|
Tan Sri Khalid Ibrahim |
Di saat hampir kesemua pimpinan pakatan rakyat dan kerajaan negeri Selangor yang menyalahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di atas tindakan yang dilakukan sebelum ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) semalam tampil membuat kenyataan mempertahankan tindakan itu.
Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, tindakan JAIS itu bukan kerana Bible berkenaan dicetak dalam bahasa Melayu tetapi atas dasar kalimah Allah digunakan dan perkara tersebut mengundang kepada satu justifikasi siasatan bagi mengenal pasti sama ada berlaku kesalahan di bawah Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini dilihat cuba menyalahkan tindakan itu yang disifatkan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan. Malah dia dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini pernah berkata akan mengambil tindakan terhadap para pegawai JAIS sekiranya mereka didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Semakan bagi memastikan pegawai penguatkuasa Jais mematuhi (prosedur) operasi standard yang telah ditetapkan dan tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat pelanggaran peraturan atau kecuaian semasa melakukan rampasan dan serbuan tersebut,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, semalam Khalid turut mengeluarkan arahan dan prosedur SOP yang baharu dengan mewajibkan JAIS untuk mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan MAIS dan Exco kerajaan negeri sebelum sebarang tindakan JAIS yang menyentuh sensitiviti penganut agama lain dilakukan. kononnya untuk mengelakkan perkara yang sama berulang kembali.
Menurut Mohamad Adzib arahan baharu Khalid itu hanya akan mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan.
"JAIS juga tidak perlu memaklumkan kepada mana-mana pihak untuk mengambil sesuatu tindakan pemeriksaan dan penyiasatan kerana akan mengganggu proses yang hendak dilaksanakan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, JAIS mempunyai kuasa sama seperti polis untuk memeriksa dan menyiasat orang bukan Islam mengikut Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
Katanya, beliau kesal kerana pelbagai pihak termasuk media dan Majlis Konsultatif Perpaduan Negara telah melaporkan fakta tidak tepat sama sekali dan menggambarkan seolah-olah tindakan JAIS semata-mata kerana cetakan Bible berkenaan dalam versi bahasa Melayu.
"Kenyataan pihak-pihak terbabit tanpa menyemak fakta sebenar menyebabkan salah tanggapan masyarakat terhadap tindakan JAIS.
"Tindakan JAIS dilakukan setelah MAIS mengambil penegasan di dalam mesyuarat bulanan agar jabatan agama itu bertindak terhadap aduan orang ramai berkaitan kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 atau menguatkuasakan undang-undang sedia ada di Selangor," katanya.
Menurut Mohamad Adzib lagi, tindakan JAIS itu bukan bertujuan menyekat atau campur tangan terhadap kebebasan beragama oleh penganut-penganut agama lain seperti mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Ini kerana jelasnya, JAIS sekadar menguatkuasakan undang-undang sedia ada yang telah digubal mengikut Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.
"Oleh itu, tiada kena-mengena dengan unsur-unsur menyekat kebebasan penganut agama lain daripada melaksanakan amalan agama mereka. JAIS tidak langsung mengambil tindakan menyekat orang beragama Kristian melaksanakan upacara keagamaan mereka seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.
Kesimpulannya ialah, Khalid perlu sedar walaupun dari segi politik dia memegang jawatan sebagai Menteri Besar dan perlu memainkan peranan untuk menjaga hati dan perasaan orang bukan Islam khususnya DAP. Namun di masa yang sama, dia tidak boleh dilihat seperti peguam, kerana isu tersebut melibatkan kesucian agama Islam.
Tindakan dan sikapnya seperti ‘tunduk kepada DAP’ berhubung isu ini, hanya akan menimbulkan masalah yang lebih besar di kalangan masyarakat Islam iaitu murtad.
Ia bukanlah merupakan andaian atau dakwaan semata-mata, ini kerana perkara itu turut diakui sendiri oleh para mubaligh Kristian. Contohnya menurut John Hultvall seorang mubaligh Kristian ‘Mission Covenant Church of Sweden’, walaupun penggunaan kalimah ‘Allah’ dipersoalkan di kalangan penganut-penganut Kristian sendiri, namun mubaligh-mubaligh Kristian sentiasa menggunakannya dalam usaha mereka memurtadkan umat Islam.
Seterusnya menurut Kevin Greeson, juga seorang mubaligh Kristian telah menulis sebuah buku bertajuk The Camel: How Muslims Are Coming to Faith in Christ! Menurutnya kaedah ‘The Camel’ telah digunakan untuk menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam dengan menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan agama Kristian.
Dengan kaedah yang terselindung ini, ia mampu memberi manfaat kepada Kristian kerana penggunaan kalimah ‘Allah’ dapat digunakan sebagai ‘jambatan’ untuk mendekati serta memurtadkan umat Islam di seluruh dunia.