Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Agenda Risikan Asing: Respons Malaysia?

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Selasa, 12 November 2013

Kepada mereka yang mempunyai minat yang tinggi dalam bidang risikan, mahupun risikan balas (counter-intelligence), antara tempoh masa yang paling ‘meriah’ dengan perkara-perkara begini adalah di zaman Perang Dingin.

Sebahagian penunjuk perasaan memegang poster dan sepanduk menyokong pendedahan bekas kontraktor keselamatan, Edward Snowden berhubung program intipan dilakukan Agensi Keselamatan Nasional (NSA) di Hong Kong, China baru-baru ini.
Pada tempoh masa sama jugalah, cerita fiksyen dan filem seperti ‘James Bond’ dengan nombor 007 menjadi ikon.

Hari ini, hasil pendedahan yang dilakukan seorang lelaki bernama Edward Joseph Snowden, kita sedang dilambakkan dengan cerita risikan bentuk baru. Zaman lelaki macho seperti James Bond, mahupun seperti Johnny English sudah tidak lagi relevan.

Risikan zaman baru tidak berlaku secara ‘fizikal’. Kalaupun masih ada, yang lebih diutamakan adalah risikan bersifat ‘mass surveillance’. Ini adalah cabaran baru kepada mana-mana negara di dunia.

Tanpa kita sedar, perbualan kita di facebook, e-mail biasa, perbualan ‘Whatsapp’ (yang kadangkala dipenuhi dengan lawak kotor) pun boleh dipintas oleh mereka yang berkeupayaan.

Memang kita tidak nampak impak dan kesan strategik atas sifat kita orang biasa. Tetapi bayangkan apa yang mampu diperoleh oleh pihak yang berkenaan, jika mereka mahu benar-benar mencari ‘salah’ dan kelemahan mana-mana pemimpin mahupun individu. Usaha menaikkan dan menjatuhkan pemimpin pun, bisa diatur melalui platform ‘mass surveillance’.

Dalam konteks strategi politik, risikan total dengan konsep ‘mass surveillance’ ini melangkaui kemampuan diplomasi biasa. Sudah tidak ada rahsia dalam berkerajaan. Jika ‘mass surveillance’ ini dilakukan secara maksimum, kita berada di dalam suasana pentadbiran yang hampir telanjang.

Inilah juga yang menjadi asas kepada kerisauan banyak kerajaan di dunia pada ketika ini. Laporan media bagaimana komunikasi Canselor Jerman, Angela Merkel yang dipantau daripada bumbung berhampiran Berlin adalah satu realiti baru yang merisaukan (http://www.france24.com/en/20131105-germany-britain-ambassador-summoned-spying- nsa-espionage).

APA RESPONS MALAYSIA?

Sama ada kita mahu mengakuinya ataupun tidak, kita juga terdedah kepada elemen risikan sama. Tidak ada istilah ambil mudah apabila rahsia negara dikompromi sedemikian rupa.

Tindakan segera mesti diambil, sama ada melalui jalan diplomasi, mahupun memastikan tidak ada ruang ketirisan maklumat, dalam apa sahaja bentuk.

Zaman semuanya boleh dianalisis di atas talian, dengan istilah ‘big data, metadata, metacontent’ dan entah apa lagi, kita sebenarnya sedang memasuki zaman risikan tanpa had. Semuanya boleh dianalisis oleh mereka yang berkepentingan dan mahu mempunyai kelebihan dalam berurusan.

Pasca 9/11 memberikan lesen besar kepada beberapa negara untuk melancarkan risikan yang bersifat total dan menyeluruh. Pada mereka, jika ‘mass surveilance’ ini wujud sebelum peristiwa 9/11, peristiwa itu tidak mungkin berlaku!

Dengan segala lambakan data selepas peristiwa 9/11, program risikan total ini dikatakan mengetepikan 54 plot terorisme. Namun, setelah disiasat dengan teliti, hanya 4 plot pengganas yang mampu diketepikan. Apakah mungkin segala infra yang telah disediakan, digunakan untuk tujuan lain? Ini isu akarnya.

Entah berapa banyak data yang mampu mereka simpan dengan menggunakan beberapa inisiatif yang diberikan kod nama BLARNEY, FAIRVIEW, OAKSTAR and STORMBREW. Kalau diikutkan pendedahan Snowden, tidak ada yang terselamat dari pemantauan, ini termasuk – Gmail, Yahoo, facebook, hotmail, skype, Youtube dan lain-lain.

Penulis tidak mencadangkan kita nyah terus daripada aplikasi yang ada. Ia tidak realistik. Namun, kita masih perlu mempunyai respons balas yang lebih pragmatik dan bersesuaian dengan zaman. Untuk itu, kita mungkin perlu memperkasa beberapa agensi keselamatan untuk berhadapan dengan risikan zaman ‘metadata’ ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN), pada hemat penulis, sudah perlu keluar daripada imej agensi ‘malapetaka dan bencana’ semata-mata. MKN perlu diberikan peneguhan, untuk turut melihat isu-isu besar yang lebih strategik.

Merujuk kepada laman sesawang MKN, penulis merasakan ia perlukan satu iltizam politik dan pentadbiran yang lebih kukuh dan bersungguh. Peranan MKN perlu diperkasa sesuai dengan zaman. Cabaran politik era 1970-an, cukup berbeza dengan waktu semasa.

Dasar Keselamatan Siber Negara (DKSN) memang sudah sedia ada wujud. DKSN dikatakan mengutamakan perlindungan kepada Infrastruktur Maklumat Kritikal Nasional (Critical National Information Infrastructure – CNII). Namun, kita masih menunggu respon MKN dengan pendedahan yang dilakukan Snowden.

Penulis tidak fikir pengwujudan entiti dan agensi baru sebagai jalan ke hadapan. MKN perlu diperkasa dan diperteguhkan. Ia cukup strategik dan sudah akrab dengan pentadbiran kerajaan.

Mungkin tiba masanya 15 bidang fokus MKN diperkemas dan diperjelas. Jika ada bidang yang bertindih dengan agensi lain, garis kelabu mesti diperjelaskan tentang apakah bidang keutamaan yang perlu diberikan perhatian. Bidang strategik baru mesti turut dimasukkan. Kerjasama inter-agensi mesti diperteguh.

Dalam suasana ekonomi dan politik global pada ketika ini, bersangka baik pun ada hadnya. Kita perlu sentiasa mempunyai keraguan, tentang niat tersurat dan tersirat dalam apa jua inisiatif ekonomi dan politik yang dilakukan pihak lain.

Respons kita tidak cukup sekadar menghantar nota protes dan mengharapkan penjelasan jujur. Naif benar kita ini, jika semuanya akan dibentangkan di atas semangat kejujuran dan terus terang.

Mungkin benar, ‘mass surveillance’ juga mungkin banyak membantu pihak keselamatan kita dalam menangani sebarang kemungkinan. Namun, ianya masih perlu ditangani dengan baik dan hemah. Jika ia sampai merisik komunikasi pemimpin negara, ia sudah jelas tersasar daripada matlamat asal.

Sesuatu mesti dilakukan, dan ia perlu dilakukan sekarang. ‘Sudah terhantuk, baru nak terngadah’, kalau nak dipakai dalam konteks ini – akan memberikan ruang yang terlalu besar untuk kerahsiaan kita dikompromi, hampir setiap saat dan detik. Ia satu realiti yang amat merisaukan.

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas