WASHINGTON 25 Nov. – Anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) mahu White House mengenakan hukuman yang lebih keras ke atas Teheran sekiranya Iran gagal menghormati perjanjian nuklear yang dimeterai di Geneva, semalam.
 |
Gambar fail bertarikh 26 Ogos 2006, menunjukkan loji reaktor hidrogen di Arak, kira-kira 320 kilometer di selatan Teheran. |
Menurut mereka yang sangsi dengan komitmen Teheran berhubung perjanjian itu, Washington mesti mengenakan hukuman lebih tegas dalam memberi tekanan ke atas Iran dan memaksa mereka pergi lebih jauh daripada perjanjian tersebut termasuk memusnahkan kemudahan nuklear sedia ada.
“Saya akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan dalam merangka undang-undang yang disokong kesemua ahli Kongres untuk mengenakan sekatan ekonomi baharu yang lebih ketat ke atas Iran.
“Tindakan itu mesti diambil sekiranya Iran memandang remeh perjanjian sementara itu atau pelupusan kemudahan nuklear Iran tidak dilakukan menjelang tempoh akhir enam bulan sebagaimana yang ditetapkan,” kata Mark Kirk, Ahli Parlimen dari Parti Republikan dalam satu kenyataan.
Perjanjian yang dimeterai di Switzerland itu melonggarkan beberapa sekatan yang dikenakan AS dan sekutunya ke atas Iran dan mereka memberi amaran, sekatan akan dikenakan semula sekiranya Iran gagal menghormati pembabitan negara tersebut dalam membataskan program nuklear mereka.
Seorang Ahli Parlimen lain dalam pada itu merumuskan keadaan tersebut sebagai ‘sekatan yang lebih ketat akan memberi kesan sekiranya mereka (Iran) menipu atau sekiranya tiada kerja pelupusan kemudahan nuklear dilakukan dalam tempoh enam bulan’.
Dengan cara ini menurutnya, Kongres akan bersetuju supaya tidak memendekkan tempoh enam bulan seperti yang dipersetujui di Geneva sementara mengancam Teheran dengan mengukuhkan sekatan sedia ada.
“Sekiranya Iran tidak mempersetujui satu perjanjian komprehensif yang menjamin mereka tidak boleh menghasilkan senjata kimia, terdapat persetujuan sebulat suara dalam Kongres bagi mengenakan sekatan yang lebih ketat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat dari Parti Demokrat, Carl Levin.