 |
Datuk Ahmad Maslan |
CYBERJAYA 3 Jan. - Terdapat 10 pakej bantuan untuk rakyat yang disediakan kerajaan dalam membantu mereka menangani kenaikan kos pada masa kini dan akan datang, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata 10 pakej bantuan itu termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M); subsidi enam jenis bahan asasi; bantuan kepada pesawah, nelayan, pesawit dan penoreh getah; pengurangan pemotongan cukai pendapatan; subsidi kesihatan; bantuan pendidikan; projek perumahan mampu milik; bantuan kepada penduduk miskin; dana untuk pembangunan usahawan serta kenaikan gaji dan bonus kepada penjawat awam.
Ahmad turut tidak menafikan susulan rasionalisasi bajet yang dibuat oleh kerajaan dalam mengurangkan kadar defisit negara baru-baru ini telah menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat iaitu minyak, gula dan tarif elektrik.
"Pada ketika kita melihat tiga perkara naik, kita jangan lupa semua perkara yang kita bantu itu, jadi saya harap kepada rakyat dan terutamanya pembangkang agar berlaku adil," katanya kepada pemberita selepas melawat kaunter Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di sini, hari ini
Namun ujar beliau, pakej bantuan ini telah dibuat bagi menolong rakyat untuk mencapai tahap pendapatan tinggi agar tidak terbeban dengan kenaikan kos pada masa depan.