|
Mahfuz Omar |
KUALA LUMPUR 18 Nov. – Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) (gambar) seolah-olah tidak sehaluan dengan pendirian pakatan pembangkang yang bersetuju penggunaan kalimah Allah wajar diberikan untuk semua agama dengan syarat kalimah itu tidak disalahgunakan.
Naib Presiden Pas itu mempertikai kelonggaran yang diberikan kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak untuk menggunakan kalimah Allah serta Bible dalam bahasa Melayu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 peringkat jawatankuasa dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
“Di mana hak eksklusif umat Islam di Sabah dan Sarawak? Di Sabah dan Sarawak boleh pula tetapi di Semenanjung tidak boleh,” katanya.
Ekoran kenyataan itu, beliau ditempelak beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang menyifatkan tindakan Mahfuz mempersoal penggunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak sebagai ‘kempen’ menjelang Muktamar Pas Ke-59 pada 22 November ini.
Pendirian pakatan pembangkang berhubung penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain itu diumumkan selepas mesyuarat pimpinan tertingginya yang dihadiri Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 8 Januari lalu.
Walau bagaimanapun, Majlis Syura Ulama Pas tidak menyokong pendirian pakatan pembangkang itu dan menegaskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan penganut agama lain.
Setakat ini, Jawatankuasa Pas Pusat masih belum menarik balik persetujuan itu yang bukan sahaja mencetuskan polemik dalam parti tersebut malah turut menyentuh sensitiviti umat Islam sebagai golongan majoriti di negara ini.