Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Tidak semua hak asasi manusia bersifat sejagat

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Ahad, 24 November 2013

DUA hari lalu berlangsung forum Hak Asasi Sejagat yang dianjurkan oleh Majlis Universiti Islam Malaysia (MUIM) dan membabitkan pembentangan empat kertas kerja utama. Forum tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan berlangsung di Putrajaya ketika kehangatan tindakan 54 pertubuhan bukan kerajaan mengemukakan cadangan pada sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva sebulan lalu.

Gabungan NGO Hak Asasi Manusia atau ringkasnya COMANGO mengemukakan cadangan berdasarkan rasional fikiran tanpa memikirkan bahawa kebebasan perlulah disalutkan dengan tanggungjawab. Atas tujuan itulah maka semua tuntutan semakan tersebut mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak, termasuk sekumpulan 16 orang wakil NGO Islam yang ikut sama mencelah berdasarkan prinsip hak asasi manusia (HAM) yang disusuli dengan tanggungjawab.

Forum yang diadakan pada hari Rabu, 20 November 2013 benar-benar mahu meletakkan semua konsep tanggungjawab sebagai dua saudara kembar kepada hak asasi manusia dan kebebasan. Dalam kertas kerja pertama, Hak Asasi: Peranan dan Fungsi dari Perspektif Perlembagaan Malaysia, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menjelaskan, “Peruntukan Universal Declaration on Human Rights (UDHR) tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan juga tidak menjadi sebahagian undang-undang domestik kita.

“Mahkamah mestilah mematuhi peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan kita, bukanlah mengikuti peruntukan yang terdapat dalam UDHR.” Tambah bekas Ketua Hakim Negara lagi, “walaupun rujukan- rujukan boleh dibuat kepada peruntukan- peruntukan yang terdapat dalam UDHR dalam mentafsir peruntukan dan atau Perlembagaan kita, tetapi sekali-kali tidak boleh mengatasi peruntukan Perlembagaan dan undang-undang kita.”

Berasaskan kepada ketinggian peruntukan Perlembagaan, ia memberikan hak yang jelas bahawa Malaysia tidak wajib mengesahkan apa yang dituntut oleh COMANGO, kerana perjuangan mereka itu bertentangan dengan undang-undang negara.

Dalam kertas kerja kedua, Hak Kebebasan Menurut Perspektif Masyarakat Majmuk, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan kini Menteri Besar Perak, Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, hak- hak kebebasan sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan untuk hidup, bergerak, bersuara, berhimpun dan berpersatuan, beragama juga hak-hak bersangkutan pendidikan,” jelas Dr. Zambry.

Bagaimanapun, menurut Dr. Zambry, perkembangan mutakhir terhadap mobiliti sosial dalam dunia tanpa sempadan menyebabkan hak individu dan hak masyarakat terungkai.

“Konflik antara hak individu dengan nilai masyarakat sedang kuat bergolak di negara ini … salah laku seks bebas yang dilakukan oleh remaja Melayu (berumur 15 hingga 25 tahun) menunjukkan hasil yang begitu meresahkan.

“Daripada 300 responden, 85 peratus mengakui melakukan seks bebas. Jika ada mana-mana pihak yang membebel kepada mereka tentang salah laku yang mereka lakukan, jangan terperanjat jika mereka mengatakan, ‘anda berhak bercakap apa-apa sahaja, saya pula berhak menerima atau menolak pandangan anda kerana itu hak peribadi saya.

“Jadi, adakah kita semua sudah bersedia menerima kehadiran generasi yang memperjuangkan hak peribadi ini atau telah tiba masanya kita merancang strategi terbaik untuk melunturkan kepercayaan songsang mereka,” tanya Dr. Zambry.

Menurut Menteri Besar Perak itu lagi, kita sedang berhadapan dengan cabaran untuk meletakkan dan mengamalkan kehidupan inklusif dengan menerima kehadiran kelainan agama dan budaya.

Bagaimanapun, kata beliau “konsep penerimaan dan toleransi dalam beragama semakin digugat oleh kerana terdapat kelompok yang cuba melangkaui batas lingkungan yang sudah dipersetujui dan difahami selama ini.”

Menurut Dr. Zambry lagi, kehidupan kita menjadi semakin kompleks apabila “isu-isu yang melibatkan kedaulatan undang-undang turut menjadi cabaran.

“Kita juga sedang berdepan dengan cabaran alat perantaraan media yang canggih dan pantas, iaitu media sosial. Pengaliran maklumat sepantas kilat boleh memberi kebaikan dan keburukan, boleh menghancur dan memusnahkan kehidupan seseorang, boleh merenggut kebebasan dan kehilangan martabat diri,” jelasnya.

Mufti Kerajaan Brunei Darussalam, Datuk Paduka Seri Setia Dr. Awang Abdul Aziz Juned menjadi pembentang ketiga dengan kertas yang bertajuk Hak Asasi Sejagat Dari Perspektif Islam.

Bagi Dr. Awang, hak asasi bukanlah hak mutlak manusia kerana manusia bukanlah menjadi pemilik ke atas dirinya. Manusia dimiliki oleh Allah SWT dan kerana itu istilah “ikut suka hati sendiri” tidak ada dalam kamus Islam.

Menurut Dr. Awang, disebabkan manusia dimiliki oleh Allah maka “diharamkan membunuh diri, walaupun nyawanya, duduk di dalam dirinya, dia tidak bebas untuk melakukan apa saja menurut mahunya. Nyawa dan dirinya bukan milik mutlaknya tetapi juga milik Allah selaku amanah.

“Hak asasi itu bertolak daripada Barat. Dalam perspektif Barat, hak asasi manusia bersifat anthroponsentris, iaitu manusia menjadi ukuran segala-galanya. Dalam konteks ini, nilai utama adalah seperti demokrasi, kebebasan sosial dan ekonomi. Semua itu bermula daripada manusia dan berakhir kepada manusia. Itu saja,” jelas Mufti Brunei Darussalam.

“Manusia hanya untuk menerima dan berusaha bagi mematuhi segala perintah Allah…ia meletakkan manusia tidak boleh bebas sebebas-bebasnya dan kebebasan itu mesti dipandu oleh syarak.”

Berdasarkan perspektif itu, terdapat lima hak yang wajib dipelihara dan dikenali dengan istilah Maqasid Syari‘ah, iaitu (1) agama, (2) nyawa, (3) akal, (4) nasab (keturunan), termasuk nama baik, dan (5) harta.

Agama merupakan fitrah manusia dan kerana itu, menurut Dr. Awang, “selaku hak, sudah semestinya tidak sesiapa pun boleh memaksa atau dipaksa dalam perkara beragama itu.”

Dr. Shamrahayu Abdul Aziz, pensyarah Undang-undang UIAM merupakan pembentang keempat dengan tajuk Universality of Fundamental Right.

Secara ringkasnya, Dr. Shamrahayu memberikan penjelasan bahawa tidak semua hak asasi mempunyai nilai kesejagatan kerana ia tetap tertakluk kepada nilai tempatan dan sempadan moral. Tentunya, aspek nilai dan moral adalah berbeza antara sekumpulan manusia dengan sekumpulan yang lain, termasuk antara negara.

Ini membawa erti, tidak semua konsep dan prinsip hak asasi yang diterjemahkan dalam konteks Barat boleh diterima di Malaysia, kerana peristiwa dan kehendak masyarakat adalah berbeza.

Menurut beliau, untuk memahami hak asasi dalam konteks kesejagatan, ia mungkin boleh diterima pada prinsipnya, tetapi ia tetap berbeza dalam penilaian dan sikap setiap orang. Ia membawa maksud, walaupun setiap orang mempunyai kebebasan bercakap dan mengeluarkan pendapat, ia tetap tertakluk kepada kesannya kepada orang lain.

Misalnya, meskipun Karpal Singh berhak mencadangkan agar pertubuhan yang diasaskan berdasarkan kepentingan kaum atau agama dibatalkan, ia tidak bermakna beliau tidak boleh disanggah dan menerima kecaman.

Bukan semua hak dan kebebasan adalah universal. Selagi hak dan kebebasan tidak melanggar hak dan kebebasan orang lain, selagi itulah ia boleh diterima sebagai sejagat. Bila mencetuskan perbalahan, konflik dan ‘perang mulut’ maknanya asas universalisme itu perlu dikaji semula. Kebebasan wajib bertunjangkan tanggungjawab, kerana kebebasan mutlak sebenarnya tidak dimiliki oleh manusia.

Penulis ialah Pengurus Besar Analisa dan

Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah

Malaysia (Yadim)

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas