Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Pertanian sebagai kerjaya pilihan golongan belia

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Ahad, 27 Oktober 2013

TANGGAPAN pertanian bukan kerjaya pilihan belia di negara ini ternyata sudah ketinggalan zaman kerana realitinya semakin ramai golongan itu yang menceburi bidang terbabit.

Perkara itu terbukti apabila lulusan tinggi dalam bidang pertanian terus meningkat saban tahun termasuk 992 orang yang akan menerima sijil dan diploma masing-masing pada Konvokesyen Pertanian Ketiga di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Mereka terdiri daripada 121 penerima Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), 366 penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan 36 lulusan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Ia juga termasuk 46 lulusan Pegawai Latihan Vokasional (VTO), lima lulusan Eksekutif Latihan Vokasional (VTE), tiga lulusan Pengurus Latihan Vokasional (VTM), 354 lulusan Sijil Pertanian dan 59 lulusan Sijil Veterinar Malaysia.

Kumpulan berkenaan adalah sebahagian daripada 83,000 tenaga kerja mahir pertanian yang akan dilatih kerajaan menjelang 2020.

Konvokesyen yang dikendalikan secara bersama oleh Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC), Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kerjasama ketiga-tiga jabatan mengikut Strategi Lautan Biru (BOS) membuktikan kesungguhan pihak kerajaan untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan usahawan dalam bidang pertanian bagi menghadapi krisis kekurangan makanan serius di peringkat global yang dijangka berlaku pada 2050 ekoran pertambahan penduduk dunia kepada 9.6 bilion orang.

Menurut Pengarah NATC, Daud Otheman, peningkatan bilangan pelajar itu adalah hasil daripada langkah kerajaan menubuhkan majlis itu pada 2002 yang bertanggungjawab melaksana Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK).

"Asas pelaksanaan PLKPK adalah meningkatkan pengeluaran agromakanan negara, melahirkan pekerja mahir dan separa mahir dalam sektor pertanian serta membangunkan usahawan tani dan peladang progresif.

"Kemahiran-kemahiran yang diajar menerusi PLKPK adalah tanaman sayuran, buah- buahan dan padi; ternakan ruminan, ayam dan itik; teknologi perikanan tangkapan dan akuakultur serta industri asas tani yang membabitkan pemprosesan, pengedaran dan pemasaran bahan makanan," katanya.

Menurut beliau, latihan bagi mendapat sijil SKM adalah antara enam hingga 12 bulan manakala DKM selama 12 bulan dan kemudiannya ditambah tiga bulan latihan industri.

"Semua latihan ini akan diadakan di 12 pusat bertauliah NATC termasuk di Kolej Pertanian Malaysia (KPM) di Bukit Tangga, Kedah yang kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM165 juta bagi menyediakan prasarana pembelajaran yang serba lengkap.

"Lain-lain pusat adalah Institut Penyelidikan Perikanan di Kampung Pulau Sayak, Kedah; Institut Perikanan Malaysia (IPM) di Chendering, Terengganu dan Sekolah Perikanan Teknologi Tangkapan di Tanjung Manis, Sarawak.

"Latihan juga diadakan di Pusat Latihan Teknikal NATC di Serdang, Selangor; Institut Pengurusan Peladang di Sungai Petani, Kedah; Institut Veterinar Malaysia (IVM) di Kluang, Johor; Institut Pertanian Kuala Lipis (IPKL), Pahang; Institut Pertanian Air Hitam (IPAH), Johor; Institut Pertanian Serdang (IPS), Selangor; Institut Pertanian Titi Gantung (IPTG), Perak dan Institut Pertanian Bumbung Lima (IPBL), Pulau Pinang," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, serentak dengan konvokesyen itu, pihaknya akan turut menganjurkan Karnival Kerjaya Agrobelia 2013 yang akan berlangsung selama dua hari sehingga Ahad.

"Objektif karnival adalah untuk mempromosikan latihan kemahiran pertanian, menggalakkan penyertaan golongan belia dalam bidang keusahawanan pertanian dan membuka peluang kerjaya dalam bidang pertanian.

"Ia juga bertujuan menjadikan pertanian sebagai pilihan kerjaya golongan belia, menyediakan tawaran pekerjaan secara terus daripada syarikat dan mengadakan klinik bimbingan untuk mereka yang bercadang memilih pertanian sebagai satu kerjaya," katanya.

Beliau berkata, karnival yang dibuka secara percuma kepada orang ramai akan diadakan di Dewan Tun Razak 4, PWTC dengan jumlah gerai pameran kerjaya adalah sebanyak 50 buah.

"Bermula pada pukul 10 pagi pada Sabtu akan diadakan seminar kerjaya melibatkan bidang ruminan, tanaman, pemprosesan makanan, akuakultur dan pemasaran; klinik kerjaya oleh JobsMalaysia mengenai petua menghadiri temu duga dan kaedah membuat resume serta sesi temu duga terbuka," ujarnya.

Beliau berkata, pada Ahad pula, pihak NATC akan menganjurkan forum melibatkan perkongsian pengalaman oleh mereka-mereka yang telah berjaya menceburi bidang pertanian.

"Pada hari kedua karnival yang akan berlangsung sehingga 1 petang, pada hadirin juga berpeluang bertemu dengan pelawak, pelakon dan pengacara, Nabil Ahmad dan beberapa artis tempatan lain yang telah dijemput bagi memeriahkan program berkenaan," katanya.

Tambah beliau, sempena konvokesyen dan karnival kerjaya itu, Ismail Sabri akan melancarkan sebuah buku yang mengandungi kisah kejayaan 40 usahawan agrobelia, direktori pusat latihan pertanian, direktori usahawan agrobelia dan syarikat latihan industri.

"Buku yang akan diedarkan secara percuma ini boleh dijadikan rujukan berguna oleh mereka yang ingin terlibat secara aktif dalam bidang pertanian.

"Insya-Allah buku ini akan diterbitkan setiap tahun dan usahawan agrobelia berjaya yang mahu maklumat tentang mereka dihebahkan kepada umum dalam buku edisi akan datang boleh berbuat demikian dengan mengunjungi kaunter khas yang dibuka sepanjang konvokesyen dan karnival," ujarnya.

Sementara itu, katanya, para belia yang berminat mengikuti kursus yang ditawarkan oleh NATC boleh berhubung dengan pihaknya di Aras 3, Menara 4G1, Wisma Tani, Presint 4, Putrajaya atau menghubungi nombor telefon 03-88701000 atau melayari Internet di alamat www.moa.gov.my/natc.

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas