SHAH ALAM 10 Nov. – Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) bersama Yayasan Restu mengorak langkah memperkasa usaha dakwah Islam khususnya dalam kalangan masyarakat Cina menerusi kerjasama menerbitkan sebanyak 100,000 naskhah al-Quran dalam terjemahan bahasa Mandarin.
 |
| Ahmad Maslan memberikan kata ucapan sempena majlis memorandum persefahaman (MOU) untuk penerbitan al-Quran terjemahan bahasa Mandarin di Kompleks Taman Seni Islam Shah Alam, Selangor semalam. |
Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit yang disaksikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan di Kompleks Taman Seni Islam Selangor di sini hari ini.
Yayasan Restu diwakili Pengerusinya, Datuk Abdul Latiff Mirasa manakala Macma diwakili oleh Presidennya, Datuk Dr. Mustapha Ma.
Menerusi peringkat pertama kerjasama itu, sebanyak 20,000 naskhah al-Quran dan terjemahan dalam bahasa Mandarin akan diterbitkan untuk edaran kepada pihak tertentu serta institusi di negara ini.
Menurut Ahmad, usaha penerbitan itu merupakan yang pertama di negara ini bertujuan menyebar luas dakwah Islam khususnya kepada masyarakat Cina yang tidak memahami bahasa Arab.
Selain penerbitan al-Quran itu, katanya, kerjasama tersebut turut memberi penekanan kepada aspek pengindahan dengan seni zukhruf yang berunsurkan ciri-ciri kebudayaan masyarakat Cina Islam.
Yayasan Restu dan Macma malah akan menghimpunkan pakar dalam bahasa Mandarin dan Arab bagi menerbitkan al-Quran dan terjemahan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis MoU tersebut.
Tambah Ahmad, usaha seperti itu bukan perkara baharu di negara ini memandangkan Yayasan Restu yang memiliki kepakaran dalam bidang berkenaan telah menerbitkan kitab tersebut dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Khmer dan Kazakhstan.
Sementara itu, Abdul Latiff berkata, kerjasama tersebut dijangka melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta sepanjang tempoh setahun termasuk dari segi kajian dan penyelidikan.
Katanya, al-Quran dan terjemahan dalam bahasa Mandarin itu turut diagih ke negara-negara yang mempunyai kaum Cina sebagai keperluan mendalami kitab suci itu.