Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Kemelut tidak berkesudahan

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Rabu, 6 November 2013

KONTROVERSI yang menyelubungi DAP masih belum berakhir walaupun parti itu sudah selesai mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dalam Kongres Khas parti pada 29 September lalu dengan pelbagai tuduhan serta dakwaan.

Antara dakwaan, persoalan dan tuduhan yang dilontarkan oleh ahli-ahli DAP berhubung pemilihan semula CEC atau lebih dikenali sebagai Kongres Khas ialah tarikh pemilihan yang bercanggah dengan perlembagaan yang terang-terangan menetapkan 10 minggu notis dari tarikh pemberitahuan. Namun dengan kuasa pimpinan tertinggi, DAP hanya memberikan notis kurang daripada sebulan. Undang-undang parti tidak diendahkan. Tiga orang ahli turut bertindak cuba menghentikan pemilihan DAP melalui perintah undang-undang namun mahkamah enggan campur tangan dalam hal parti.

Berdasarkan Fasal VIII Perkara 8 perlembagaan parti itu, Kongres Khas hanya boleh diadakan untuk membincangkan perkara tertentu, bukan untuk tujuan pemilihan.

Pemilihan semula atas kapasiti Kongres Khas telah diadakan walaupun dari awal lagi Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengeluarkan arahan agar pemilihan semula CEC diadakan sama seperti kongres terdahulu. Namun itu juga tidak dipedulikan, pemilihan diteruskan dan telah diadakan di One Hotel, Petaling Jaya.

Apa yang terus menjadi tanda tanya adalah dengan dakwaan ‘kehilangan’ 845 perwakilan yang tidak hadir mengundi daripada jumlah keseluruhan 2,576. Apakah yang telah berlaku dengan mereka ini? Adakah notis pemberitahuan pemilihan semula CEC telah sampai kepada mereka atau sememangnya kehadiran mereka telah disekat berikutan sokongan mereka tidak ke arah ‘kumpulan tertentu’ ? ROS juga pernah beberapa kali meminta DAP supaya menghantar senarai penuh perwakilan mereka namun arahan itu tidak pernah dipedulikan. Senarai perwakilan adalah ‘sulit dan rahsia’ buat mereka sedangkan ketelusan dalam semua aspek adalah modal mereka selama ini. Ini menyebabkan ramai ahli yang makan hati.

Juga timbul persoalan, apakah yang telah terjadi sehingga angka kehadiran turun mendadak berbanding dakwaan sebelum ini seramai 753 yang juga rata-ratanya perwakilan berketurunan India? Sebelum ini, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke pernah mendakwa wujud sebanyak 500 surat salinan asal yang dikatakan ditandatangani para perwakilan parti itu yang tidak dapat menghadiri pemilihan CEC lepas. Namun sehingga hari ini beliau gagal mengemukakan sebarang dokumen. Mungkinkah sekiranya kesemua 851 perwakilan itu hadir pada pemilihan kali ini, ia akan merubah keseluruhan keputusan pemilihan CEC sehingga memungkinkan kedudukan Guan Eng akan jatuh ke tangga paling bawah berbanding kelima?

Juga terdapat dakwaan senarai perwakilan tidak sama dengan Kongres Kebangsaan DAP ke-15 di Pulau Pinang pada Disember lepas. Terdapat dakwaan sebanyak 120 cawangan baharu atau cawangan yang hanya mempunyai sijil B telah dinaik taraf tanpa pengetahuan sesiapa kepada sijil A yang melayakkan mereka mengundi. Sekiranya dakwaan ini benar maka senarai itu telah diubah dan tidak mengikut arahan pihak ROS. Apakah nasib perwakilan ini memandangkan mereka ialah ahli yang berdaftar? Dengan itu, adakah seramai 450 pengundi hantu dari cawangan ‘B’ telah dibenarkan mengundi dan menidakkan perwakilan sah?

Terhad

Bagaimana pula secara tiba-tiba dan misteri, seramai 17 orang ahli CEC menarik diri secara mendadak? Adakah ini arahan daripada ‘pihak tokong’ untuk menarik diri supaya perwakilan terhad untuk mengundi nama-nama tertentu? Rata-rata yang menarik diri juga adalah golongan yang mempunyai jawatan dalam peringkat negeri dan parti. Apakah muslihatnya?

Perwakilan yang sudah dipecat daripada parti tetapi hadir mengundi? Antaranya, bekas Adun Teratai, Jenice Lee yang telah dipecat sebelum digantung. Tetapi kemudian dibenarkan mengundi sebelum dipecat sekali lagi pada 7 Oktober lalu? Adakah undi Jenice itu sah? Seminggu selepas pemilihan semula CEC pada 7 Oktober lalu, Jenice telah diberikan sekali lagi surat pemecatan. Bukan sahaja Jenice, malah rata-rata yang telah dipecat sebelum ini telah dipecat sekali lagi. Adakah dengan itu, mereka sebenarnya mengakui pemilihan terdahulu tidak sah dan penuh manipulasi? Mengapakah DAP begitu ‘gerun’ dengan kumpulan ini sehingga sanggup memecat mereka berkali-kali.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd. Noor pula menyifatkan CEC DAP baru-baru ini seperti ‘anjing menyalak bukit’ kerana mereka hanya merupakan sebuah ‘kumpulan mesyuarat’ yang langsung tidak mempunyai kuasa bagi membentuk dan bertindak dalam merangka sebarang polisi parti.

“Bermula dengan pemilihan CEC Disember tahun lalu sehingga ke pemilihan semula bulan lalu, kedudukan mereka belum diiktiraf mengikut undang-undang,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sudah dua kali pemilihan parti DAP dibuat, adakah sampai bila-bila mereka tidak akan melakukan sesuatu yang betul seperti yang diarahkan? Adakah benar dakwaan-dakwaan seperti pemimpin tertinggi sebenarnya lebih mengharapkan parti itu dibatalkan pendaftaran. Jika tidak, mengapa masih berterusan membuat ‘silap’ yang menyebabkan umum terus melontarkan kemusykilan dan ahli serta penyokong DAP terus hidup dalam dilema?

Penulis juga sedikit bingung, bagaimana DAP boleh dengan ‘selamba’ melantik atau memecat ahli mereka walhal sehingga hari ini, laporan berhubung pemilihan semula CEC baru-baru ini belum lagi dihantar kepada ROS bagi diiktiraf sebagai pilihan raya parti yang sah? Sepatutnya, laporan penuh itu dihantar dalam tempoh 60 hari dari tarikh pemilihan. Ketika artikel ini ditulis, sudah genap dua bulan.

Satu lagi perkara yang menarik perhatian adalah kemelut-kemelut DAP yang seperti tidak berkesudahan di beberapa negeri seperti Melaka, Kedah, Perak, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Pahang dan Sabah. Ada juga pemimpin tertinggi yang keluar atau meletakkan jawatan peringkat negeri berikutan ‘segelintir’ tangan ghaib dari pusat campur tangan isu negeri?

Dengan pertelagahan berterusan, manakah sebenarnya hala tuju DAP yang diterajui oleh anak beranak Lim berserta konco-konco mereka? Umum sedia maklum, rata-rata pemimpin ini lantang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kepimpinan serta pengikut-pengikut setia seperti Tony Pua, Tan Kok Wai, Zairil Khir Johari, Anthony Loke dan ramai lagi.

Apakah sebenarnya nasib dan hala tuju parti yang diterajui dengan diktator jika hendak dibandingkan pegangan asal mereka, parti yang demokratik?

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas