SHAH ALAM 12 Dis. - Naza Group of Companies (Naza) memperkenalkan sebuah lagi jenama motosikal premium di bawah edarannya, Victory Motorcycles dengan harapan jenama itu mampu menarik perhatian penggemar motosikal berkuasa tinggi tempatan.
|
Ahmad Maslan (dua dari kiri) bergambar di atas motosikal Victory selepas majlis pelancaran Pusat 3S Victory di Glenmarie, Shah Alam, semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Christopher Chin dan Nik Danial Nik Mahmood dan Naib Presiden Kanan Naza Worlds, Datuk Maruan Mohd. Said. |
Naza telah melabur sebanyak RM5 juta untuk membangunkan Pusat 3S (jualan, alat ganti dan penyelenggaraan) pertama Victory yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.
Jenama itu akan diedarkan oleh Harmony Fabulous Sdn. Bhd., di bawah Naza dengan membariskan 13 varian motosikal Victory.
Naib Presiden Bahagian Dua Roda Kumpulan Naza, Nik Danial Nik Mahmood berkata, sebelum pelancaran rasmi itu, pihaknya telah menerima 10 tempahan.
"Syarikat yakin potensi jualan Victory di sini terutama sekali dengan tawaran harganya yang kompetitif," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jenama dan pusat 3S Victory hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Pengurus Besar Harmony Fabulous, Christopher Chin.
Harga atas jalan jenama itu ialah serendah RM102,206 sebuah dengan motosikal itu diimport dari Amerika Syarikat (AS).
Naza ketika ini juga merupakan wakil jualan bagi sebuah lagi motosikal mewah, Harley-Davidson. Kedua-dua jenama, Harley-Davidson dan Victory Motorcycles dari AS merupakan pesaing di dalam industri motosikal mewah.