 |
Tun Dr. Mahathir Mohamad |
KUALA LUMPUR 1 Jan. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyambut baik inisiatif kerajaan untuk memotong kos perbelanjaan menerusi pelaksanaan 11 langkah penjimatan.
Beliau berkata, inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu membuktikan komitmen kerajaan bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.
"Saya rasa amat gembira kerana ada usaha untuk mengurangkan perbelanjaan dan juga mengurangkan beban yang dipikul oleh rakyat.
"Itu tugas kerajaan sebenarnya, (untuk) tidak membebankan rakyat," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu 2014 anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP) di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Isnin lalu, Najib mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri menerusi blognya, www.1malaysia.com.my semalam turut berikrar untuk meminimumkan kesan kenaikan kos sara hidup kepada rakyat.
Pada 25 Disember lalu, Dr. Mahathir menasihatkan kerajaan agar menggunakan pendekatan mengurangkan kos berbanding menaikkan harga barang dalam usaha merasionalisasi subsidi.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, gereja Katolik di Selangor tidak sepatutnya menyinggung sensitiviti umat Islam dengan menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan yang menggunakan bahasa Melayu.
Menurut Dr. Mahathir, tindakan itu boleh menggugat keharmonian masyarakat pelbagai agama di negara ini.
"Selama ini, kita tidak pernah berselisih faham tentang isu ini kerana mereka tidak pernah menggunakan kalimah Allah.
"Mengapa menyinggung perasaan orang lain? Tiada masalah sekiranya mereka tidak menggunakan kalimah Allah," ujarnya.
Portal berita propembangkang The Malaysian Insider pada 27 Disember lalu melaporkan kenyataan Pengarang The Herald, Paderi Andrew Lawrence bahawa gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan bahasa Melayu meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menghantar notis peringatan kepada mereka berhubung enakmen negeri melarang bukan Islam menggunakan kalimah itu.