 |
Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa |
BUTTERWORTH 17 Sept. - Majlis dialog antara Islam
dan Kristian anjuran Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas, Datuk Dr.
Mujahid Yusuf Rawa di sebuah restoran di Jalan Kampung Benggali di sini
malam tadi kecoh apabila pemiliknya menghalau penganjur dan para
peserta program berkenaan.
Pemilik premis makanan itu yang merupakan seorang wanita mendakwa
dirinya ditipu kerana tidak dimaklumkan tentang tujuan sebenar orang
ramai berkumpul di situ.
Dialog tersebut pada mulanya dijadual berlangsung di sebuah gereja
yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ tetapi diubah lokasi
pada saat-saat akhir oleh penganjur bagi mengelak sebarang kejadian
tidak diingini.
Ketika Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar dan isterinya,
Datin Zuraida Husin tiba pada kira-kira pukul 9 malam, wanita berkenaan
dilihat meninggikan suara dan meminta penganjur mengosongkan tempat
berkenaan menyebabkan beberapa peserta berang dan menyifatkan
tindakannya sebagai biadab.
Keadaan itu memaksa penganjur kembali ke lokasi asal penganjuran iaitu Gereja St. Mark.
Di luar gereja pula, kira-kira 40 anggota polis dilihat berkawal bagi mengawal keselamatan.
Sebelum ini, majlis berkenaan mendapat bantahan beberapa pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) Islam di negeri ini yang membuat laporan polis
kerana bimbang ada pihak tertentu menggunakan dialog tersebut untuk
agenda politik sehingga sanggup menggadaikan maruah Islam.
Sementara itu, Mujahid dalam sidang akhbar selepas dialog berkenaan
mempersoalkan saranan beberapa NGO yang mendesaknya mendapat keizinan
Majlis Raja-Raja Melayu terlebih dahulu sebelum menganjurkan majlis
tersebut.
Mujahid mendakwa, penganjuran itu bertujuan melihat wujud perpaduan
dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini, justeru tidak
perlu mendapat keizinan Majlis Raja-Raja Melayu.
"Dalam negara sudah lebih 50 tahun merdeka, apabila hendak bercakap
mengenai Islam, kenapa kita kena minta izin? Saya bercakap sebagai
seorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, bukannya di kedai kopi.
"Jika saya dikatakan tidak layak untuk anjurkan program sebegini,
mereka harus berbuat demikian dengan membawa individu yang dirasakan
layak,'' katanya.
Yang turut hadir paderi gereja berkenaan, Father John Kennedy bersama kira-kira 40 peserta.
Dalam majlis itu, Mujahid turut melancarkan buku terbaharu hasil penulisannya berjudul Berdialog Dengan Gereja - Sebuah Travelog Kedamaian.
Mengulas lanjut, Mujahid memberitahu, beliau telah mengunjungi lebih
20 gereja di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dan menegaskan
dialog seumpama itu perlu diteruskan.
"Saya datang ke sini bukan hendak membeli atau menjual agama. Adakah
selepas mengunjungi lebih 20 buah gereja, saya menjadi kurang arif
mengenai Islam,'' katanya lagi.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau akan mengusulkan
kepada pimpinan tertinggi Pas supaya mengadakan dialog berkenaan dengan
ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang bukan beragama Islam
kerana mengetuai cabang perpaduan dalam parti itu, beliau berkata,
perkara berkenaan tidak perlu.