Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Seni bina Eropah Lambang kebanggaan empayar Inggeris

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Rabu, 13 November 2013

Seni bina lama masih dikekalkan.
MELANCONG ke United Kingdom (UK) pada musim panas – walau selesa namun kadang-kala mengecewakan kerana kebanyakan pengunjung mempunyai jadual sama untuk ke tempat sama pada waktu sama. Ini menjadikan banyak tempat sendat dengan kebanjiran manusia yang datang entah dari mana.

Dianggarkan setiap tahun 35 juta pelancong datang ke UK dan tertumpu khusus ke beberapa buah istana.

Sebagai mukadimah – sebaik saja jadi ‘rusa masuk kampung’ terasa langkah dan gerak-geri seperti diperhati, seorang lelaki melemparkan senyuman dari jarak sederhana dan kemudian mengekori menjadikan perasaan bersarang bimbang.

Terpisah dari kawan-kawan di tempat orang memang merungsingkan. Ketika berselisih, lelaki itu memperkenalkan namanya sebagai Brown sekali gus menawarkan diri men jadi penunjuk jalan.

“Aduh…biar betul mat saleh ni,” bisik hati kecil. Penulis segera duduk di salah sebuah kafe dan lelaki itu mengucapkan “please enjoy” seraya berlalu meninggalkan penulis termangu.

Belum berani berseorangan, penulis lantas balik ke hotel. Alangkah terkejutnya, sejurus melangkah ke lobi hotel, Brown tersengih menanti. Dia mempelawa minum tetapi penulis mengelak lalu bergegas ke pintu lif. Lelaki itu sempat menghulurkan kadnya. Tertera: Robert Brown, (Deputy General Manager) bagi kumpulan Holiday Inn London.

Sebelum menaiki Eurostar dari Paris ke London, penulis dan grup pengurusan UTAS sempat ke Disneyland yang menjadi syurga idaman kanak-kanak.

Bangunan

Tiada bangunan pencakar langit. Semuanya struktur batu-bata antara granit dan batu merah bukit;selebihnya tidak dapat dipastikan sama ada amber atau shale. Semuanya kekal dalam tertib asal sebagai pernah diramal Jean Anne Vincent melalui History of Art (1955).

Sepanjang perjalanan bas dari London ke Strafford Avon, York, melewati kota Oxford yang melencong dari lebuh raya, kami menemui menara gereja sederhana tinggi dengan ukiran triniti halus nilai estetika, menandakan kehebatan seni bangsa Inggeris.

Patung triniti, kepahlawanan, motif bunga dan sayap burung helang melambangkan kehebatan tamadun, terpampang pada setiap bangunan. Di sesetengah kota terdapat gereja terbiar tanpa dipedulikan.

Menatap pelbagai struktur di sepanjang perjalanan, kita dihidangkan pelbagai seni lawang dan kerawang, seni jendela dan beranda, hiasan tingkap dan koridor serta pelbagai bentuk gerbang, menara dan stupa.

Semuanya diukir dengan motif alam dan perjuangan, mitos dan legenda, sekali gus jadi santapan deria pengembara kerana setiap sudut berbicara mengikut tanggapan dan kepercayaan pembikinnya.

Kota ukiran berasaskan kesenian baroque abad 16 dikenali sebagai seni Georgian dengan motif pahlawan dan kemenangan, pemerintahan dan kemegahan sentiasa membarisi dinding bangunan khususnya gereja, perpustakaan dan muzium; membuatkan perasaan pengembara seperti diulit, mengkhayalkan kegemilangan Alexander the Great.

Pada bahagian tertentu khususnya bangunan gereja St. James dan St. Clarence terserlah seni horologi yang klasik. Begitu juga patung pahlawan dan kemaharajaan pada istana Windsor, Holyroodhouse dan Balmoral; walaupun sebahagiannya diterap secara moulding yang disebut ‘seni rococo’ namun penampilannya terserlah indah sebagai hasil seni yang tinggi sekali gus melambangkan kebanggaan empayar Inggeris yang pernah menakluki hampir separuh dunia.

Gaya aristokrat yang elegan digambarkan antara dogmatik dan ritual gereja; antara kegemilangan kepahlawanan dan kekuasaan imperialisme, dilingkari elemen burung dan bunga menyorot pandangan; hingga pada bahagian tertentu memaksa lensa mata menerobos ke celah lipatan batu yang begitu seni.

Tujuan utama grup pengembara kami adalah merintis laluan untuk produk pelancongan (bagi UTAS) dengan menyelusuri kampung tradisi, desa petani moden; mendekati kandang memerah susu dengan kuda, lembu dan biri-biri.

Seterusnya berjalan menyelusuri ‘pasar terbuka’ yang tiada penjaga hanya disediakan tin duit ternganga – mengharap kejujuran pembeli memasukkan wang dan mengambil baki jika ada.

Grup pengurusan terus meredah sempadan ke Edinburgh, Cardiff dan Scotland lalu turun ke Manchester melalui jalan alternatif, amat mengasyikkan bagi mereka yang mencintai seni tampak.

Bagi penggemar wayang, boleh singgah di Madame Tussauds di mana terdapat lebih 200 watak dan bintang tersohor diabadikan dalam bentuk patung lilin, di samping pemimpin dunia, tokoh seni, sains dan sastera. Itu hanya sekadar singgah; kerana misi utama mencari laluan kampung yang menurut ahli bahasa, ‘kampung’ adaptasi daripada perkataan compound.

Perjalanan melalui ladang gandum dan jagung menguning, sambil melihat kumpulan gembala berkuda mengiringi ribuan lembu dan biri-biri cukup mengasyikkan.

Gulungan rumput kering beratus jumlahnya, tersusun rapi di bawah kincir angin, pemandangan biasa menjadikan perjalanan mencari laluan cukup mempesonakan.

Perjalanan diteruskan. Bangunan baru dan lama yang tinggi nilai estetika, di mana kerja pembinaan dan penyelenggaraan dilakukan oleh bangsa Inggeris sendiri tanpa pekerja asing.

Jalan raya, istana, gereja, muzium, galeri dan universiti sehingga rumah kediaman dan hotel penginapan; baru dan lama; semua dibina dengan reka bentuk dan acuan sama, serta dibaik pulih oleh bangsanya tanpa campur tangan luar.

Demikianlah bangsa Eropah – dalam menjaga warisan tidak pernah berkompromi dalam soal kualiti dan hasil kerja seni, demi memastikan kelangsungan tamadunnya lestari melepasi abad dan usia generasi.

Mereka sanggup berjemur memanjat bangunan dalam menjaga khazanah nenek-moyang daripada terusik dek tangan asing; menjadikan seni rococo berketerampilan tinggi terus kekal dalam kelas dunia.

Itu ole-ole perjalanan yang melekakan grup pengurusan UTAS dalam usaha merintis laluan baru untuk ditawarkan kepada pengembara, pencinta seni bina dan belia tani.

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas