenangan mereka itu sebagai tanda pengiktirafan ahli dan kepimpinan UMNO yang berjaya melaksanakan amanah terbaik demi agama bangsa dan tanah air.
"Mereka juga telah membawa UMNO ke arah kejayaan apabila menang daripada 79 kepada 88 kerusi, selain berjaya menawan Kedah dan Perak di dalam pilihan raya umum lalu.
"Bagi kami, mereka merupakan gandingan mantap sebagai panglima perang dalam PRU-14 nanti," katanya.