BEIJING 18 Sept. - Sebuah muzium di China
menyambut ulang tahun memperingati Insiden Mukden 1931, hari ini dengan
mendedahkan dokumen-dokumen yang didakwa akan membantu proses tuntutan
pampasan ke atas Tokyo berhubung buruh paksa semasa Perang Dunia Kedua.
 |
Beratus-ratus dokumen tentang rakyat China dijadikan buruh paksa oleh
tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua dipamerkan kepada wartawan
semasa sidang media di Muzium Perang Rakyat China Menentang Pendudukan
Jepun di Beijing, semalam. |
Tentera Jepun meletupkan landasan kereta api di Manchuria 82 tahun
lalu sebagai tindakan menguasai seluruh wilayah timur laut China.
China dan Jepun kini bertelagah berhubung tuntutan ke atas
pulau-pulau di Laut China Timur yang dikawal oleh Tokyo dan turut
dituntut oleh Beijing.
Muzium Perang Rakyat China Menentang Pendudukan Jepun itu mempamerkan
lebih 400 dokumen yang menceritakan dengan terperinci bagaimana 40,000
penduduk China dipaksa bekerja sebagai buruh di Jepun ketika perang itu.
"Kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Jepun
supaya mereka mengaku apa yang pernah mereka lakukan, memohon maaf dan
membayar pampasan kepada keluarga mangsa," kata Timbalan Pengarah
muzium, Li Zongyuan kepada AFP.
Beijing sering menuduh Tokyo gagal mengaku atas kesilapannya semasa
zaman imperialis, sementara Jepun menuduh negara jirannya itu
menggunakan sejarah sebagai alat diplomatik untuk menikam Jepun.
Ahli keluarga warga China yang dipaksa menjadi buruh pernah
memfailkan tuntutan terhadap syarikat-syarikat Jepun, tetapi kebanyakan
tuntutan mereka ditolak.
Mahkamah Jepun, sebelum ini memutuskan bahawa China telah melepaskan
haknya untuk membuat tuntutan pampasan perang, selepas menandatangani
perjanjian bersama 1972, yang sekali gus memulihkan hubungan antara
kedua-dua negara.