MALAM ini akan berlangsung pelancaran rasmi Tahun Melawat Malaysia 2014 di Dataran Merdeka. Di lokasi yang sama empat hari lalu telah berlaku peristiwa memalukan negara apabila ribuan peserta Himpunan Guling Kerajaan menunjukkan aksi biadap.
Mereka merosakkan suasana gembira orang ramai yang hendak menyambut ketibaan tahun 2014 dengan membuat kecoh di padang Dataran Merdeka.
Saya ingin ucap 'tahniah' kepada penganjur Himpunan Guling Kerajaan kerana berjaya menawan Dataran Merdeka dan 'melembutkan' anggota polis yang garang.
Tahniah kerana peserta himpunan berjaya menghalau orang ramai, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan orang kenamaan lain daripada menyambut detik ketibaan tahun baharu itu.
Tahniah sebab kekecohan pada malam itu juga dapat disaksikan oleh masyarakat antarabangsa. Dunia dapat melihat bagaimana penyokong pembangkang bersukaria menghuru-harakan sambutan tersebut.
Kita patut rasa dukacita apabila undang-undang negara tidak lagi dihormati. Sedih bila mendengar kata caci, nista dan kutukan dilemparkan kepada pemimpin negara.
Banyak pihak tertanya-tanya, betulkah tindakan pihak polis membiarkan peserta himpunan menguasai Dataran Merdeka? Kenapa tidak dikuatkuasakan Akta Perhimpunan Aman?
Penganjur dan peserta himpunan itu terang-terang melanggar undang-undang, dan masyarakat ingin tahu apa tindakan Kementerian Dalam Negeri dan polis selepas ini.
Jangan dibuat senyap sahaja. Adakah mahu biar masyarakat lupa begitu sahaja. Setakat hari ini, belum lagi ada mana-mana wakil penganjur yang dipanggil polis untuk soal jawab.
Undang-undang tetap undang-undang. Bukan sekali mereka membuat kacau di ibu negara. Kenapa pengacau itu masih boleh bergerak bebas tanpa perbicaraan.
Kementerian Dalam Negeri mungkin ada pendekatannya. Tetapi apa yang penting, jangan terlalu berlembut dengan pihak pelampau. Kelak dibimbangi kita memberi mesej yang salah kepada penganjur himpunan haram lain. Walaupun tidak mohon permit, himpunan tetap boleh diteruskan tanpa gangguan polis.
Tidakkah pihak berkuasa peka terhadap desakan orang ramai yang bersusah payah membuat beribu-ribu laporan polis bagi membantah himpunan tersebut.
Kalau setiap kali penganjuran himpunan haram diatasi dengan langkah berlembut atas faktor tidak ingin melibatkan kecederaan diri dan kerosakan harta benda, mungkin makin banyak himpunan haram diadakan selepas ini.
Mereka yang sudah menyertai himpunan haram akan berasa seronok sebab pihak berkuasa tidak akan berbuat apa-apa. Hanya amaran demi amaran.
Memandangkan negara mempunyai perancangan besar dalam Tahun Melawat Malaysia tahun ini, maka elakkan Kuala Lumpur terus menjadi lokasi himpunan haram.
Janganlah takut guna kuasa undang-undang demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan majoriti rakyat. Bila nak tunjukkan Akta Perhimpunan Aman itu benar-benar 'ada kuasa'.