SIKAP peneraju syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terhadap bahasa Melayu dipersoalkan apabila pembahagian perbelanjaan iklan (adex) kepada akhbar Melayu jauh lebih kecil berbanding akhbar Cina dan Inggeris. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan GLC pula adalah syarikat yang sepatutnya mendaulatkan bahasa kebangsaan menerusi keyakinan membelanjakan iklan di akhbar Melayu.
Bagaimanapun ini tidak berlaku kerana sesetengah peneraju GLC bersikap anti Melayu dan anti akhbar Melayu malah mempunyai persepsi serong terhadap akhbar Melayu kononnya tidak dibaca oleh mereka yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi.
Antara akhbar bahasa Melayu yang menjadi mangsa diskriminasi sesetengah GLC ialah Utusan Malaysia, Berita Harian, Kosmo, Metro dan Sinar Harian. Inilah akhbar yang secara tidak disedari melangsungkan hayat bahasa Melayu dan disokong oleh pembaca pelbagai kaum.
Sikap peneraju GLC terhadap akhbar Melayu dengan sendirinya memperlihatkan belang mereka yang tidak mendukung Perlembagaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ini sungguh pelik kerana GLC sewajarnya mendokong aspirasi kerajaan terutama berkaitan bahasa Melayu.
Perangkaan menunjukkan perbelanjaan iklan tahun ini meningkat 3.7 peratus tetapi pendapatan iklan akhbar bahasa Melayu turun 1.8 peratus. Pada masa yang sama pendapatan iklan akhbar bahasa Cina mencatatkan peningkatan 8.9 peratus dan akhbar bahasa Inggeris 7.2 peratus.
Perbelanjaan iklan di akhbar mencatatkan perkongsian belanja iklan 37.9 peratus daripada industri media iaitu kedua selepas belanja untuk iklan di televisyen. Perangkaan ini menunjukkan belanja iklan untuk akhbar bukanlah kecil tetapi pembahagiannya tidak adil kepada akhbar berbahasa Melayu yang jauh lebih kecil daripada akhbar bahasa Cina dan Inggeris. Padahal edaran semua akhbar bahasa Melayu mencatatkan sekitar 700,000 sehari dan jumlah ini sama dengan edaran akhbar Inggeris.
Dakyah
Persepsi serong sesetengah peneraju GLC mesti diperbetulkan terutama terpengaruh dengan dakyah pihak yang tidak bertanggungjawab yang mendakwa akhbar Melayu bersikap rasis. Sebenarnya sesetengah agensi iklan yang mewakili GLC tertentu memanipulasi fakta dan membuat pengagihan yang tidak adil kepada akhbar Melayu. Siapakah yang sebenarnya rasis? Akhbar Melayu atau agensi iklan yang berkuasa penuh membuat pengagihan iklan yang rasis?
GLC mempunyai tanggungjawab untuk menjunjung bahasa Melayu. Caranya ialah dengan menunjukkan keyakinan akhbar Melayu mampu membawa mesej iklan yang berkesan dengan menggunakan bahasa Melayu. Akhbar Melayu tidak menagih simpati atau merayu peneraju GLC mengagihkan iklan sebagai jalan mudah mendapat keuntungan. Tetapi akhbar Melayu yang memperkaya dan melestarikan bahasa Melayu meminta pengagihan iklan dibuat berdasarkan merit.
Akhbar Melayu tidak pernah menimbulkan isu beberapa akhbar Cina yang menjadi alat pembangkang menjelang pilihan raya umum. Tetapi agak pelik apabila sikap akhbar Cina ini dianugerah dengan limpahan iklan oleh GLC. Biarlah kalau itu diukur daripada tanda aras profesionalisme.
Tetapi GLC harus ingat, apabila timbul sahaja bantahan daripada rakyat terhadap sesuatu isu yang melanda sesebuah GLC, mereka akan mencari akhbar bahasa Melayu untuk menyejukkan keadaan. Bagaimanakah agaknya kalau akhbar Melayu berpegang teguh kepada profesionalisme dan tidak membantu menyejukkan kemarahan rakyat?
Peneraju GLC jangan membiarkan diperalatkan oleh sesetengah agensi iklan yang mempunyai agenda tertentu dalam pengagihan iklan. Mereka diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk menguruskan syarikat di mana kerajaan mempunyai kepentingan di dalamnya.
Dalam suasana sesetengah syarikat korporat yang merendahkan bahasa Melayu dan tidak mengagihkan iklan dalam akhbar Melayu, GLC mesti membuktikan bahasa Melayu mempunyai keupayaan dalam sektor pengiklanan.
Akhbar Melayu telah dibuktikan dengan fakta bahawa jualan terbesar di kawasan bandar terutama di Lembah Kelang yang warganya mempunyai kuasa membeli yang tinggi.
Baru-baru ini pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Mohamad Md. Yusoff mengesyorkan supaya diwujudkan Dasar Pengiklanan Negara bertujuan mengawal industri iklan selain mendaulatkan bahasa Melayu dalam pengiklanan.
Syor ini sebenarnya dilontarkan selepas melihat sikap banyak peneraju GLC yang tidak memberi keutamaan kepada usaha mendaulatkan bahasa Melayu menerusi iklan dalam akhbar Melayu.
Ini menunjukkan banyak peneraju GLC sudah hilang jati diri dan lupa tentang hakikat kewujudan GLC seolah-olah sama dengan syarikat korporat lain. Mereka menyerahkan pengagihan iklan kepada agensi dan ada antaranya dikawal oleh ekspatriat, golongan rasis dan liberal yang tidak menghayati Perlembagaan.
Kerajaan yang mempunyai kuasa penuh melantik peneraju-peneraju GLC mesti bersikap tegas supaya mereka yang hilang jati diri tidak berjangkit kepada GLC yang lain. Ini bukan persaingan yang sihat antara bahasa Melayu yang bertaraf bahasa kebangsaan dengan bahasa lain seperti Inggeris dan Cina dalam konteks pengagihan iklan.