Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Mengangkat pendidikan teknik dan vokasional

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Khamis, 31 Oktober 2013

BAGI sesebuah negara maju, pendidikan teknik dan vokasional menjadi penanda aras penting bagi memastikan pembangunan mampan dan berdaya-maju berjalan lancar. Negara seperti Finland, Jepun, Kanada dan Austria peratus pelajar lepasan sekolah menengahnya yang menjurus kepada pendidikan teknikal dan vokasional mencecah hingga 50 hingga 60%. Ini kerana negara itu menyasarkan sejumlah besar ahli teknologi, pekerja mahir dan separa yang tinggi bagi memangkin pertumbuhan ekonomi secara berterusan dan berkualiti.

Dasar ini juga menjadi penekanan kerana mereka mahu memastikan modal insan yang mencukupi dan tidak bergantung kepada tenaga asing yang berkelayakan di samping memastikan generasi masa depannya terus terbina sebagai masyarakat berpengetahuan teknologi tinggi.

Malaysia yang telah memulakan penglibatan serius dalam industri berasaskan teknologi tinggi seperti automotif, aeroangkasa, teknologi makanan, elektronik, farmaseutikal dan lain-lain, maka penyediaan sebilangan besar modal insan terlatih, profesional dan berkemahiran harus dijadikan agenda utama. Negara memerlukan modal insan terbaik bagi mendokong pembangunan industri dan penguasaan teknologi bagi mengelakkan kebergantungan total kepada teknologi dan kemahiran dari barat.

Walau semua ini termaktub didalam Program Tranformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) namun ia perlu diterjemahkan dalam pelaksanaannya. Pelaksanaan GTP dan MBE antara lainnya amat berkait rapat dengan pemartabatan pendidikan teknik dan vokasional serta mengangkat profesion teknologis setanding dengan piawaian antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pendidikan telah merumuskan didalam ucapannya sewaktu merasmikan Karnival Kolej Vokasional 1Malaysia 2013 bahawa Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional (PSTPV) perlu dijadikan asas kepada lonjakan pantas untuk mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan vokasional (PTV) di semua tahap dan peringkat. Ini termasuklah menyediakan laluan pengajian tinggi, pengiktirafan profesion di samping penyediaan modal insan negara. PSTPV yang dilancarkan harus pula disokong dengan program-program di peringkat lebih tinggi, daripada peringkat peringkat persijilan sarjana muda, sarjana dan seterusnya Doktor Falsafah.

Justeru, inisiatif universiti teknikal (Malaysian Technical University network – MTUN) menawarkan pelbagai program pendidikan bidang teknologi termasuk teknologi kejuruteraan harus disokong dan diperkasakan bagi memberikan laluan pendidikan lanjutan dan peningkatan kerjaya di masa hadapan. Di samping itu keselarasan di antara industri primari negara seperti automotif, bioteknologi, aeroangkasa dan teknologi makanan juga diperlukan. Bidang-bidang teknologi yang ditawarkan termasuk teknologi kejuruteraan pembuatan, teknologi kejuruteraan farmaseutikal, teknologi bio, teknologi kejuruteraan mikroelektronik, teknologi kejuruteraan mekatronik, teknologi kejuruteraan aeroangkasa (sekadar menyebut beberapa bidang) harus diperbanyakkan. Bidang-bidang ini akan membantu memposisi industri automotif, pesawat, bahan termaju, bioteknologi, proses makanan dan lain-lain bidang yang akan menjadi teras industri negara.

Mengambil contoh dasar dan polisi negara Kesatuan Eropah dalam kertas dasar yang Proses Copenhagen (Copenhagen Process) telah mengagaskan keutamaan pendidikan teknikal dan vokasional agar menjadi dasar utama bagi membolehkan proses pembelajaran yang fleksibel, berkualiti, membuka peluang pendidikan lanjutan lebih luas dan sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi Eropah.

Ini selaras dengan Kerangka Kelayakan Eropah atau European Qualification Framework (EQF) yang akhirnya memberikan peluang lebih terbuka bagi kesinambungan pendidikan dari tahap asas hingga ke tahap pasca siswazah. Dasar ini jugalah yang menjadi aspirasi kepada PSTPV yang akan memberikan peluang lebih luas untuk mendapat pendidikan ke tahap lebih tinggi.

Sehubungan dengan proses pemerkasaan PSTPV, maka telah tiba masanya sebuah badan profesional bagi profesion yang lahir daripada dasar PSTPV seperti teknologi kejuruteraan, bioteknologi dan lain-lain bidang teknologi ditubuhkan kerajaan. Penubuhan Lembaga Teknologis Malaysia (atau Malaysia Board of Technologist – MBOT) akan mengangkat profesion dalam pendidikan teknikal dan vokasional setanding dengan graduan lulusan bidang yang sama dari Amerika Syarikat, Eropah, Kanada dan Australia.

MBOT akan meletakkan Malaysia setanding malah akan meluncur ke hadapan sebagai peneraju kemajuan teknologi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Dengan ini agenda PSTPV kerajaan akan bergerak lebih pantas serta dapat menarik rakyat khususnya golongan muda lepasan sekolah mengikuti program pendidikan teknikal dan vokasional.

Oleh itu, Rang Undang-Undang Lembaga Teknologis Malaysia hendaklah disediakan segera bagi membolehkan tranformasi kerajaan berjalan lancar. Seiring dengan itu universiti teknikal tempatan hendaklah lebih agresif menawarkan program berkaitan sejajar dengan keperluan dan pembangunan industri negara. Sekiranya ini gagal digerakkan maka Malaysia akan tertinggal jauh dalam sektor industri di masa hadapan seperti yang dihasratkan dalam pelan transformasi kerajaan.

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas