SEPERTI hendak memilih pasangan hidup, Rasulullah SAW telah lama memperingatkan kita. Tidak salah pilih yang kaya. Tidak salah pilih yang cantik. Tidak salah pilih yang itu. Tidak salah pilih yang ini. Tapi pastikan dia seorang yang beragama. Syaratnya adalah agama.
Untuk itu adalah amat penting juga UMNO membariskan dalam saf kepimpinannya tokoh-tokoh agama. Jangan gunakan tokoh agama hanya pada waktu pilihan raya saja. Golongan agama perlu diberi tempat yang sewajarnya.
Kalau Pemuda, Puteri dan Wanita ada sayapnya dalam UMNO, maka sudah sampai masanya UMNO mewujudkan satu sayap khas untuk golongan agama.
Hari ini orang agama bagaikan tenggelam dalam UMNO. Peranan mereka bagaikan hilang.
Tidak dinafikan ada usaha untuk mengetengahkan orang agama dalam UMNO. Tapi dalam keadaan bagaikan takut dengan bayang-bayang.
Maka berlakulah sindrom divide and rules. Orang agama diletakkan dalam kotak-kotak tertentu saja. Keberadaan mereka tidak dirasakan. Kadangkala dilihat bagaikan berlaku semacam 'kekosongan'.
Dan situasi ini amat berbahaya kepada UMNO secara keseluruhannya. Jika ia terus dibiarkan, kesannya amat merugikan.
'Kekosongan' itu akhirnya dilihat perlu diisi. Siapa yang akan mengisi 'kekosongan' itu? Ia akhirnya diisi oleh orang yang pandai cakap macam orang agama. Oleh siapa lagi? Oleh orang yang berpakaian dan berketerampilan macam orang agama. Oleh siapa lagi? Oleh orang yang menjadikan aktiviti agama dan kebajikan sebagai alat untuk agenda tersembunyi mereka. Orang yang menjadikan agama sebagai alat untuk populariti diri semata-mata; bagi mencapai matlamat jangka pendek dan jangka panjang mereka.
'Kekosongan' itu akan diisi. Oleh siapa lagi? Oleh orang agama. Tapi oleh orang agama yang ada agenda. Amat bertuah apabila agendanya adalah agenda yang betul dan baik. Agenda yang ikhlas , bersih dan positif. Dan amat malang sekali kiranya agenda yang diperjuangkan di dalangi oleh agenda tersirat yang negatif.
Agenda yang didominasi oleh kefahaman dan aliran pemikiran yang tidak selari dan tidak serasi dengan amalan dan akidah ahlus sunnah wal jamaah. Agenda untuk menerapkan fahaman-fahaman yang bertolak belakang dari al-Quran, hadis, ijmak ulamak dan qias. Agenda yang cuba untuk membawa masuk fahaman dan aliran pemikiran untuk menggantikan apa yang telah di asas oleh ulamak kita terdahulu dan telah diterima pakai selama ini di Malaysia.
Mengapa UMNO? Kerana untuk ubah kefahaman dan pengamalan serta penghayatan agama rakyat; yang sudah berakar umbi dalam negara ini adalah amat sulit dan susah. Dan ia memerlukan masa yang panjang. Jalan pintas adalah berada di dalam UMNO. Isi 'kekosongan' yang ada. Dapatkan kepercayaan daripada ahli dan kepimpinan UMNO dan bila dapat UMNO, maka dapatlah negara. Bila dapat negara maka mudahlah untuk ubah apa yang dilihat pada persepsi fahaman dan aliran pemikiran yang dipegang oleh mereka sebagai 'bid'ah' , 'sesat' 'salah' dan 'tidak tepat'; yang selama ini telah menjadi amalan dan pegangan secara umum oleh umat Islam di Malaysia ini.
Kita tidak menolak perubahan. Kita tidak menolak islah dan transformasi. Tetapi janganlah masa dan tenaga dibuang kepada hal-hal yang cabang lagi furu'. Cukup-cukuplah.
Cukup-cukuplah kita selama ini berdebat pada hal-hal yang tak perlu diperdebatkan. Kita perlu fokus pada titik-titik temu antara kita. Bukan titik-titik beda antara kita. Kita perlu pandai membezakan yang mana satu alat. Yang mana satu matlamat.
Kita perlu fokus pada agenda yang lebih besar iaitu agenda ummah. Bukan agenda peribadi atau agenda berasas fahaman mengikut aliran pemikiran sempit yang dipegangi. Sila amal apa yang kita hendak amal; selagi ia tidak bertentangan dengan roh al-Quran dan roh al-Hadis. Wujudkan sikap saling menghormati apa yang dipegang dan diamal oleh orang lain. Wujudkan rasa kasih sayang dan sentiasa bersangka baik di antara kita.
Kita tidak nafikan di sana sini ada kelemahan. Ada kesilapan. Baiki dengan cara hikmah dan bijaksana. Berasaskan kepada rasa ukhuwah persaudaraan Islam. Ibarat memukul ular. Ular mati. Tanah tak lekuk. Galah tak patah.
Janganlah hendaknya ayam di kepok mati kelaparan, itik di air mati kehausan. Musafir lalu rumah ditinggalkan. Kera di hutan di susukan. Anak di pangkuan mati kehausan.
Sesungguhnya masih terdapat golongan agama yang ikhlas di dalam UMNO. Mereka terus dan akan terus berada didalam UMNO. Walau apa yang berlaku. Sama ada mereka dihargai atau tidak. Dipanggil mereka datang. Disuruh mereka pergi. Bahkan mereka bersedia dan sanggup mati sebagai orang UMNO.
Mereka terus bersama dengan UMNO bukan kerana UMNO. Mereka terus bersama dengan UMNO kerana semata-mata atas kepentingan dan kemaslahatan ALIF, BA dan TA. Dan mereka lakukan itu semata-mata untuk mendapat reda Allah SWT.
Semoga Allah sentiasa memberi kita petunjuk ke jalan yang lurus. Jalan yang akan membawa kita ke arah kecemerlangan. Kecemerlangan di dunia. Kecemerlangan di akhirat. Justeru, marilah kita jadikan UMNO sebagai asbab untuk kita bertambah dekat dengan Allah SWT.
Bukan bertambah jauh kita dengan Allah SWT. Marilah kita jadikan UMNO laksana sebuah hamparan sejadah yang luas untuk kita himpunkan sebanyak mungkin pahala bukannya dosa.