 |
Datuk Seri Mustapa Mohamed |
PUTRAJAYA 18 Sept. - Perbadanan Pembangunan
Industri Halal (HDC) terus mengukuhkan penglibatannya dalam industri
halal global dengan menggalakkan perdagangan dua hala dnegan nilai
pelaburan melebihi RM7.4 trilion (AS$ 2.3 trilion) setiap tahun.
Nilai itu dihasilkan melalui kerjasama strategik antara lima
organisasi antarabangsa dari Jepun, Korea Selatan, China, Hong Kong dan
Taiwan yang membentuk kerjasama bagi mewujudkan Global Halal Footprint.
Lima organisasi terlibat adalah Halal Development Internal Japan
Corp., Halal Development Internal Korea Corp., Halal Development
Internal Shanghai Corp., Halal Development Internal Taiwan Corp. dan
Halal Development Internal HK Corp. (Hong Kong).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa
Mohamed berkata, usaha sama itu merupakan inisiatif penting untuk
organisasi terlibat mengenali pasaran tempatan dengan lebih jelas.
"Ia juga akan memberi kesedaran pengguna untuk mendapatkan dan
mengetahui kepentingan produk halal di samping berupaya menarik lebih
banyak pelaburan asing dalam sektor halal di negara ini.
"Ini adalah sebahagian daripada strategi pemasaran dalam menggunakan
kepakaran tempatan untuk menembusi pasaran Jepun terutamanya yang
mempunyai minat mendalam dalam industri halal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas
Sesi Networking Bisnes Global Halal Footprint di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin.
Jelasnya, melalui kerjasama ini, organisasi terlibat dapat menubuhkan
kemudahan pengeluaran di sini dan seterusnya menjadikan Malaysia
sebagai pangkalan untuk mengeksport produk mereka.
"Produk halal bukan hanya tertumpu kepada produk berasaskan makanan
dan minuman, malah ia merangkumi barangan penjagaan diri, kosmetik dan
farmaseutikal," katanya.
Sementara itu, Jamil Bidin berkata, organisasi tersebut akan
menggalakkan pelabur untuk menggunakan Malaysia sebagai batu loncatan
mengakses pasaran halal dan meletakkan negara sebagai destinasi
pelaburan ideal.
"Populasi dunia telah bersedia untuk berkembang sebanyak 22 peratus
dalam tempoh 18 tahun akan datang dan bakal menyumbang kepada
peningkatan permintaan bagi produk dan perkhidmatan halal.
"Eksport halal Malaysia untuk pasaran Asia Timur bernilai RM8.1
bilion (AS$2.5 bilion) pada tahun lepas telah menyumbang 26.9 peratus
daripada jumlah eksport halal bernilai RM30.1 bilion (AS$ 9.29 bilion)
pada tahun yang sama," katanya.