Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Punca harga barang naik

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Sabtu, 11 Januari 2014

Apabila Amerika memperkenalkan gaji minimum lebih kurang 50 tahun dahulu, negara itu telah menyaksikan pengangguran yang meningkat secara drastik. Bagaimanapun, pada hari ini, apabila jurang tahap pendidikan rakyat telah diatasi dan kualiti lepasan sekolah tingginya mencapai tahap kelayakan yang sesuai bagi gaji minima yang ditetapkan, penetapan gaji minimum bukanlah satu masalah lagi bagi Amerika.

Teruja untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, pada tahun 2012, MTUC telah mendesak kerajaan agar melaksanakan gaji minimum RM900. Tanpa mengambil kira pengarajan dari Amerika, pada tahun yang sama, Pakatan Rakyat turut mendesak perkara sama tetapi meletakkan tangga minima gaji lebih tinggi iaitu RM1,100.

Desakan ini mendapat kritikan ramai termasuklah Datuk Seri Chua Soi Lek yang menyatakan bahawa cadangan itu bakal membawa lebih banyak masalah lain. Ini berdasarkan jurang tahap pendidikan yang begitu besar di kalangan masyarakat, kualiti lepasan sekolah dan universiti yang kurang memuaskan, masalah pendatang asing dan juga masalah perkauman yang berkait rapat dengan jurang tahap pendidikan dan juga kualiti graduan atau lepasan sekolah.

Bagaimanapun, kerajaan nampaknya akur dengan desakan MTUC dan seolah-olah terdesak untuk menyaingi PR lalu bersetuju dengan gaji minimum RM900.  Sehubungan dengan itu, pada November lalu, kerajaan telah mengumumkan perlaksanaan gaji minima bermula Januari 2014.

Sekali lagi kritikan lantang terdengar di kalangan blogger, pemerhati politik dan juga negarawan ulung Tun Mahathir yang tidak bersetuju dengan keputusan itu.   Kerajaan diingatkan bahawa tindakan itu bakal membawa kesan berantai yang tidak baik bagi ekonomi negara.

Peringatan itu nampaknya menjadi nyata apabila para peniaga mula menaikkan harga barangan sebagai persediaan untuk menanggung kos gaji pekerja yang meningkat. Dengan perlaksanaan gaji minima, gaji pekerja bawahan (tanpa kelulusan) yang mungkin sebelumnya RM600 perlu ditingkatkan kepada RM900. Ini menjadikan pekerja lepasan SPM yang mungkin menerima RM850 perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada RM1150 bagi menyaingi peningkatan pekerja bawahan tadi.  Justeru, gaji pemegang diploma dan ijazah tentulah perlu ditingkatkan juga.

Peningkatan gaji pekerja-pekerja ini membawa kepada peningkatan yang drastik dalam kos pengurusan. Itu belum lagi diambil kira kos pembelian stok dari pembekal yang pastinya turut meningkat kerana pembekal itu juga perlu menangani peningkatan kos pengurusan perniagaannya.

Perlu diingatkan juga bahawa semua peningkatan ini belum lagi termasuk kos utiliti di mana tariff elektrik juga telah meningkat.

Oleh kerana matlamat perniagaan adalah keuntungan, maka peniaga perlu memindahkan kos utiliti, operasi dan pengurusan yang meningkat itu ke atas bahu pelanggan bagi memastikan matlamat tercapai.

Justeru, akhirnya, kesemua kos ini akan ditanggung oleh pengguna, iaitu rakyat marhaen.

Mereka yang paling terjejas pastinya golongan menengah di bandar yang tidak dapat mengelak atau mencari alternatif lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.   Kalaupun mereka mempunyai majikan yang prihatin dan menaikkan gaji mereka selaras dengan perlaksanaan gaji minima, ia amat sukar untuk  mengimbangi kos Taska, Tadika, bas sekolah, makanan dan keperluan lain yang meningkat berkali ganda.

Peniaga pula akan berada dalam keadaan dilema untuk mengimbangi antara skop kerja dengan jumlah gaji yang wajar diberikan kepada pekerjanya. Semakin ramai peniaga lebih selesa untuk mengambil pekerja asing dengan gaji RM900 daripada warga Malaysia lepasan SPM yang tentunya inginkan gaji lebih tinggi dari itu.  Lebih teruk lagi sekiranya pemegang diploma atau ijazah pula tidak menunjukkan kebolehan setara untuk diberikan gaji mengikut kelayakan mereka.

Apa yang berlaku akan menyebabkan masalah pendatang asing dan juga pengangguran di kalangan rakyat Malaysia turut meningkat.

Ini adalah kesan rantaian yang seharusnya dikaji terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat dan sebelum tunduk kepada desakan mana-mana pihak.   Kesan rantaian ekonomi adalah pengetahuan asas yang seharusnya difahami oleh pihak pencadang dan perancang dasar kerajaan. Oleh itu, inilah disarankan agar makmal atau bengkel atau apa saja badan untuk mengkaji sebarang keputusan, perlu diwujudkan sebelum pengumuman dibuat, dan bukannya selepas diseranah oleh rakyat.

Bertitik-tolak dari itu, inilah disarankan agar perkara utama yang perlu diatasi terlebih dahulu oleh kepimpinan ialah masalah ‘tidak mengkaji dan tidak faham ekonomi asas’ di kalangan para penasihat atau perunding yang membentangkan cadangan dan membuat keputusan untuk kerajaan. Walaupun pahit untuk ditelan, namun hakikatnya, rakyat tertanya-tanya, apakah mereka ini langsung tidak punya pengalaman dan pengetahuan tentang apa yang mereka lakukan?  Sedangkan, pengurusan ekonomi negara tidak boleh menggunapakai strategi ‘trial and error’ atau ‘guess and check’.

Kita tidak mahu melihat sebarang tindakan atau kenyataan ‘flip-flop’  lagi dari kerajaan yang mampu membuka ruang kecaman sekali gus menimbulkan ketidakyakinan rakyat. Malaysia tidak mampu membiarkan kerajaan sedia ada terus lemah dan semakin lemah. Sedarlah bahawa kekukuhan ekonomi negara bukan lagi jaminan kekuatan parti memerintah. Kadangkala, kedudukan ekonomi negara yang baik belum tentu menjamin rakyat hidup sejahtera.

Sejarah Britain di bawah pemerintahan "Margaret Thatcher" wajar dijadikan pengajaran di mana ketika ekonomi negara itu dikatakan pulih dan semakin kukuh, rakyat terus mengecam dan menentang dasarnya. Kerajaan Thatcher dikatakan mengutamakan ‘majikan’ dari ‘pekerja’ atau ‘peniaga’ dari ‘pengguna’. Akhirnya, Thatcher menjadi sasaran kutukan rakyat dan liabiliti kepada partinya.

Sudah tentu kita tidak mahu perkara yang sama berlaku pada Malaysia.

Kita yakin semua perunding, penasihat dan pegawai-pegawai yang terlibat dalam merangka dasar kerajaan cukup arif tentang sejarah kepimpinan Thatcher.

Justeru itu, inilah diseru agar semua yang terlibat mengambil pengajaran dari sejarah dan jika perlu, rujuklah kepada yang berpengalmaan...

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas