TAHUN 2013 antara tahun yang tidak boleh dibanggakan dalam industri hiburan tempatan. Tidak ada pencapaian yang boleh diingati sama ada dalam bidang muzik dan juga lakonan yang nampak lesu sampai tidak bermaya.
Festival Filem Asia Pasifik yang diadakan di Macau baru-baru ini misalnya, seperti acara makan angin buat para delegasi negara sahaja. Tiada satu pun anugerah besar yang dimenangi oleh filem-filem Malaysia pada festival tersebut.
Cuma daripada segi penerbitan filem cereka yang ditayangkan di pawagam bilangannya melebihi 70 judul tahun lalu. Daripada segi kuantiti ia suatu angka yang drastik dan meningkat dua hingga tiga kali ganda berbanding 10 tahun lalu.
Namun, apabila bercakap soal kualiti dan jumlah kutipan tiket pula filem-filem Melayu dilihat semakin jatuh teruk. Tiada lagi filem yang menjadi sebutan ramai penonton, apatah lagi untuk didiskusikan dalam bentuk apresiasi.
Malah, kutipan tiket filem-filem Melayu tiada yang melepasi angka RM5 juta sepanjang tahun lepas. Nampak gayanya industri perfileman Melayu mungkin mengambil masa 100 tahun lagi bagi mengatasi kutipan tiket KL Gangster.
Filem terbitan Skop Production itu mengaut kutipan tiket RM11.74 juta sewaktu tayangannya pada 2011. Itu secara kasar prestasi soal untung serta rugi yang lebih memihak kepada isi poket golongan penerbit di negara ini.
Bagaimanapun, secara umumnya juga dunia hiburan tanah air sepanjang tahun lalu lebih gempar dengan cerita-cerita yang sedikit sebanyak boleh menggambarkan mentaliti majoriti golongan artis tempatan.
Kisah cinta, putus cinta, kahwin, cerai, skandal, rogol, saman menyaman dan bergaduh sesama sendiri adalah cerita yang paling banyak mewarnai golongan ini. Ada di antara cerita itu pelik tetapi benar dan ia mungkin hanya boleh diterima kepala lutut.
Contohnya, ada di antara artis di negara ini yang begitu beriya-iya mengadakan sidang akhbar khas bagi mengumumkan kisah percintaan dengan pasangan masing-masing. Ia ibarat soal masalah negara yang mesti dihebohkan satu dunia.
Cuma yang pelik dan ajaibnya apabila tiba soal mahu berkahwin ada di antara artis di negara ini sanggup bermati-matian menyorok mahupun menafikan status mereka. Ini jelas menggambarkan mentaliti golongan terbabit.
Amat menyedihkan kerana senario ini turut mendedahkan tahap kesedaran dan kefahaman agama golongan ini. Paling malang buat para peminat yang mengangkat artis-artis sebegini sebagai ikon atau idola mereka.
Secara tidak langsung hal-hal seperti ini akan mempengaruhi perkembangan pemikiran terutama golongan muda.
Corak generasi masa depan banyak bergantung terhadap apa yang mempengaruhi mereka pada hari ini.
Mereka membesar dalam persekitaran kurang sihat apabila mengambil golongan artis seperti ini sebagai ikutan yang sepatutnya boleh dijadikan sebagai penguat dalam perkembangan spiritual dan jati diri masing-masing.
Dalam situasi ini, perlu ada elemen timbang tara bagi mengimbangi banyak perkara. Misalnya soal elemen komersial, hiburan, mendidik dan tahap kesedaran yang membabitkan semua pihak terutama stesen televisyen dan radio.
Dua medium penyiaran itu paling kuat menyumbang ke arah pembentukan budaya, pemikiran dan hala tuju pemikiran masyarakat pada masa akan datang. Sebab itu, elemen keseimbangan itu sudah lama ada.
Ia antara lain dengan adanya saluran radio seperti IKIM FM yang dikendalikan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia yang dilihat belum digerakkan sepenuhnya terutama dengan sokongan 100 peratus daripada kerajaan.
Dengan moto hiburan mendidik jiwaâ, saluran radio ini dilihat sudah cukup kontemporari daripada segi pengisian dan penyampaiannya. Cuma ia belum diketengahkan secara meluas terutama buat para pendengar muda.
Begitu juga dengan saluran televisyen Oasis di bawah Astro. Banyak rancangan menarik dalam bentuk forum, drama mahupun yang berbentuk santai tetapi ia masih belum berada di tahap yang meluas daripada segi promosinya.
Di harap kemunculan 2014 akan memberi nafas baharu dalam dunia hiburan di negara ini.
Selain memerah kreativiti usaha menambah baik serta mengimbangi antara soal materialistik dan kerohanian perlu diberi perhatian.
Ini kerana, jika semakin banyak cerita negatif golongan artis yang lebih bersifat peribadi dibimbangi semua itu akan menutupi segala hasrat murni yang banyak pihak impi-impikan yang sepatutnya diutamanya dalam industri ini.