|
Datuk Noor Azam |
ADA tiga berita penting yang menarik dan melibatkan kepentingan langsung rakyat, dalam Utusan Malaysia pada 21 Disember 2013.
Pertama, kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar: Polis akan menahan lebih ramai penguat kuasa agensi lain, selain Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berikutan pembongkaran kegiatan dua sindiket pengedaran dadah antarabangsa baru-baru ini."
Kata beliau: Kita akan memantau" agensi-agensi ini dan apabila tiba masanya" kita akan mengambil tindakan" sewajarnya.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin pula mengumumkan: Pada 17 Disember, polis menahan 11 individu termasuk empat pegawai penguatkuasa, dipercayai KDRM, disyaki terlibat dalam dua sindiket penyeludupan dadah antarabangsa didalangi warga Nigeria dan India. Daripada 11 yang ditahan, empat warganegara Nigeria, seorang warganegara India."
Setinggi-tinggi tahniah kepada anggota polis yang bekerja keras siang malam, pagi petang - ketika ramai orang mewah berpesta, menjamu selera, berkaraoke setiap malam.
Anggota polis tak mengharapkan sanjungan, meskipun gaji dan elaun tak sepadan dengan bebanan dan kutukan yang mereka terima.
Namun terbuku juga di hati, apabila akhir-akhir ini, hampir setiap hari kita baca banyak amaran" ditekankan mengenai pelbagai jenayah dan pelanggaran undang-undang - termasuk lalu lintas.
Sedangkan hasil daripada amaran itu tidak nampak jelas. Jenayah makin menjadi-jadi. Dari Johor Baru ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan sampailah ke empat negeri di sempadan Thailand dan di Sabah. Agensi penguat kuasa boleh dipersenda - terutama oleh pendatang asing. Negara kita seolah-olah tiada pegawai penguat kuasa.
Permintaan rakyat: KPN tak perlulah lagi kata - Polis akan menahan lebih ramai penguat kuasa."
Tak perlu juga kata - Polis akan memantau" dan apabila tiba masanya akan mengambil tindakan". Masanya sudah tiba!
Rakyat sentiasa menyokong pasukan polis. Harapan rakyat tiada yang lain, Hanya kepada polis. Tetapi kenyataan seperti ini yang selalu melunturkan kepercayaan rakyat kepada polis.
Semakin banyak jenayah pendatang asing, juga menunjukkan kita seolah-olah tidak serius mengambil tindakan dan juga kelemahan Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan yang sewajarnya.
Malaysia bagaikan syurga penjenayah dan pendatang asing bemaharajalela di mana-mana. Banyak yang sudah ditahan". Apa jadi sesudah itu kita tidak tahu. Berapa ramai yang dihukum" dan apa hukumannya kita tidak tahu.
Hukuman yang dikenakan lebih penting diumumkan dari semasa ke semasa. Bukan amaran! Bukan berita telah ditahan" atau sindiket telah ditumpaskan".
Realitinya jenayah semakin parah, sampai melibatkan ramai pegawai atasan agensi penguat kuasa.
Nyatalah membanteras jenayah tidak akan berhasil hanya dengan penguatkuasaan udang-undang. Manusia, terutama penjenayah, tidak pernah takut pada undang-undang. Wang lebih berkuasa. Jadi wabak penyakit sosial tak terkawal lagi. Perlu ada gemblengan tenaga dan komitmen daripada kementerian dan jabatan lain. Tidak boleh lagi jadikan tugas polis saja.
KEDUA: Gabungan Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala (MuslimUPRo) mempersoalkan tindakan segelintir masyarakat Melayu" yang menyokong tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).
Ketua Delegasi MuslimUPRo , Azril Mohd. Amin menyesali Majlis Peguam dan badan-badan agama di negara ini yang turut menyokong tuntutan Comango.
Kenyataan ini dibuat dalam sidang media Persatuan Jaringan Kasih Ixora Putrajaya (JKIP) yang dihadiri Pengerusi JKIP, Zarina Ismail dan Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa. Kata Zarina - JKIP mewakili umat Islam di Putrajaya".
Persoalannya: Ini bukan kali pertama MuslimUPRo dan saudara Nasharudin mengeluarkan kenyataan mengenai Comango. Namun nampaknya tiada apa-apa kesan, tidak banyak pihak termasuk pertubuhan Melayu-Islam yang memberikan perhatian. Tiada juga diketahui apakah benar JKIP mewakili umat Islam di Putrajaya"?
Jika usaha Comango ini benar-benar berbahaya dan bertentangan dengan kedaulatan negara dan mencabar kedudukan Islam" di negara kita, mengapa tiada pertubuhan Melayu-Islam yang besar dan berpengaruh ikut bertindak?
Mengapa tiada kedengaran sangat suara UMNO, Pas, Perkasa, Persatuan Ulama, Yayasan Dakwah Islamiah? Tiada juga tindakan tokoh-tokoh besar agama yang sering bercakap mengenai Islam?
Kesimpulannya: Perjuangan umat dan pertubuhan Islam di negara kita sering jadi bahan ketawa sinis. Orang Islam yang prihatin tentu malu. Kita banyak bercakap dan bertelagah. Usaha konkrit secara diam-diam seperti yang dibuat oleh Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary tidak ada. Sama-sama Melayu-Islam kita berlagak bagai pahlawan. Jadi jaguh kampungan. Di gelanggang sebenarnya kita insan dayus dan hilang pegangan.
Ketiga: Islam menegaskan supaya berbelanja secara bertanggungjawab dan berhemah dengan mengamalkan sikap berjimat cermat serta menegah budaya boros dan amalan pembaziran.
Perbelanjaan melebihi pendapatan akan mendorong kepada perbuatan tidak sihat, berhutang, menipu, menyalahguna kuasa, rasuah dan ramai yang berakhir sebagai muflis."
Ini petikan daripada titah ucapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah sewaktu merasmikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak pada 20 Disember 2013.
Titah baginda, " Bajet adalah instrumen disiplin menentukan parameter perbelanjaan yang wajib disandarkan kepada pendapatan."
Ditegaskan, Semua organisasi, termasuk keluarga harus mengamalkan bajet seimbang antara hasil dengan perbelanjaan, supaya tidak menanggung defisit sehingga membuat pinjaman dan menanggung beban hutang."
Meskipun ucapan ini dibuat pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak, eloklah jika dijadikan iktibar kepada para pemimpin dan pegawai Melayu-Islam yang diberi kuasa menyediakan dan menguruskan bajet yang diluluskan oleh Parlimen.
Tindakan pertama: Hentikan pembaziran dan lagak orang terlalu kaya. Contoh yang baik, hentikan pesta jamuan di hotel lima bintang yang sering dipaparkan di televisyen untuk tuntunan rakyat jelata. Contoh terbaru: Tentulah tidak perlu dibuat kebun buah-buahan di bandar raya Kuala Lumpur!
DATUK NOOR AZAM ialah pemerhati sosio politik.