PONTIAN 6 Jan. – Ketua-ketua kampung di negeri ini yang tidak sehaluan dengan kerajaan perlu meletak jawatan bagi memastikan kelancaran jentera pentadbiran di peringkat akar umbi.
|
Gambar Fail: Datuk Ahmad Maslan (empat dari kanan) di Kampung Nelayan Seri Tanjung Benut, Pontian. |
Tindakan itu perlu diambil kerana mereka memikul amanah yang diberikan oleh kerajaan dan sebarang rasa tidak puas hati perlu disuarakan melalui saluran yang betul.
Presiden Persatuan Ketua-Ketua Kampung Negeri (PKKNJ), Rosli Kasmin berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana ahli yang tidak taat setia kepada kerajaan malah terdapat laporan mengenai penglibatan segelintir ketua kampung yang menyebelahi pembangkang semasa pilihan raya umum lalu.
“Pihak kami tidak akan melindungi mana-mana ketua kampung sedemikian dan boleh menyebabkan rakyat merasa keliru dengan sikap tidak bertanggungjawab itu. Sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan mana-mana pihak sewajarnya mengundurkan diri dan beri peluang kepada yang benar-benar mahu berkhidmat.
“Pihak persatuan berasa kecewa dan sedih kerana mereka yang dilantik oleh kerajaan serta diberikan beberapa kemudahan, telah mengambil langkah yang tidak seiring dengan hasrat kerajaan,” katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ketua-Ketua Kampung Daerah Pontian kali ke-10 di sini baru-baru ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kewangan. Yang turut hadir adalah Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon.
Malaysia Truly Asia
Dalam majlis ini, Ketua Kampung Permatang Sepam, Buang Saadon dipilih sebagai Pengerusi Persatuan Ketua-Ketua Kampung Daerah Pontian menggantikan Abd. Wahid Tamin yang mengundurkan diri kerana uzur.
Bagi jawatan Naib Pengerusi disandang oleh Ketua Kampung Kawasan (4) Mukim Pontian, Amir Usol serta Ketua Kampung Kawasan (1) Mukim Pontian, Mohd. Yusof Yunos, manakala jawatan Setiausaha disandang oleh Ketua Kampung Kawasan (8) Mukim Benut, Samad Ibar.
Menurut Rosli, kini terdapat 648 ketua kampung yang dilantik kerajaan negeri bagi menjalankan urusan pentadbiran dengan dibantu oleh ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan mereka disarankan bermesyuarat sekurang-kurang enam kali setahun bagi membincangkan hal ehwal pentadbiran.
Katanya, banyak aduan diterima mengenai ketidakpatuhan mengadakan mesyuarat sehingga peruntukan yang disediakan kepada JKKK oleh kerajaan negeri tidak dituntut.
“Kursus khas kepada Setiausaha JKKK akan diadakan bagi membantu menyediakan minit mesyuarat yang lengkap sebagai dokumen sokongan penting bagi menuntut perbelanjaan mesyuarat dan sebagai ke Pejabat Daerah,” jelasnya.