Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Menyelongkari asas kekuatan umat Islam

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Khamis, 2 Januari 2014

Menyelongkari asas kekuatan umat IslamISU mengenai bagaimana cara untuk meningkatkan kekuatan umat Islam di Malaysia amat menarik untuk dibincangkan dengan lebih lanjut. Ia merupakan isu yang amat penting dan diberi perhatian oleh semua golongan masyarakat sama ada daripada pemimpin hinggalah kepada rakyat biasa.

Kekuatan umat Islam bererti kedudukan Bumiputera Islam di negara kita terus kukuh dan maju. Ia bukan sahaja tertumpu kepada aspek ekonomi dan politik malah merangkumi segala aspek termasuklah jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Bagi penulis, untuk membina kekuatan umat Islam di negara kita, asas kepada kekuatan umat Islam perlu diperkukuhkan terlebih dahulu. Apakah asas tersebut?

Tunjang yang menjadi asas kepada kekuatan umat Islam adalah Islam itu sendiri. Keutuhan ummah haruslah berasaskan Islam. Tanpa Islam, kekuatan yang diimpikan tidak akan dapat berada pada tahap yang lebih baik daripada sekarang.

Islam bermaksud selamat. Dengan Islam, kita akan selamat di dunia dan di akhirat. Namun, silapnya Melayu Islam adalah kerana gagalnya kita menjadi orang Islam yang baik.

Islam mengajar umatnya agar menghormati hak orang lain. Sejak kecil masyarakat diasuh agar jangan ambil harta atau apa sahaja yang bukan hak kita. Sebagai contoh, janganlah kita mengambil rasuah kerana duit tersebut bukanlah hak kita.

Namun adakah masyarakat kita mempedulikannya? Jika betul kita peduli, mengapakah masalah rasuah masih terus berlaku walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan bagi membanteras masalah ini?

Apa yang lebih menyedihkan majoriti penerima dan pemberi rasuah adalah Melayu Islam. Hal ini bukan sahaja merugikan negara malah maruah Islam itu sendiri tercalar.

Bagaimana cara mengatasinya? Jawapannya tentulah mudah, iaitu kembalilah kepada Islam. Jika Melayu Islam menjadi Islam yang baik, dengan keimanan dan keyakinan yang tinggi kepada Allah SWT, sudah pasti tidak tergamak mana-mana Muslim untuk menerima atau memberi rasuah kerana takut akan neraka Allah SWT.

Dalam konteks keusahawanan, Islam mengajar umatnya dengan perlakuan yang baik seperti tangan yang memberi adalah lebih baik daripada menerima. Namun, berapa ramai ahli korporat Islam yang telah berjaya mahu berkongsi kejayaan atau kekayaan yang dimilikkinya dengan majoriti masyarakat Islam yang lain?

Sebagai contoh, Dasar Ekonomi Baru (DEB) berjaya melahirkan lebih 1,000 orang Bumiputera Islam menjadi jutawan. Namun, berapa ramaikah daripada mereka yang turun padang membantu masyarakat?

Jika adapun, hanyalah beberapa orang sahaja seperti Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. Ke mana perginya jutawan Bumiputera Islam yang lain?

Pepatah Melayu lama ada menyebut, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Ia membawa maksud untuk berjaya, seseorang harus berusaha selangkah demi selangkah kerana mustahil kejayaan akan datang sekelip mata.

Namun, pepatah ini hanya tinggal pepatah sahaja. Ramai di kalangan Melayu Islam tidak mengambil pengajaran daripada nasihat ini. Usahawan Islam sering mengambil 'jalan pintas' untuk mencapai kejayaan. Mereka lebih berminat dengan 'kekayaan segera' daripada membina kejayaan dengan asas yang kukuh untuk generasi akan datang.

Sebagai contoh, dalam isu menyerahkan kontrak atau projek yang diperolehi. Apabila mendapat projek, mereka menyerahkannya kepada orang lain dan menjana keuntungan 'di atas angin'. Tanpa terikat kepada tanggungjawab menyiapkan projek tersebut, duit keuntungan dapat dikaut dengan mudah. Biasanya keuntungan dapat dijana antara 10 peratus hingga 20 peratus.

Golongan usahawan Islam sebegini yang menjadi masalah kepada negara dan ummah. Mereka wajar ditukar dan diganti dengan usahawan lain yang benar-benar jujur dan menjalankan perniagaan dengan telus. Membiarkan mereka terus bermaharajalela seolah-olah kita menolong menyebarkan virus pembunuh yang boleh memusnahkan negara.

Melayu Islam juga amat terpengaruh untuk menjadi orang kaya dengan cepat. Sebab itu pada masa sekarang banyak Melayu Islam menganjurkan dan menghadiri kursus-kursus dan program untuk menjadi cepat kaya.

Natijahnya, terbinanya norma di kalangan Melayu Islam bahawa kekayaan adalah matlamat hidup yang utama dan harus dicapai secepat mungkin dengan pelbagai cara. Mereka lupa bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Maka terlibatlah mereka dengan salahguna kuasa, rasuah, kegiatan haram dan sebagainya.

Dalam hal ini, Islam mengajar umatnya agar berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya. Dalam kita berusaha sudah tentu banyak pengalaman yang akan dikutip. Jatuh bangun seseorang akan menjadi pemangkin untuknya berjaya pada masa akan datang.

Kebanyakan orang yang berjaya adalah orang yang belajar daripada kegagalan dan kesusahan. Semangat ini hampir tiada kepada kebanyakan orang Melayu Islam. Kejayaan hendak dicapai dalam tempoh segera tanpa membina asas yang kukuh untuk berjaya. Akhirnya, mereka mungkin berjaya, namun kejayaan itu kosong dan sangat rapuh. Apabila badai datang melanda, maka hanyutlah mereka kerana tiada dahan untuk bertaut.

Justeru, penulis menyeru kepada semua Melayu Islam agar sama-sama menghayati dan mengamalkan Islam sepenuhnya dalam kehidupan harian. Untuk mengangkat martabat Melayu Islam ke satu tahap yang lebih tinggi, diri kita sendirilah yang menentukan jatuh bangunnya kita. Berjaya atau gagal Melayu Islam adalah di tangan kita sendiri, bukannya sebab Cina, India atau Yahudi.

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas