 |
Nancy Shukri |
KUALA LUMPUR 21 Okt. – Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 yang dibacakan buat kali kedua di Dewan Rakyat hari ini bertujuan memelihara keselamatan dan keamanan negara melalui peruntukan-peruntukan yang berupaya membanteras kegiatan jenayah daripada terus bermaharajalela.
Kesalahan-kesalahan jenayah itu merangkumi jenayah terancang, jenayah seksual termasuk keganasan oleh pasangan, perbuatan khianat dan vandalisme.
Usaha untuk meminda Kanun Keseksaan juga dibuat selepas melihat beberapa insiden yang berlaku sebelum ini termasuk pencerobohan Lahad Datu, kes tahanan yang terlepas dan perbuatan menghina Jalur Gemilang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri ketika membaca rang undang-undang itu berkata, kerajaan memandang serius perbuatan jenayah yang berlaku di negara ini dan atas sebab itu hukuman penjara jenayah seksual melibatkan rogol berkumpulan (kesalahan baharu), sumbang mahram, rogol menggunakan objek ditingkatkan tempoh penjaranya daripada 30 tahun berbanding 20 tahun ketika ini.
”Begitu juga dengan perbuatan jenayah terancang dan keganasan oleh pihak-pihak tertentu yang mana pindaan ini mewujudkan kesalahan-kesalahan tambahan seperti melindungi, bergaul, merekrut atau mengambil bahagian (dalam kumpulan jenayah terancang),” katanya.
Nancy berkata, melalui pindaan tersebut mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Di bawah peruntukan jenayah terancang beliau berkata, mereka yang sabit kesalahan boleh dikenakan penjara dari lima tahun hingga 30 tahun berdasarkan kepada kategori kesalahan dilakukan serta boleh dikenakan sebat dan denda.
Merujuk kepada kejadian di Lahad Datu pula, Nancy berkata, pindaan telah memasukkan seksyen baru iaitu 130QA bertujuan mengadakan satu peruntukan baru iaitu menerima suapan untuk memudahkan atau membolehkan perbuatan keganasan dilakukan.
”Pengalaman getir serangan pengganas di Lahad Datu telah mendedahkan rantaian cara para pengganas beroperasi dan kaedah suapan merupakan satu cara yang digunakan oleh pengganas untuk menjayakan misi mereka.
”Mereka yang menerima suapan untuk tujuan ini akan dihukum mati jika perbuatan keganasan tersebut menyebabkan kematian dan dalam kes yang lain akan dihukum tidak kurang daripada tujuh tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda,” ujarnya.
Selain itu kata Nancy, kerajaan juga memandang serius berhubung perbuatan mendedahkan maklumat oleh mereka yang memperoleh maklumat ketika menjalankan tanggungjawab atau melaksanakan fungsi di bawah mana-mana undang-undang bertulis.
Sehubungan itu katanya, seksyen baharu 203A telah dimasukkan bagi memperuntukkan suatu kesalahan iaitu mendedahkan maklumat, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM1 juta atau penjara bagi tempoh sehingga satu tahun atau kedua-duanya.
”Pindaan ini penting bagi mengelakkan kejadian yang berlaku di Mahkamah Sesyen Jalan Duta yang mana seorang banduan telah berjaya melepaskan diri dengan membuka gari dan memanjat pagar mahkamah ketika pihak polis membawa para tahanan ke mahkamah. Di Seremban pula, tiga pegawai polis telah dituduh atas tuduhan kecuaian sehingga menyebabkan tahanan kes dadah terlepas,” ujarnya.