KAMI sebenarnya mengambil peluang melawat beberapa bandar raya di Eropah semasa mengunjungi anak yang sedang melanjutkan pengajian di Derby, United Kingdom.
Setelah empat hari di Derby, kami menaiki kereta api ke London.
Perjalanan ke stesen St. Pancras International mengambil masa lebih satu jam - pengalaman kedua kami menaiki kereta api laju walaupun tidak selaju Bullet Train yang dinaiki di Jepun April lalu.
Dari London, kami menyambung perjalanan ke Brussel dengan EuroStar. Sebelum itu kami perlu melalui pemeriksaan imigresen di mana pasport dicop; peraturan apabila ingin meninggalkan Negara Kesatuan Eropah (EU).
Merasalah melintasi Selat Dover/Inggeris melalui bawah dasar laut. Mengikut catatan, paras terdalam adalah 195 meter dan kelajuan terekod adalah 334 km sejam.
Selepas memasuki Perancis, kami disambut oleh pemandangan ladang gandum yang sudah dituai dan kebun sayur serta ratusan biri-biri dan lembu seperti di England.
TenagaSekali-sekala terlihat puluhan kincir angin yang dibina untuk menjana tenaga di tengah-tengah ladang.
Kami, akhirnya memasuki Belgium dan tiba di Brussel hampir tengah hari. Oleh kerana tidak bermalam, pertama sekali dilakukan mencari tempat menyimpan bagasi.
Selepas beg disimpan, kami mencari bas merah atau Hop-On Hop-Off (HoHo) untuk menjelajah kota. Dengan enam jam masa terluang, dapat kami meninjau de facto ibu kota EU.
Kawasan sekitar molekul gergasi Atomium yang menjadi kemegahan orang Belgium memang penuh dengan pengunjung.
Apabila perut terasa lapar kami turun dari HoHo. Tidak susah mencari restoran menghidang makanan halal. Lega!
Tidak seperti 30 tahun dahulu kata suami. Dalam hati, tertanya apakah kami boleh mendapat makanan halal semudah ini dalam perjalanan seterusnya.
Hari hampir malam, kami kembali ke stesen kereta api untuk ke Amsterdam. Selepas menuntut beg dengan 2 Euro untuk satu beg, sambil berehat dan minum kopi, kami menunggu untuk ke Amsterdam dengan ICE (Inter City Express). Tepat waktunya ICE meluncur laju menuju Belanda.
Jam melewati 10 malam ketika tiba di kota Amsterdam. Sebaik sahaja keluar dari stesen menuju tempat kereta menunggu, kami terpegun melihat ratusan basikal diparkir tersusun bertingkat begitu banyak sekali.
Selepas menaiki kereta melalui bandar raya Amsterdam yang didiami lebih sejuta penduduk, kami tiba di hotel terletak di luar sedikit pusat kota kerana hotel penuh ditempah hampir 30,000 pakar jantung seluruh dunia yang bersidang.
Makan malam? Alhamdulillah, ada restoran halal di bawah hotel. Esoknya selepas sarapan di hotel, kami menaiki trem menjelajah kota Amsterdam yang penuh dengan terusan.
Sesiapa sahaja ke sini pasti mengambil peluang menaiki bot menyusur terusan sambil meninjau kota. Dengan tiket sama kita boleh menaiki HoHo.
Bagi pelancong yang mempunyai dua atau tiga hari dan sedikit masa membeli-belah, cara begini cukup sesuai. Bagi yang berminat ke muzium, di sini memang banyak. Sebut apa sahaja muzium, semuanya ada.
Hari ketiga kami meninggalkan Amsterdam menuju Frankfurt, Jerman. Lima minit sebelum bertolak, kereta yang ditempah tiba, membawa kami ke stesen kereta api yang sama.
Di stesen ternampak kereta api dua tingkat menunggu masa bertolak. Terdetik di hati, seronok kalau dapat menaiki kereta api dua tingkat, tentu dapat melihat suasana sekitar lebih jauh. Tidak perlu tunggu lama kerana kereta api tiba dan bertolak mengikut jadual.
Perjalanan ke Frankfurt di selatan Jerman, melalui Cologne. Seperti sebelumnya ICE hanya berhenti di beberapa bandar. Seperkara yang boleh berlaku ketika menaiki kereta api jarak jauh - walaupun tidak berubah tempat duduk, kita boleh bergerak ke depan atau belakang.
Aneh? Tidak! Kereta api boleh menukar kepala tanpa membuat pusingan U. Ini berlaku semasa kami meninggalkan Cologne.
Pemandangan di luar tingkap perlahan-lahan bertukar dari ladang luas mendatar menjadi hutan. Pokok pain memenuhi kawasan Hutan Hitam atau Black Forest mula kelihatan.
Penulis cuba bayangkan alangkah cantik jika melalui kawasan ini ketika musim sejuk, tentu pokok penuh diselaputi salji memutih.
Selepas lebih tiga jam akhirnya kami tiba di Frankfurt, sebuah bandar raya penuh dengan bangunan pencakar langit dan moden. Setelah tiba di hotel dan berehat sebentar, kami menaiki trem menuju tengah kota Frankfurt.
Ciri-ciri bandar raya moden mula kelihatan. Bagi merehatkan badan sambil melihat kotanya kami memilih HoHo dan bot menyusuri Sungai Meins.
Setelah tiga hari dua malam di Frankfurt, kami menaiki kereta api ke Paris. Semasa ini suami melihat meter kelajuan terpamer di koc dengan kelajuan tertinggi 322 km sejam. Barangkali begini kelajuan kereta api elektrik Kuala Lumpur-Singapura yang sedang dirancang.
Walaupun sedikit mahal daripada bas, kereta api lebih selesa. Tidak perlu menaiki kelas satu, cukup menempah kelas dua atau ekonomi dan berbekal sedikit makanan ringan; sementara minuman seperti kopi boleh dibeli di atas kereta api.
Nasib baik, kami ditemukan dengan pramusaji kereta api yang peramah dan pandai berjenaka. "Coffee, coffee Sir… you get coffee I get money.."
Setibanya kami di Stesen Paris duNord, pemandu yang sedia menunggu membawa kami ke hotel. Selepas berehat sebentar, kami menjelajah kota. Penat memang penat terutama semasa mula-mula mencari stesen bas terdekat.
Menaiki HoHo untuk melihat kota dari darat dan bot bagi melihat dari Sungai Saine masih menjadi pilihan kami. Menaiki Metro atau kereta api bawah tanah hanya bila terpaksa. Semasa menyusuri sungai, seperti mana di Frankfurt, kami sekali lagi melihat ratusan kunci dimangga di jeriji jambatan.
Apabila sempat melihat lebih dekat baru penulis tahu kunci tersebut dipasang oleh mereka yang bercinta. Sesetengahnya tertulis nama pasangan. Setelah dikunci anak kunci dicampak ke sungai sebagai tanda pengikat kasih tidak boleh diurai.
Kata orang, tidak sah ke Paris jika tidak menaiki Menara Eiffel. Menara yang siap dibina pada 1889 dengan ketinggian 320.75 meter boleh dinaiki menggunakan tangga atau lif.
Hampir seluruh kota Paris boleh dilihat di pelantar kemuncak. Malangnya, Paris yang cantik, bersih, menarik, penuh dengan muzium dan tempat bersejarah dikenali sebagai kota fesyen agak tercemar dengan aktiviti penyeluk saku. Semasa di atas Menara Effiel, siaraya berulang kali dibuat bagi mengingatkan pengunjung tentang kegiatan berkenaan.
Sepanjang perjalanan kami dapati amat mudah mendapat makanan halal terutama di restoran yang diusahakan oleh mereka berasal dari Timur Tengah. Kebab Turki, syawarma Jordan atau briyani boleh diperolehi di hampir semua tempat tumpuan.
Gelagat petugas restoran yang mengenali kami orang Islam menyebut 'salam'dan 'halal' sambil mempelawa masuk. Satu pesanan yang dihidang boleh dikongsi dua orang, jadi tidak mahal untuk orang Malaysia.
Mungkin fenomena ini sudah menjadi kelaziman di hampir semua bandar raya Eropah.
Hmmm... Aroma kopi, kebab dan ayam gril yang lembut masih terasa kelazatannya walaupun sudah berminggu pulang ke rumah.