KUALA LUMPUR 16 Okt. - Para perwakilan yang bakal mengundi pada 19 Oktober ini diharap dapat memilih calon yang mampu memberi kemenangan dua pertiga kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, kemenangan pada PRU-14 adalah penting bagi meneruskan kesinambungan parti.
"Kita hendaklah memikirkan tentang PRU-14 iaitu kira-kira empat tahun daripada sekarang, sama ada calon yang kita pilih itu boleh memberi kemenangan besar kepada UMNO dan BN.
"Adakah calon di peringkat bahagian itu boleh memberi kemenangan kepada BN di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta sama ada calon MT (Majlis Tertinggi) mampu membantu Presiden dan Timbalan Presiden UMNO bagi mengukuhkan UMNO dan BN, itu yang harus difikirkan oleh perwakilan," katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata demikian selepas melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di Jalan Chan Sow Lin, di sini hari ini.
Rombongan lawatan seramai 15 orang yang terdiri daripada Bahagian Penerangan UMNO dan Alumni Kelab UMNO Luar Negara itu disambut oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Othman Mohamad dan pengarang-pengarang kanan lain.
Hadir sama Zalini Zainul Abidin, wakil pejabat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, Tan Sri Shahril Shamsuddin.
Dalam pada itu tambah Ahmad, setiap calon yang bakal dipilih pada pemilihan kali ini mestilah terdiri daripada pemimpin yang rajin bekerja, gigih membantu rakyat serta mempunyai wawasan untuk masa depan agama, bangsa dan negara.
"Kita bukan memilih pemimpin untuk berkhidmat setahun dua tetapi untuk tempoh sepenggal akan datang.
"Cabaran PRU-14 lebih hebat berbanding pilihan raya umum yang lalu, jadi pemilihan kali ini bukan proses memilih pemimpin dengan sambil lewa tetapi penting untuk perwakilan memikirkan masa depan parti dan negara," katanya.
Sementara itu beliau berkata, Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 November ini dilihat sebagai tugas dan cabaran pertama bagi setiap pemimpin yang memenangi jawatan di peringkat MT dan sayap-sayap parti pada pemilihan UMNO kali ini.
"Selepas tamat pemilihan pada 19 Oktober ini, kita mesti rapatkan barisan dengan turun beramai-ramai memberi sokongan sewaktu hari penamaan calon pada 23 Oktober dan seterusnya pada hari pengundian.
"Diharapkan dengan kerja keras dan kesungguhan DUN Sungai Limau yang dipegang pembangkang selama lima penggal, mampu ditawan kerana tiada yang mustahil dalam politik," katanya.