Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan Bajet 2014 di Parlimen. Masyarakat di semua peringkat pasti ternanti-nanti isi kandungan bajet berkenaan. Tentunya akan ada pelbagai elemen kejutan dan tawaran menarik untuk rakyat yang akan diumumkan untuk dilaksanakan pada 2014.
Bagi penulis, adalah menjadi harapan agar dalam bajet yang akan dibentangkan nanti agenda transformasi zakat di negara kita akan mendapat perhatian serius oleh pihak kerajaan. Usaha dan strategi baru perlu disuntik bagi melestarikan lagi peranan zakat dan institusi zakat dalam usaha memperkasakan pembangunan ummah.
Pada dasarnya, terdapat dua isu zakat yang boleh direkayasakan dalam bajet 2014 nanti. Dua isu tersebut ialah zakat korporat dan penubuhan Lembaga Zakat Negara (LZN).
Isu zakat korporat telah diperdebatkan sejak sekian lama dan masih tiada penyelesaian mutlak diputuskan oleh mana-mana pihak. Keadaan ini telah menyukarkan syarikat-syarikat korporat untuk melaksanakan tanggungjawab berzakat. Ini kerana menurut perlembagaan persekutuan, syarikat korporat bukanlah individu Islam, maka tanggungjawab zakat tidak diwajibkan ke atas syarikat kepunyaan orang-orang Islam.
Keadaan ini telah menimbulkan masalah kepada syarikat-syarikat ini kerana secara tidak langsung mereka terpaksa membayar dua kali ‘cukai’, iaitu cukai perniagaan dan zakat korporat. Kedudukan ini bukan sahaja dibimbangi membebankan mereka malah akan merencatkan niat dan gelagat mereka untuk membayar zakat.
Walaupun kerajaan telah memberikan potongan sebanyak 2.5% ke atas pendapatan agregat syarikat bagi tujuan pengiraan cukai pendapatan, namun jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan dengan jumlah zakat yang perlu dikeluarkan oleh syarikat.
Natijahnya, syarikat Muslim membuat keputusan untuk tidak membayar zakat kerana ia akan memberi kesan kepada kos operasi perniagaan.
Pernyataan ini disokong oleh data statistik kutipan zakat dengan jumlah peniaga yang berdaftar dan aktif menjalankan perniagaan. Laporan zakat menunjukkan kurang daripada 10% syarikat Muslim di seluruh negara membayar zakat perniagaan.
Keadaan ini amat mendukacitakan sekali. Hal ini sudah pasti menjejaskan usaha pembangunan ummah. Hanya dengan peningkatan kutipan zakat secara berterusan mampu memastikan pelaksanaan zakat dapat dilakukan dengan lebih baik.
Justeru, Bajet 2014 disaran agar lebih mesra zakat korporat melalui dua strategi. Pertama, pelarasan tafsiran individu dan syarikat antara Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Perlembagaan Persekutuan.
Pada amalan sekarang, Seksyen 4 Akta Cukai Pendapatan 1967 menetapkan bahawa cukai pendapatan syarikat dikenakan ke atas keuntungan daripada perniagaan. Sedangkan di dalam Senarai 2, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa undang-undang Islam hanyalah diterimapakai ke atas individu Islam.
Ini menunjukkan kelompangan dalam undang-undang sedia ada yang mewajibkan syarikat korporat membayar zakat perniagaan. Oleh yang demikian, bajet 2014 perlu menyediakan inisiatif bagi meminda undang-undang sedia ada untuk mewajibkan zakat dikenakan ke atas syarikat korporat Muslim.
Kedua, zakat korporat harus menerima layanan rebat cukai sepertimana zakat pendapatan individu. Bagi zakat pendapatan, rebat cukai 100% telah diberikan kepada mana-mana individu yang membayar zakat kepada institusi agama yang sah. Perkara ini termaktub di dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.
Justeru, bagi menggalakkan syarikat korporat membayar zakat perniagaan, maka rebat cukai harus diperluaskan kepada zakat korporat. Rebat cukai ini perlu diberikan kepada keseluruhan jumlah zakat korporat yang telah dibayar dan bukan hanya potongan 2.5% daripada pendapatan agregat syarikat seperti yang diamalkan sekarang. Pengumuman insentif ini di dalam bajet nanti pasti menggembirakan syarikat-syarikat korporat Muslim.
Isu kedua yang wajar diberikan perhatian dalam bajet 2014 ialah penubuhan segera Lembaga Zakat Negara (LZN). Penubuhan LZN diyakini akan memberikan banyak manfaat kepada pengurusan zakat amnya dan kemajuan ummah khususnya.
Meskipun negara telah mempunyai Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di peringkat persekutuan, namun peranannya dilihat terbatas dan diselubungi oleh undang-undang sedia ada yang menyukarkan pengurusan yang lebih komprehensif di peringkat nasional sepertimana Tabung Haji.
Dengan adanya LZN, masalah ketidakseragaman pentadbiran dan pengurusan zakat pada masa sekarang dapat diatasi. Isu-isu seperti perbezaan taksiran zakat, ketidakcekapan pengurusan kutipan dan agihan zakat dan pembayar yang tidak mengikut sempadan negeri dapat dikurangkan. Dana zakat juga dapat dikembangkan dengan lebih baik di bawah LZN.
Menurut sejarah perkembangan zakat di negara kita, idea penubuhan LZN pernah diutarakan sekitar 2003 dan 2004 lagi. Namun kegagalan menjadikannya satu realiti ditunjangi oleh beberapa faktor seperti bertentangan dengan perlembagaan dan kebimbangan terhapusnya bidang kuasa negeri berkaitan zakat.
Dalam soal ini, LZN harus dilihat dalam konteks yang berbeza dan merentasi ruang lingkup definasi undang-undang sedia ada. Ini bermaksud konsep LZN dijadikan sebagai sebuah badan korporat yang diurus tadbir oleh profesional. Ahli-ahli LZN hendaklah terdiri daripada gabungan wakil-wakil institusi zakat negeri yang dinaungi oleh Majlis Raja-Raja.
Kuasa autonomi pengurusan dan pentadbiran zakat hendaklah diberikan kepada LZN dan diiktiraf oleh kerajaan persekutuan. Sebarang usaha dan strategi pelaksanaan pelan perancangan zakat negara diserahkan sepenuhnya kepada LZN. Ini termasuklah hal pentadbiran dan pengurusan kutipan dan agihan zakat di semua negeri. Sebagai permulaan, lebihan wang zakat di negeri-negeri dikumpulkan dan diuruskan oleh LZN.
Bagi penulis, pentadbiran dan pengurusan zakat wajar melalui satu transformasi melalui bajet 2014. Sejak kali terakhir mendapat perhatian di dalam bajet 2007, hampir enam tahun zakat seperti ‘dipinggirkan’.
Sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mentransformasikan negara, maka sudah tiba masanya zakat ditransformasikan kepada satu tahap yang lebih tinggi daripada apa yang ada pada masa sekarang.
PENULIS ialah Ram Al Jaffri Saad, Pensyarah Kanan Perakaunan dan Penyelidik Utama Institut Penyelidikan dan Pengurusan, Universiti Utara Malaysia.