KUALA LUMPUR 18 Sept. - Duta Besar baru Amerika Syarikat (AS) ke
Malaysia, Joseph Y. Yun mengesahkan Presiden Barack Obama akan
mengunjungi Malaysia pada bulan depan, kunjungan pertama Presiden AS
dalam tempoh 50 tahun.
Yun berkata, Obama terlebih dahulu akan menghadiri Sidang Kerjasama
Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Bali, Indonesia diikuti menghadiri Sidang
Asia Timur di Brunei, sebelum mengunjungi Malaysia bagi membincangkan
hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Beliau dijadual turut menghadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan Global di negara ini sebelum berlepas ke Filipina.
Ia merupakan siri lawatan kerja Obama ke negara-negara Asia Tenggara.
"Ini merupakan saat menarik dalam hubungan kedua-dua negara kerana
saya difahamkan, kali terakhir Presiden AS melawat Malaysia adalah 50
tahun lalu.
"Oleh itu, ia merupakan satu lawatan bersejarah, apatah lagi Obama
mempunyai banyak hubungan dengan kebanyakan negara di dunia," katanya
dalam sidang akhbar di Kedutaan AS, di sini hari ini.
Kali terakhir Presiden AS melawat Malaysia adalah pada 1966 ketika era Presiden Lyndon Johnson. Pelantikan Yun sebagai Duta Besar Amerika ke Malaysia telah disahkan
Dewan Senat AS pada 1 Ogos lalu, namun beliau masih menunggu untuk
menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bagi
menyampaikan watikah pelantikannya.
Dalam perkembangan berasingan, Yun percaya, Perjanjian Perkongsian
Trans Pasifik (TPPA) dijangka dapat diputuskan semasa persidangan APEC
di Bali.
Katanya, perjanjian itu dipercayai akan membawa lebih banyak peluang
pekerjaan, kesejahteraan ekonomi serta dapat membantu meningkatkan
perdagangan.
"Oleh itu, dalam kita meningkatkan perdagangan dan pelaburan, ia
bukannya soal agenda politik atau sejarah tetapi ia sebenarnya tentang
melihat masa depan," katanya.