Pasti ramai yang telah mendengar rakaman perbualan telefon yang dimuat naikkan di laman sosial Facebook baru-baru ini. Rakaman di antara seorang lelaki yang dipercayai berketurunan India dengan seorang guru besar dari Sekolah Rendah Kebangsaan Puchong berhubung isu korban yang dilakukan oleh pihak sekolah.
Rakaman berdurasi 8.06 minit mengenai provokasi yang cuba dilakukan oleh lelaki India tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai Saravanan itu mendapat perhatian ramai pihak yang jelas tidak berpuas hati dengan tindakannya.
Di dalam rakaman perbualan tersebut dia cuba menimbulkan mempertikaikan keputusan sekolah tersebut menjalankan upacara qurban di dalam kawasan sekolah yang kononnya akan mengganggu sentimen pelajar beragama hindu.
Walaupun guru besar tersebut cuba menjelaskan dengan cara berhemah dengan menggunakan nada yang rendah, Saravanan tetap dengan pendekatan kasar dan biadab. Malah dia berulang kali menyebut, sekiranya pihak sekolah membenarkan upacara qurban dijalankan, maka penganut agama lain patut dibenarkan untuk memotong babi di sekolah.
Sikap profesional yang ditunjukkan oleh guru besar terbabit, wajar dipuji kerana walaupun diasak dengan sedemikian rupa beliau tetap memberikan respon dengan tenang dan sopan. Malah ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan, beliau menjelaskan walaupun ibadah qurban itu dilakukan di kawasan sekolah, namun para pelajar yang bukan beragama Islam tidak dibenarkan untuk berada di kawasan yang berhampiran.
Oleh yang demikian, tidak timbul soal sentimen atau perkara-perkara yang dirasakan akan menyinggung sensitiviti pelajar. Ini kerana program yang dijalankan itu selain bertujuan untuk memenuhi tuntutan agama, ia bagi memberikan pendedahan kepada para pelajar Islam tentang ibadah tersebut.
Mungkin mereka yang bukan beragama Islam merasakan perkataan babi yang digunakan, hanya merupakan analogi mudah namun bagi penganut agama Islam ia adalah merupakan satu percubaan untuk mencetus sentimen perkauman dan cubaan untuk menghasut.
Ini kerana Perkara 11, Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa Islam adalah merupakan Agama Persekutuan. Sungguh pun begitu agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.
Walaupun Saravanan cuba mempertikaikan tindakan tersebut dengan alasan pihak kementerian kononnya tidak membenarkan aktiviti seumpama itu dijalankan di kawasan sekolah. Namun sekiranya diteliti, pihak kementerian secara dasarnya tidak pernah memberikan sebarang arahan bertulis melalui pekeliling untuk tidak membenarkan perkara tersebut.
Tambahan pula, ibadah korban adalah merupakan sebahagian daripada sukatan mata pelajaran Islam. Oleh itu tidak timbul sebarang isu mengenai perkara tersebut. Secara rasionalnya tidak salah sekiranya pihak sekolah berhasrat untuk mengadakan latihan praktikal bagi mendedahkan para pelajar dengan cara dan kaedah yang dibenarkan Islam ketika menyembelih binatang ternakan.
Malah melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh guru besar tersebut, beliau secara terang menjelaskan perkara tersebut telah dibincangkan dan dipersetujui di dalam mesyuarat pengurusan sekolah yang turut dihadiri oleh guru-guru yang bukan beragama Islam.
Kesimpulannya pihak berkuasa perlu bertindak tegas dan segera menjalankan siasatan berhubung tindakan Saravanan ini yang secara jelas cuba mewujudkan suasana tidak selesa di kalangan masyarakat. Malah kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan juga jelas mengandungi sentimen kebencian dan hasutan.
Surendran Hilang Apabila Diminta Tandatangani Surat Pelepasan Tanggungan
Umum mengetahui pakatan pembangkang sering kali menjadikan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai ‘kambing hitam’ bagi menghentam kerajaan. Mereka mendakwa kononnya PDRM telah dijadikan alat oleh pemimpin kerajaan Barisan Nasional bagi menyekat dan menghalang aktiviti yang dilakukan oleh pakatan pembangkang.
Namun sejak akhir-akhirnya ini, serangan yang ditujukan kepada PDRM dilihat semakin melampaui batas. Mereka dengan sewenang-wenangnya menuduh pihak polis trigger happy dalam melakukan tugas. Ia ekoran dari beberapa kejadian tembak-menembak antara pihak polis dan penjenayah.
Naib Presiden PKR, N, Surendran sebelum ini mendakwa polis dengan sengaja melepaskan tembakan bagi membunuh (shoot-to-kill) para penjenayah ketika menjalankan operasi. Surendran turut mendakwa polis gagal mematuhi dan mengikutiProsedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Dia juga mempertikaikan tindakan polis menangkap dan menembak penjenayah berbangsa India sebagai profail berdasarkan kaum (racial profiling) sangat berbahaya. Dalam kenyataannya kepada portal pro pembangkang, kata Surendran, hampir 70 peratus penjenayah yang ditangkap dan terbabit dalam kejadian tembakan adalah dari kaum India.
Ekoran dari kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 11 Oktober telah mempelawa Surendran yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang Serai untuk turut serta dalam operasi membanteras penjenayah bersenjata yang bakal diadakan nanti.
Pelawaan itu bertujuan untuk membolehkan Surendran melihat sendiri cara dan pendekatan yang diambil oleh pihak polis ketika berdepan dengan saat getir yang boleh meragut nyawa pada bila-bila masa.
Walaupun Surendran telah pun menyatakan kesudian untuk turut serta dalam operasi yang bakal diadakan, namun sehingga kini dia masih gagal untuk menandatangani suratperjanjian indemniti yang diperlukan oleh pihak polis.
Surat perjanjian indemniti itu, bertujuan untuk membebaskan polis daripada memikul sebarang tanggungjawab jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Dalam erti kata lain, dia tidak boleh membuat sebarang tuntutan terhadap kerajaan Malaysia, pihak polis, Ketua Polis Negara, atau mana-mana pegawai yang terlibat dalam operasi itu.
Paling menarik, apabila meneliti kandungan surat perjanjian indemniti itu penasihat undang-undangnya R. Sivarasa telah menasihatinya agar membatalkan hasratnya untuk menyertai operasi berbahaya itu bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.
Persoalannya bukankah mereka sebelum ini mendakwa, polis dengan sengaja ingin melepaskan tembakan untuk bunuh dan tidak mengikuti prosedur? Sedangkan penjenayah-penjenayah yang ingin ditangkap itu langsung tidak berbahaya. Jadi apa perlu untuk Surendran takut menurunkan tandatangan tersebut.
Tambahan pula masakan, penjenayah berbahaya dari keturunan India sanggup menembak Surendran yang ingin memperjuangkan hak dan kebebasan mereka.
Surat perjanjian indemniti itu secara dasarnya bertujuan untuk mengelakkan pihak polis terbeban dengan tanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan nyawa Surendran. Ini kerana ketika operasi dilakukan, selain menangkap penjenayah, sudah tentu anggota dan pegawai yang menyertai operasi perlu menjaga keselamatan dan nyawa mereka sendiri.
Kesimpulannya, Surendran perlu berhenti dari bermain politik murahan atau mencari isu yang mempunyai political mileage. Sekiranya dia inginkan kepastian berhubung SOP yang dijalankan oleh polis sila sahut cabaran tersebut. Kegagalan dia menyahut cabaran tersebut bakal membuktikan mereka di kalangan pembangkang hanya berani untuk bercakap namun takut berdepan dengan realiti.