GOLONGAN remaja menghadapi cabaran hebat dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global hari ini. Mereka bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing tetapi juga semakin diresapi dengan budaya hedonisme iaitu suka berfoya-foya dan berhibur. Malah yang lebih membimbangkan kita apabila mereka tidak lagi menjadikan agama Islam sebagai panduan kehidupan.
Kemelut jiwa remaja yang berubah-ubah mengikut peredaran masa kadangkala membuatkan ibu bapa dan pendidik pening memikirkannya. Remaja pula semakin keliru jika terus dibiarkan tanpa tujuan hidup yang jelas dan kefahaman yang tepat terutama dalam menggilap potensi diri.
Alangkah indahnya kehidupan ini sekiranya remaja kita hari ini dapat menggilap potensi diri dengan menterjemahkan nilai jatidiri yang kukuh dalam diri mereka. Sepertimana yang kita tahu bahawa jatidiri adalah benteng pertahanan kepada diri manusia. Pastinya benteng ini dibina daripada asas akidah yang mentauhidkan Allah SWT dan Rasul SAW.
Bagaimanapun sekiranya rapuhnya benteng ini maka tumbanglah manusia menurut hawa nafsu, manakala kuatnya benteng ini maka mudahlah menjinakkan hawa nafsu mereka. Nafsu manusia terbahagi kepada dua iaitu Nafsu Mutmainnah (Nafsu baik) Nafsu Lauwamah (Nafsu jahat).
Sekiranya nafsu jahat meresapi diri remaja kita bimbang dengan mudah mereka akan terikut-ikut dengan budaya barat, meniru secara membabi buta, kata mereka ini trend masa kini dan yang lebih parah lagi sehingga boleh menggugat akidah.
Turut dibimbangi apabila robohnya benteng pertahanan dalam diri, sudah tentu ia akan mudah terpengaruh dengan dakyah dan ancaman daripada pihak yang sedang berusaha memesongkan akidah pegangan kepercayaan terhadap Islam. Justeru, tidak hairanlah ada dalam kalangan remaja kita hilang keyakinan dan keimanan mereka kepada Islam. Mereka mengaku sebagai Muslim tetapi tidak menunaikan solat.
Sepertimana dalam firman Allah Sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka hendaklah kamu ikutinya dan janganlah mengikuti jalan-jalan lain, kelak akan porak- peranda kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan kepadamu agar bertakwa” (Surah Al-Anam 153).
Salah satu punca berlakunya keadaan ini adalah faktor persekitaran termasuk cabaran globalisasi. Pendedahan dan kesongsangan identiti remaja hanya dihujung jari. Dengan pelbagai alat komunikasi mereka mudah mengakses pelbagai laman sosial yang kadangkala boleh mengancam sahsiah remaja Islam.
Begitu juga dengan suasana pergaulan yang tidak dibatasi oleh syariat akan mengheret remaja ke dalam kancah gejala sosial. Permulaan perkara ini adalah pengaruh rakan. Pengaruh rakan sebaya dalam kehidupan remaja mempunyai kesan dalam mengubah hidup seseorang remaja. Apabila tersilap langkah memilih kawan yang rosak, tidak mustahil remaja juga terikut- ikut jejak langkahnya.
Oleh itu, dalam mendaulatkan syariat Allah SWT, remaja hari ini perlu berkorban apa sahaja terutama mempunyai matlamat dalam hidup mereka. Inilah perbezaan dengan orang yang gagal. Mereka yang berjaya sering tahu apa yang harus dan perlu dilakukan, berfikir dan berusaha untuk mencapai matlamat tersebut.
Islam juga mengajar penganutnya agar mempunyai matlamat dan berpandangan jauh bukan sahaja matlamat di dunia malah menjangkau matlamat di akhirat. Matlamat juga perlulah spesifik, jels dan perlu disusuli dengan tindakan yang istiqamah. Jangan hanya hangat-hangat tahi ayam.
Kita selalu mendengar kata-kata motivasi yang menyebut Jika anda gagal merancang, maka anda telah merancang untuk gagal”. Hidup yang tiada matlamat umpama mayat hidup” yang sekadar hidup menghabiskan sisa-sia hidup di dunia namun berbeza dengan mereka yang mempunyai matlamat iaitu digelar sebagai Khalifah. Makna khalifah amat luas pengertiannya untuk berjaya di dunia dan mengecapi kebahagiaan di akhirat atau dengan kata lain solatku, ibadahku, hidupku, matiku hanyalah untuk Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud Telah aku jadikan jin dan manusia untuk beribadat kepada- Ku”. Bagaimana matlamat ini boleh membantu mencipta kejayaan? Di sinilah peranan pembangunan intelektual.
Remaja hari ini haruslah berkorban masa dan tenaga demi memastikan kelangsungan pembangunan dan kemajuan negara. Kapasiti intelektual mereka perlu dijana semaksimumnya. Di dalam membentuk model mithali generasi muda, anjakan paradigma diperlukan bagi membolehkan mereka memahami, menghayati dan mengamalkan kepentingan serta ketinggian falsafah ilmu. Budaya pembelajaran sepanjang hayat, cintakan ilmu dan budaya iqra yang melibatkan proses mental yang tinggi hendaklah disemaikan ke dalam minda para remaja.
Pun begitu, minda sahaja tidak cukup tanpa dipandu oleh nilai-nilai sahsiah agama yang akan mendidik jiwa dan memandu remaja menjadi insan yang berakhlak. Pembangunan intelektual yang tidak diiringi dengan kekudusan rohani akhirnya akan melahirkan robot yang begitu bijak di dalam menganalisis segala pengkajian dan maklumat tetapi realitinya kosong jiwanya.
Sabda Rasulullah Sesempurna keimanan dalam kalangan kamu ialah mereka yang indah akhlaknya”. Generasi Islam pada zaman kegemilangannya digilap dengan ketinggian ilmu dan penghayatan budi pekerti. Mereka maju kerana penguasaan pemikiran dan akhlak yang telah dibentuk berdasarkan ilmu-ilmu keagamaan dan ilmu-ilmu semasa.
Seterusnya, kesejahteraan dan kestabilan emosi turut merupakan pelengkap kepada kerangka berseri dan model mithali remaja masa kini. Emosi yang stabil akan membantu remaja berfikir secara waras dan dapat bertindak secara bijak.
Justeru kesempatan dalam bulan Zulhijjah bulan yang suci yang penuh dengan cerita pengorbanan ini, perlulah diambil oleh remaja kita untuk bermuhasabah diri dalam membuat pembaharuan menambah kebaikan dengan meningkatkan keyakinan kuatkan keazaman untuk sama-sama berkorban demi mendaulatkan syariat dan syiar Allah serta kembalilah kepada ajaran agama Islam dalam kehidupan.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan,
Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).